Sunday, June 3, 2012

Mencari Saifudin

3 Jun 2012...lengkaplah perjalananku menelosori  kisah seorang lelaki yang telah menghuni hatiku sejak hampir 4 tahun lalu. Walaupun dia hanya sekadar satu watak yang entah dimana salah benarnya tapi entah mengapa dia seolah-olah hidup dan menjadi begitu penting dalam aku menjalani hidup yang penuh uji ini. Dia memberikan aku sedikit kekuatan dan sering kata-katanya menjadi sebutan di bibirku. 'mati itu pasti, hidup INSYAALAH'. Aku jatuh cinta padanya dan 3 Jun yang berlalu segala-galanya menjadi noktah.

Bermula dari Bagaikan Puteri aku terus mencari siapa Saifudin, lelaki asuhan wali sufi. Lelaki berduka dari Tanah Rencong yang hidupnya sarat dengan kecintaannya pada Maha Pencipta, mengendong rindu pada rasulNya, yang berpegang teguh pada kalimah-kalimah Allah. Dia menemukan cinta fitrahnya 'Ratna'. Penyatuan dari rasa pasrah dan redhanya pada Ilahi. 'Sebagai insan... aku sayang padamu..' meruntuhkan tembok ego seorang ratu yang mewarisi Kerajaan Utara. Dia mengahwini Ratna hanya kerana ingin memberi pegangan dan kepercayaan agama kepada bekas ratu itu selain untuk menghindari fitnah yang bakal menebar di Tanah Aceh Serambi Kaabah.

Aku terpegun dengan rasa cinta Saifudin. penyerahannya pada setiap ketentuan takdir. Sabarnya melangit tatkala diuji dengan kehilangan Ratna bila bekas ratu itu menjadi mangsa kekejaman bonda asuhannya sendiri..Maharani. Cintanya ditagih oleh Luna, wirawati bangsa Polips yang menghuni Banjaran Himalaya. Catalina juga mencintai Saifudin, balu bangsawan berbangsa portugal yang akhirnya menemui Islam dan Mariam dalam pencariannya. Lelaki bertanduk dua itu dicemburui dalam diam. Betapa dia memendam rasa bila cintanya tidak berbalas hanya kerana lelaki berduka dari Tanah Rencong itu terlalu mencintai isterinya Ratna. Sebagaimana gelaran cinta fitrah oleh Indera (wira bangsa Polips yang menemani Catalina sehinggalah wanita itu menghembuskan nafasnya yang terakhir di Lisbon, setahun setelah dia menemui Mariam). Saifudin dan Ratna bersatu di alam tak berdinding setelah semangatnya diseru tatkala perjalanannya menyempurnakan amanah menghantar Catalina ke Lisbon.

Cintanya terlalu ingin dimiliki namun entah di mana istimewanya Ratna sehingga Laksamana Sunan itu tetap juga enggan menyahut cinta Haryani, wanita abad 21 yang terhumban ke zaman sebelum kejatuhan Kerajaan Melaka. Ternyata aku juga dalam diam ingin meraih cinta Saifudin hingga sedikit sebanyak menerbitkan rasa rinduku pada kisah-kisah perjalanannya.

Aku terlalu ingin menjadi 'Ratna' tapi siapakah yang akan menjadi 'Saifudin' ku?


No comments: