Sunday, November 4, 2012

Alhamdulillah

Alhamdulillah..setelah sedemikian lama akhirnya aku berpeluang juga utk kembali menjengah ruangan yang satu ketika dulu adalah ruang wajibku sehari-hari. Petang ini ada sedikit kelapangan yang Dia berikan buatku juga rahmat kesihatan untuk menguatkan semangatku meninggalkan sedikit catatan di ruangan ini.

Alhamdulillah juga kerana sifat belasNya akhirnya doa aku suami dan anak-anak termakbul. Hari pertama puasa...seawal pagi setelah solat subuh, setelah berhari-hari melalui detik-detik  penuh pertanyaan akhirnya terjawab...aku mengandung. Wajah suami kulihat penuh kebahagiaan. Hanya ada rasa syukur sepanjang hari pertama puasa.

Alhamdulillah juga kerana tatkala aku menjengah ruang ini usia kandunganku telah mencecah 5 bulan usianya. Baby pun dah semakin kuat gerakkannya dan akan lebih aktif bila suami membacakan surah Al fatihah dan beberapa surah lazim setiap kali kami masuk tidur. Syukur Ya Allah setelah sekian lama aku masih diberi kesempatan untuk melalui saat-saat indah ini lagi.

Memang tidak dinafikan bukan sedikit dugaan di awal usia kandunganku hari tu. Diuji dgn Hb darah yang rendah, ujian gula yang keputusannya meragukan..beban tugas disekolah yang bertimpa-timpa selain perjalanan ke tempat kerja yg jauh dan bermacam-macam lagi. Syukur kerana suami teramat sabar. Kesudiannya menjagaku terkadang benar-benar membuatkan aku cukup sayu. Semoga Allah memberkati hidupnya, memudahkan tiap urusannya, memelihara dia...

Syuukur Alhamdulillah.....

Sunday, June 3, 2012

Mencari Saifudin

3 Jun 2012...lengkaplah perjalananku menelosori  kisah seorang lelaki yang telah menghuni hatiku sejak hampir 4 tahun lalu. Walaupun dia hanya sekadar satu watak yang entah dimana salah benarnya tapi entah mengapa dia seolah-olah hidup dan menjadi begitu penting dalam aku menjalani hidup yang penuh uji ini. Dia memberikan aku sedikit kekuatan dan sering kata-katanya menjadi sebutan di bibirku. 'mati itu pasti, hidup INSYAALAH'. Aku jatuh cinta padanya dan 3 Jun yang berlalu segala-galanya menjadi noktah.

Bermula dari Bagaikan Puteri aku terus mencari siapa Saifudin, lelaki asuhan wali sufi. Lelaki berduka dari Tanah Rencong yang hidupnya sarat dengan kecintaannya pada Maha Pencipta, mengendong rindu pada rasulNya, yang berpegang teguh pada kalimah-kalimah Allah. Dia menemukan cinta fitrahnya 'Ratna'. Penyatuan dari rasa pasrah dan redhanya pada Ilahi. 'Sebagai insan... aku sayang padamu..' meruntuhkan tembok ego seorang ratu yang mewarisi Kerajaan Utara. Dia mengahwini Ratna hanya kerana ingin memberi pegangan dan kepercayaan agama kepada bekas ratu itu selain untuk menghindari fitnah yang bakal menebar di Tanah Aceh Serambi Kaabah.

Aku terpegun dengan rasa cinta Saifudin. penyerahannya pada setiap ketentuan takdir. Sabarnya melangit tatkala diuji dengan kehilangan Ratna bila bekas ratu itu menjadi mangsa kekejaman bonda asuhannya sendiri..Maharani. Cintanya ditagih oleh Luna, wirawati bangsa Polips yang menghuni Banjaran Himalaya. Catalina juga mencintai Saifudin, balu bangsawan berbangsa portugal yang akhirnya menemui Islam dan Mariam dalam pencariannya. Lelaki bertanduk dua itu dicemburui dalam diam. Betapa dia memendam rasa bila cintanya tidak berbalas hanya kerana lelaki berduka dari Tanah Rencong itu terlalu mencintai isterinya Ratna. Sebagaimana gelaran cinta fitrah oleh Indera (wira bangsa Polips yang menemani Catalina sehinggalah wanita itu menghembuskan nafasnya yang terakhir di Lisbon, setahun setelah dia menemui Mariam). Saifudin dan Ratna bersatu di alam tak berdinding setelah semangatnya diseru tatkala perjalanannya menyempurnakan amanah menghantar Catalina ke Lisbon.

Cintanya terlalu ingin dimiliki namun entah di mana istimewanya Ratna sehingga Laksamana Sunan itu tetap juga enggan menyahut cinta Haryani, wanita abad 21 yang terhumban ke zaman sebelum kejatuhan Kerajaan Melaka. Ternyata aku juga dalam diam ingin meraih cinta Saifudin hingga sedikit sebanyak menerbitkan rasa rinduku pada kisah-kisah perjalanannya.

Aku terlalu ingin menjadi 'Ratna' tapi siapakah yang akan menjadi 'Saifudin' ku?


Friday, June 1, 2012

mungkinkah kenyataan?

Lama tak mengirim entre untuk ruangan aku ini. Sebetulnya kesibukan dengan urusan keluarga, anak-anak juga tugas di sekolah baru menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Namun aku  ikhlas untuk kesemuanya. Bukankah masa adalah anugerahNya yg tak wajar untuk dipersiakan? Syukur Alhamdulillah kerana aku tak terlupa 'password' utk ke ruangan ini lagi
Cuti semester...semenjak grad aku terasa benar-benar kehilangan. hati teringin utk belajar lagi tapi selagi tak dapat DG41 nmpak gayanya mcm payah je..xpe untuk perkara yg baik-baik pasti Allah akan beri kelapangan jua nanti..InsyaAllah.
Kebelakangan ini ada sesuatu yg meronta-ronta dalam hati....nak sangat tp masih belum bertemu jalan yang dapat membawa aku ke sana. Ada impian yg sering bertamu..moga ada doa yg akan mengiringi impian ku itu nanti.
Aku teringin untuk ke rumah anak-anak yatim..Allahuakbar! Bila agaknya? Teringin nk mengajar tuisyen di sebelah petang di sana bg mengisi masa-masa yang 'dipinjamkanNya' buatku sebelum tiba saat dan ketika  masa-masa itu perlu kupulangkan dan ditanya bagaimana aku menghabisinya. Aku teringin untuk mengambil salah seorang daripada mereka tapi apakah aku berdaya mencurahkan kasih-sayang kepadanya sebagai mana dia perlukan nnti? Berdayakah aku untuk menjadi 'ibu' padanya?
Moga ada jalanNya...

Saturday, February 18, 2012

Di mimbar rahmat Ilahi

Berkongsi secebis rasa bahagia sejenak kala aku dan suami berdiri di mimbar rahmatNya. Hanya ada rasa syukur yang menabiri hati kami kala ini dan setinggi-tinggi rasa buatNya kerana masih ada belasNya buat diri insan kami.

Tatkala aku dihimpit kesedihan dan harapan yang entah dimana sejalur pengharapan di hidangkan buat aku dan suami. Santapan hati nan resah gelisah dan Alhamdulillah..maka mekarlah bunga-bunga harapan yang merunduk layu sebelum ini. Dunia bagai bergema dengan rasa syukur kerana untuk itu tiada halangan hanya menanti keizinanNya. Kami hanya ingin tersenyum dan menyambut 'kedatangan' yang sudah pastinya dengan izin Ilahi.

Melangkah dengan sebuah harapan adalah satu nikmat yang tidak ternilai jika hari-hari lalu langkah-langkah itu adalah langkah yang entah ke mana arahnya..kosong dan tanpa perhentian.

Kami masih ingin terus tersenyum dan menguntum rasa syukur pada Allah kerana yang bakal datang nanti bukan hanya 'dia' tetapi 'mereka'..insyaAllah

Di mimbar rahmat Ilahi ini kami akan terus tersenyum dan bertasbih padaNya kerana kurniaan ini. Kami ingin terus menanti hadirnya 'mereka' yang akan datang bersama cintaNya setelah bertahun-tahun kehilangan.

Alhamdulillah...berkati kami...peliharalah 'mereka' agar kedatangan itu nanti menjadikan kami insan yang terus bersyukur...

Thursday, February 2, 2012

Kegagalan Bukan Suatu Pilihan

Tiada siapa yang mengimpikan kegagalan kerana perit suatu kegagalan hanya terbayar dengan sedikit kejayaan. kegagalan bagai suatu spark plug yang memacu sedikit energi untuk bangun dan mengorak walaupun sekecil-kecil langkah..bertatih untuk bangun dari sebuah kegagalan bukanlah suatu yang mudah seperti mana kita berusaha untuk memejam celikkan sepasang mata selepas terbangun dari suatu mimpi. Kegagalan datang bersama kesakitan yang bukan sedikit!

Aku sering terbaca setiap kejayaan takkan pernah sunyi dari kekecewaan..aku sering mengingatkan diri walau bagaimana sempit suatu lorong yang menanti dihadapan tetap punya sejalur cahaya di penghujungnya. Aku sering menyatakan pada diri..walau bagaimana berliku kehidupan ini..di mana-mana tetap akan punya harapan.

Apa pun jua....bagaimana wajah kejayaan akhirnya nanti.....kegagalan tetap bukan suatu pilihan!