Thursday, October 25, 2007

Pulang Yang Damai (1)

Pulang Yang Damai

Dingin pagi, sayup terdengar nyanyian di telefon bimbitmu. Dalam samar lampu dari ruang tengah aku menatap tidurmu. Mengapa resah suamiku? Kasihan, barangkali matamu begitu sukar untuk pejam malam tadi. Maafkan aku, silapku jua kerana kebelakangan ini begitu sukar damai bertandang di rumah ini. Rumah yang pernah kita impikan menjadi syurga kita dan anak-anak. Sesungguhnya suamiku, aku jua merindui senyum dan tawamu apa lagi saat kau peluk dan cium pipiku.
Entah mengapa pagi ini jua hati kecilku menyanyi mengingatkan janji untuk pulang ke kampong.
“Abang tak nak ikut Eja balik rumah mak?” Soalku sebaik dia bangun dan bersandar di kepala katil. Wajahnya lesu. Dia tersenyum namun aku tahu di sebalik senyum itu ada luka di hatinya. Luka itu adalah aku. Menyesalkah kau punya seorang isteri seperti ku? Menyesalkah kau kerana pertemuan kita? Soalan itu berputar di dalam diriku. Aku bagai ingin menangis. Aduhai suamiku, maaf andai aku bukan bahagiamu.
“Abang kerja..” Bisiknya perlahan.
Aku mengangguk. Walaupun sedikit hampa namun rasa itu tenggelam bersama rasa keseronokkan membayangkan rumah mak yang sekian lama tidak kukunjungi. Balik yang lepas pun hanya sempat berkunjung di rumah mertua. Tergambar wajah mak yang sangat-sangat kurindui. Terbayang senyumnya yang begitu indah tatkala menyambut anak-anakku dan betapa sibuknya mak nanti bila anak dan cucu-cucunya ini pulang. Bermacam-macam yang akan dibuatnya. Aduhai mak..sehingga ke saat ini aku terlalu ingin menyenangkanmu. Rindu untuk mencium pipinya dan menghidu bau kasihnya tiap kali tubuh tuanya kudakap.
Aku menjadi nanar mengenang hati yang tak sabar-sabar untuk duduk dan bersembang dengan mak sambil berpura-pura membaca surat khabar sedangkan hakikatnya tika itu aku mencuri-curi pandang wajahnya. Wajah yang tak pernah pudar dari hatiku. Wajah yang dahulunya pernah kukecewakan. Maafkan Eja mak.
“Abang, bangunlah dah dekat pukul 7.30 ni.” Ujarku kembali bila suami diam dengan matanya yang separuh pejam. “Kenapa tak tidur malam tadi?”
Dia tersenyum hambar. “Entah kenapa susah sangat mata ni nak pejam. Abang ngantuk,”
“Sebab Eja ke?”
Dia menggelengkan kepalanya lemah. Abang takkan mampu membohongiku. Sepuluh tahun usia perkahwinan kita dan aku amat mengenali wajah itu.
Dia memusingkan tubuhnya mengadapku. “Eja balik bila?”
“Esok, teringin nak tidur rumah mak. Abang nak Eja balik bila?”
“Kalau boleh abang nak bila abang balik petang nanti Eja ada di rumah tapi apa pulak kata mak nanti. Eja pun dah lama tak balikkan?”
Usai menghantarnya bertolak ke tempat kerja, aku mula menghabiskan kerja-kerja rumah. Ada kain baju yang harus kucuci sebelum berangkat pulang. Sarapan anak-anak kusediakan. Terasa sedikit kesal kerana hari ini aku akan pulang ke kampong dan alangkah lalainya aku bila tidak menghidangkan apa-apa buat suamiku pagi ini. Hanya secawan Nescafe yang kubancuh dan kongsi bersamanya. Mug di tangan ku renung. Tak mengapalah sekurang-kurangnya dia masih sudi berkongsi minuman denganku. Terkenang betapa lama aku tidak lagi menyuapkan dia makan. Kalau tidak dulu sambil-sambil menyuapkan makanan ke mulut anak-anak dia akan menempel sama minta disuapkan.
“Dah! Ayah pulak!” Ujarnya sambil mengangakan mulutnya. Anak-anak akan saling bertolak minta disuap dahulu. Alangkah rindunya aku suasana itu namun entah mengapa aku jua yang mengeruhkan. Aku jua kah? Salah akukah semua itu mula pudar dan menghilang?
“Sebelum balik Eja telefon abang…”
Dia mengangguk. Wajahnya masih pudar. Senyumlah suamiku, aku terlalu ingin menatap manis senyummu itu. Senyum dari seorang lelaki yang pernah buat aku nanar diamuk rindu satu ketika dulu. Senyum dari seorang lelaki yang terus-terusan mengikat hatiku. Senyum dari sebuah bibir yang mengucapkan janji setianya dan membuatkan aku tegar menyakiti hati mak hanya untuk memilikinya. Senyumlah…
Dia berlalu dan aku mula disebukkan dengan urusan di rumah. Pakaian anak-anak masih belum ku kemaskan. Di hati masih berbunga mengenang pertemuan aku dan mak sebentar nanti.
Ikan yang telah kubersihkan ku rendam. Sebelum pulang aku ingin memasakkan sesuatu buat suamiku. Barangkali dia akan keletihan pulang petang nanti. Bimbang abang akan tertidur tanpa sempat untuk makan malam. Hatiku diamuk resah, biarlah suami makan di rumah. Tak perlulah dia keluar untuk makan mana tau kalau-kalau malam nanti hujan.
Sempat juga aku menggosok pakaian kerjanya untuk esok sambil menanti lauk di dapur masak. Kamar kami ku kemaskan sekali pun sejak seminggu yang lalu kami tidak lagi beradu di dalamnya. Ruang itu entah mengapa menjadi begitu berbahang tiap kali kaki kujejakkan.
Telefon bimbitku berbunyi. Ada pesanan yang sampai
‘Selamat pagi Eja. Drive baik-baik balik kampung nanti’
Pesanan itu sengaja tidak ku balas. Nanti-nantilah…
Pakaian anak-anak ku masukkan satu persatu ke dalam beg. Tangan menggenggam sehelai pakaian suamiku. Baju itu kudakap dan kucium. Rindu pada kebahagiaan yang pernah aku miliki tatkala kami sering melipat pakaian bersama dulu.
“Abang nak lipat t’shirt aje. Eja lipat baju kurung. Abang tak reti,” katanya sambil tangannya lincah melipat baju-bajunya sendiri.
Belum selesai dia akan melabuhkan kepalanya di pangkuanku.
Ah! Pergilah kenangan…entahkan berulang entahkan tidak. Maafkan Eja abang kalau kehadiran ini hanya menambah calar di hatimu.
“Abang..kakak…mandi!” laungku tak bersambut. Entah ke mana menghilang kedua-dua anakku itu.
Sekali lagi hatiku melonjak riang. Aku nak pulang. Terbayangkan redup Kampung Repah tatkala keretaku menyusur di jalannya yang dinaungi pokok-pokok getah. Terasa amat dingin sepanjang jalan itu. Di kiri kanannya akan hanya dihiasi kehijauan dan tatkala pagi seperti ini ada kabus di puncak bukit-bukitnya yang damai. Sesekali akan kedengaran bunyi lontong bersahut-sahutan. Terasa seperti pulang nanti aku ingin berhenti di tengah-tengah perjalanan dan mencecahkan kaki sebentar menikmati dingin sungainya. Ah! Jernih airnya yang mengalir antara batu-batu menggamit hatiku untuk segera pulang.
Aku nak pulang! Hatiku seakan menjerit untuk segera beredar dari rumah ini. Aku nak pulang…Entah mengapa airmataku menjadi semakin laju.
“Ibu kita balik rumah uwan mana?” Tanya Mujahid yang tiba-tiba muncul dari sebalik pintu hadapan.
“Rumah uwan Pak Uda,”
“Abang nak bawa mainan abang.”
Aku hanya mengangguk sambil tangan melipat kain baju yang masih belum kukemaskan. Kalau boleh balik nanti suami hanya berehat tanpa perlu mengeluh melihat kain baju yang belum berlipat. Biarlah suami tenang istirehatnya.
Masih sempat untuk aku memberitahu rakan-rakan siberku aku akan pulang ke kampong dan mengkhabarkan pada mereka betapa gembiranya aku kali ini. Aku ingin pulang dan keriangan itu menjadikan aku seperti kanak-kanak yang tak sabar-sabar untuk memiliki apa yang dihajatinya.
Terkenangkan rumah mak yang sudah tua. Lama aku tidak berkemas menyapu habuk-habuk yang lekat di dinding. Pulang nanti aku ingin menyapu laman mak yang lapang dan membakar daun-daun kering di hujung laman. Entah berbuah atau tidak rambutan gading mak. Entah berputik atau tidak pokok manggis mak yang semakin tua di baruh..Pokok manggis yang mencatatkan banyak memori zaman kanak-kanakku. Abang sering menyakatku dulu, menakut-nakutkanku kononnya ada perempuan hodoh yang sering duduk di dahannya. Aku akan menangis tiap kali abang memomokkanku dengan cerita itu sedangkan di bawah pokok manggis yang sama juga aku akan menguli tanah liat untuk bermain pondok-pondok bersama kakak sepupuku. Sesekali dari pokok manggis mak itu jugalah kami berlumba untuk sampai ke tangga kayu mak. Kesudahnnya aku akan tersungkur di laman mak yang keras bila abang sering menolakku. Terlupa bagaimana aku akan berhenti menangis setiap kali mak mula melaung dari dalam rumah menyuruh kami mandi untuk mengaji.
Terkenangkan pokok rambutan mak yang ada sarang lebah di perdunya. Sarang lebah sama yang pernah membuatkan abang menangis sepanjang hari kerana bisa yang mula menyengat di tubuhnya. Aku sebagai adik perempuan yang bongsu akan duduk dan turut bersedih melihat keadaan abang yang tak pernah jemu menyakatku. Tak adalah kawan untuk membawaku mandi sungai petang nanti. Tak adalah kawan yang akan membawa aku mengikutnya melastik burung petang-petang nanti dan tak adalah kawan yang sering menjadikan aku mangsa untuk mencuri mancis api mak buat menyalai burung-burung mahupun ikan yang kami dapat dari sungai mahupun parit. Lalu petang itu dan dua tiga hari selepasnya aku akan terselamat dari rotan mak yang seringnya berbilai di betis dan belakangku. Sunyilah kehidupanku hari-hari berikutnya.
Baki ikan di sinki kusimpan di dalam bekas sebelum kusumbat kembali ke dalam peti sejuk.
“Hoi! Kerja rumah siap ke belum?” Teriak Inaz yang datang sambil menyorong basikalnya yang lebih besar dari tubuhnya sendiri.
“Dah!” Jawabku ringkas sambil memerhati umpan di pancing yang didatangi beberapa ekor ikan puyu.
“Dari tadi seekor pun tak dapat?” Ujarnya Inaz sambil duduk di sampingku. Batang kail yang kubuat dari buluh yang diraup sesekali dikuis-kuisnya. Senyumnya masih menghiasi bibirnya.
“Kau datang memang suwey laa…” Aku berpura-pura marah sedangkan aku senang dengan kedatangan lelaki ini. Dia teman sepermainan. Kami sering bersaing-saing ke sekolah. Kadang-kadang bagaiamana lewat pun aku pagi itu dia tetap akan menantiku dibaruh bersama basikalnya yang besar an nanti akan terkial-kial untuk mengayuh.
“Kau nak buat apa puyu ni, bukan sedap pun nak buat lauk..”
Aku hanya akan menolak bahunya.
Tuhan…aku rindu kenangan itu. Rindu pada parit dan palung kecil tempat aku mengail puyu dan sembilang. Rindu pada temanku itu. Aku ingin pulang sekalipun Inaz tiada lagi. Aku ingin pulang untuk mengunjungi parit tempat aku bergurau dan berkelahi, mengimbau kenangan-kenangan kami sekalipun sewaktu dia kembali ke pangkuanMu aku terlewat untuk kesekian kalinya. Betapa kesal bertunas di hati, sebagai teman aku tidak pernah tahu Inaz seorang penagih, sebagai teman aku terlupa seharusnya aku menjadi penghalang dia meneruskan kerja gila itu. Ampuni dia Tuhan…aku ingin pulang.
Langit mendung.
“Abang..Eja dah nak pergi ni.”
“Hari hujan..janganlah bertolak dulu. Nantilah teduh.” Ujarnya di talian.
Entah mengapa aku semakin tidak sabar untuk pulang. Rindu pada mak, kampong dan kenangan-kenangan itu bagai menggamit-gamit.
“Eja naik kereta. Nanti Eja bawalah pelan-pelan..” dalihku.
“Cuba jangan degil!”
Degil? Entah mengapa sejak semalam perkataan itu bagai diulang-ulang. Suami tahu aku jarang sabar bila memandu dalam hujan.
Hujan…air bertali arus turun dari cucuran atap rumah tua mak dan aku akan terjerit-jerit membiarkan air itu menyimbah keras ke kepalaku. Dinginnya membuat tubuh menggigil kesejukkan. Sesekali aku dan abang juga adik akan berlari di laman rumah. Saat paling ditunggu tiap kali langit memuntahkan isinya. Mak tak pernah menghalang sekalipun dari kerut wajahnya ada rasa kurang senang. Malam kami akan mengerekot di bawah selimut kusam kami dan seterusnya menyusahkan mak kerana demam.
“Balik ni kita boleh pergi kubur adikkan Bu?” Celah Fatin bila enjin kereta mula kuhidupkan. Hujan masih bertali arus.
Aku tersenyum. Bagai di rancang-rancang pula. Kebetulan beberapa hari yang lepas genap 4 tahun usia Muhammad Nur Muhaimin meninggalkan ku. Adik, ibu akan pulang sekalipun tak dapat mengunjungi pusara adik tapi ibu akan pulang supaya kita akan hampir nanti. Rindu ibu pada adik masih tetap sama sekalipun ibu tak pernah dapat melihat adik membesar bersama Kakak Fatin dan Abang Mujahid. Sekali mendakap adik tika dilahirkan dan rasa keinginan untuk memeluk adik lagi tetap segar di hati ibu. Sepasang baju kecil milik adik yang tak sempat ibu sarungkan masih ibu simpan begitu juga kain yang digunakan uwan untuk menyelimuti tubuh kecil adik sebelum adik disemadikan. Setelah 4 tahun kain itu ibu sarung ke tubuh ibu, terasa damai. Alat pregnancy test yang mengkhabarkan pada ibu tentang kehadiran adik dalam rahim ibu juga masih ibu simpan. Sekeping gambar sewaktu ibu menjalani scaning di klinik jua masih ada dalam simpanan ibu. Hanya itu kenangan yang tinggal. Hari ini ibu ingin pulang…
Hujan makin bertali arus dan seperti jangkaan suami aku akan hilang sabar memandu dalam suasana seperti ini. Pedal minyak kutekan dan kereta meluncur dalam hujan yang semakin menggila. Aku ingin cepat pulang..
Sesuatu kelihatan sedang melintang di tengah-tengah jalan. Sebuah kereta sedang membuat ‘u turn’ dan aku semakin menghampirinya. Telefon bimbitku kembali berbunyi, aku hanya memandang kosong, teringat beberapa teman dan adik angkatku Faiez yang belum sempat ku khabarkan tentang perjalanan ini. Ah! Nantilah….nanti adalah khabar buat mereka.
‘Eja dah sampai kampung ke?’

Tangan yang memegang stereng kereta terasa kaku dan tubuhku semakin dingin larut dalam sejuk hujan dan damai perjalanan di Kampung Repah. Kereta ku bagai terus meluncur semakin menghampiri kereta yang melintang di tengah-tengah jalan. Masa menjadi semakin panjang dan berbagai-bagai kenangan mula berkunjung dalam benakku. Terbayang mak yang sedang menanti aku dan anak-anak. Saat itu juga aku terlupa ada beberapa bekas yang masih di sinki dan belum sempat ku cuci. Beberapa helai pakaian yang masih belum kusidai. Maafkan Eja abang, kerana mengganggu istirehatmu.
Tika semakin menghampiri kereta itu aku sempat berpaling melihat anak-anak yang terlena di tempat duduk belakang. Fatin membuka matanya dan aku masih sempat tersenyum sebelum ku rasa sesuatu menghenyak keras tubuhku dan pandangan mula berbalam.
Tika ini hanya ada beberapa wajah yang muncul…aku ingin pulang!
Senyum pudar suami kembali menghiasi sudut pandanganku. Bersabarlah abang, esok akan muncullah bahagiamu dan kau akan kembali riang. Bahagia yang semakin hilang dari genggamanmu akan kau miliki lagi.
Aku ingin pulang dan terasa tika itu aku sudah sampai di pintu pagar rumah tua mak dan kelihatannya dia sedang duduk di beranda rumah, masih tertinjau-tinjau..
“Mak….Eja dah pulang….”


Nukilan:
Manjalara / 1 Mei 2007/11.28 a.m
Berdosakah aku mencari damai? Berdosakah aku mencari tenang dan benarkah untuk diri sepertiku hanya ada satu jalan ke syurgaMu?

No comments: