Saturday, November 29, 2008

Sibuknyaaa....

Rasanya semester september ni lah yang paling menyeksakan aku pernah hadapi berbanding semester-semester yang lepas. Terasa peritnya sejak dari mula kelas hinggalah ke penghujung. Semester inilah disebukkan dengan puasa..hari raya..aktiviti-aktiviti di sekolah..Macam tak menang tangan bila bergelumang dengan coursework (Strength of materials and materials Science, Control system dan Engineering Drawing) ditambah dengan Ujian Bulanan 4, Ujian pelepasan 2 KIA2M, peperiksaan UPSR dan Peperiksaan Akhir Tahun..2 bulan terakhir tu juga aku lansung tak jumpa hujung minggu bila perlu menghadiri kuliah di Shah Alam. Cukup rasa tertekan bila subjek semester ni kesemuanya ada test dan peperiksaan pertengahan semester. Engineering Drawing sahaja ada 3 asignment yang perlu dilangsaikan.

Jadual yang diasing-asingkan harinya membuatkan aku hampir terkejar-kejar setiap minggu. Bertolak Jumaat dan kembali semula ke Melaka lewat Ahad malam. Beberapa kali ni anak-anak terpaksa aku tinggalkan di rumah pengasuh dan terkadang memaksa aku meminta bantuan mak di kampung untuk menjaga mereka.

"Mak ingat sementara waktu ni kau mintak je tukar ke kampung Ja!"
"Habis rumah ni?"
"Biar je lah rumah tu..tukar N9 sementara belum habis belajar dah tamat nanti mintak tukar ke Senai"
Cara mak bercakap bukan seperti memberikan pandangan tapi lebih kepada arahan dan aku tidak sesekali terkejut bila dia mengutarakan soal itu. Mak..kalau Ja nak ikut suami dah lama Ja buat semua tu tapi sebabkan Ja tak mahulah anak mak masih di sini. Maafkan Ja mak..sekurang-kurangnya minta mak faham keadaan kami. Sedangkan waktu dia di Melaka lagi anak-anak terpaksa Ja bawa bersama ketika kuliah apa lagi kalau ke Senai. 4 jam perjalanan ke Shah Alam dari sana dan 4 jam lagi untuk balik..bagaimana hari Isnin Fatin dan Mujahid nanti?

sakit pening..susah macam mana pun di sini aku masih punya rumah untuk berlindung, punya kawan-kawan untuk bercerita dan di sana apa yang ada? Biarlah..barangkali ini jalan terbaik! Bukan tidak terasa peritnya membesarkan anak-anak sendiri tapi ada atau tidak dia keadaan masih sama. Dari melihat mukanya sambil teringatkan setiap apa yang berlaku lebih baik begini.

Segalanya menuntut pengorbanan. Aku lakukan demi masa depan anak-anak. Sehabis daya aku tetap akan tamatkan juga pengajianku ini. Maafkan ibu..betapa ibu terpaksa merampas sedikit ruang waktu kalian selama beberapa tahun ini. Demi kehidupan yang lebih baik. Demi masa depan kalian yang lebih terjamin. Ibu barangkali sesekali terlalai..terleka tapi percayalah, setiap saat difikiran ini kalian amat penting buat ibu.

2..3.. hari ni badan terasa lemah. Sekembali dari mengambil kertas Strength Of materials (EBMM4103) aku demam! Tekanan darah turun 90/70. Kepala sakit yang amat sangat ditambah dengan sesak nafas dan batuk.

Terima kasih buat seorang teman yang tak pernah jemu bertanyakan khabarku. Terima kasih di atas ingatannya. Terima kasih kerana tidak pernah meninggalkan aku di saat aku kesunyian, kesepian, kesakitan dan terima kasih kerana sudi berkongsi saat suka dan dukaku. Terima kasih kerana sudi membuatkan aku tersenyum seusai aku menangis, terima kasih kerana memberikan aku kekuatan saat aku benar-benar lemah, terima kasih kerana membangunkan tika aku jatuh dan terluka..terima kasih untuk segala-galanya.

Kaulah teman terbaik yang pernah aku temui, teman yang tak pernah jemu mendengar ceritaku, teman yang setia walau sesekali aku tahu..aku mencalarkan hatimu. Hanya pada Tuhan, ku pohonkan kehidupan yang diberkati buatmu. Moga bahagia jua yang meronai hari-harimu yang mendatang.

Wednesday, November 26, 2008

Aku benar-benar penat!

Entah kenapa aku rasa benci betul dengan hidup aku kebelakangan ni. Rasa teruk sangat sampaikan ada masa aku rasa macam nak je aku tinggalkan segala-galanya. Ada rasa macam aku nak je lari jauh dari sini..jauh dari rumah..dari anak-anak..dari kawan-kawan! Aku betul-betul rasa frustrated. Kecewa dan memang terasa macam segalanya dah sampai kat jalan mati je.

Badan tak sihat..dan paling aku kecewa aku tak dapat buat apa yang aku suka buat. Semalam waktu dalam perjalanan balik dari Bangi aku memang marah sangat-sangat. Tak kisahlah apa orang nak kata tapi semalam aku rasa kalo memang takdir aku mati kat jalan memang entah apa rupa mayat aku agaknya. Aku lenjan getz tu sampai marah aku betul-betul hilang. Anak-anak diam tak bergerak. pelik agaknya sebab selama ni bila marah aku akan berhenti kat mana-mana tempat rehat dan tidur. Aku kecewa..itu yang aku rasa.

Memang aku bukan ibu yang baik untuk anak-anak aku agaknya sebab tu laki aku cari 'manusia' lain untuk menggantikan aku. Sebab tu 'manusia' tu tak rasa bersalah untuk menyakitkan aku macam ni.

Aku kecewa! Kecewa sangat-sangat bila Mujahid mula belajar berbohong pada aku. Sepatutnya sebagai ibu aku belajar memahami tapi aku betul-betul kecewa. Kenapa anak-anak juga belajar berbohong sedangkan bukan itu yang aku didik mereka selama ini. mengaku kalau buat salah dan jangan sesekali meletakkan salah sendiri pada orang lain. tak rugi kalau kita mengaku salah tapi apa yang aku ajar tak menjadi. Sudahlah berdepan dengan suami yang sentiasa berbohong. kenapa aku juga harus berdepan dengan anak yang sebegini?

kenapa? Aku penat! Aku penat berdepan dengan manusia-manusia yang tak tau menghargai aku. Aku penat melalui segala-galanya sendiri. Aku kelelahan yang sangat-sangat. Apa lagi yang aku harus buat untuk keluar dari semua ini? Mengapa manusia-manusia itu enggan membiarkan aku sendiri? Aku nak hidup! Aku penat menangisi nasib sendiri. Apa yang harus aku buat supaya lelaki itu berambus dari hidupku dan jangan pernah menyusahkan aku lagi?

Kenapa susah sangat lelaki itu faham yang aku tak mahu lagi melihat mukanya? mengapa susah untuk lelaki itu faham aku mahu dia pergi jauh dari hidup aku? mengapa dia tak mahu-mahu mengerti aku menyesal ditemukan dengannya? Aku menyesal disatukan dengannya!

Aku penat! Aku penat....

Bila anak-anak berbohong aku terasa sakit yang amat sangat. Bila anak-anak sudah pandai menyembunyikan sesuatu aku rasa kecewa. Bila anak-anak mula pandai membantah aku rasa pedih. Tak nampakkah mereka betapa sakit untuk aku melengkapi segala-galanya? Mungkin ada yang mempersoalkan apalah sangat dengan nilai RM10 tapi pada aku itulah jerihku. Itulah kepayahan ku dan bila anak-anak enggan mengaku kesilapan mereka aku rasa seolah ditikam sembilu.

Pada yang tak pernah ditinggalkan dengan wang RM200 untuk belanja sebulan memang akan kata aku tidak bersyukur. Pada mereka yang dibiarkan dengan duit RM1.50 di KLIA mungkin menyatakan aku terlalu berkira dengan anak-anak. Pada mereka yang tak pernah mengikat perutnya untuk memenuhi keinginan anak-anak memang akan kata aku bukan ibu terbaik untuk mereka. Pada mereka yang tak pernah berdiri terpaku di depan mesin ATM melihat baki yang tinggal kerana suami mengizinkan kawan-kawannya menggunakan wang yang ada di dalam kad itu mungkin akan kata aku bukan wanita yang layak bergelar ibu..barangkali buat mereka yang tak pernah mendengar rakan-rakan bercerita melihat suami mereka keluar dengan perempuan lain masih akan kata aku tak cukup sempurna. Segala-galanya sarat di bahu ini..dan masihkah aku tak layak bergelar ibu lantaran aku masih di sini hanya kerana menjaga perasaan anak-anak?

Apakah masih aku dianggap berkira jika bahu ini juga yang menggalas segala-galanya? Di bahu ini..tabungan pendidikan anak-anak..insuran dan medical card..makan pakai..belanja sekolah..rumah..pelajaran..satu-satu yang aku pinta dari seorang suami bergelar bapa..menghantar anak-anaknya mengaji Al Quran dan setelah bertahun-tahun..masih aku jugakah yang harus dipersalahkan? Aku penat...aku benar-benar letih!

"Abang fikir senang ke untuk ibu cari duit untuk kita? Abang ingat ibu tak letih ke? Kenapa abang nak bohong dengan ibu? Abang tak kesian ke dengan ibu?"
Mujahid diam. Fatin menangis.
"Setiap hari dalam kepala ibu nak kena fikir apa yang ibu nak bagi anak-anak ibu makan. kalau kita makan di luar ibu dulukan anak-anak ibu..ibu makan apa yang lebih dari pinggan anak-anak ibu. kenapa? Abang fikir ayah nak ke makan ikan bilis, ubi kentang, telur goreng tu siang malam macam kita?"
Mujahid kedengaran tersedu.
"Abang fikir ayah nak ke tahu kita ni sihat ke tak? Abang ingat dia peduli ke kita ni ke klinik atau tak bila kita sakit? Bagitau ibu bila kali terakhir dia tanya kita dah makan atau belum? Bila kali terakhir dia tanya kita sihat ke tak? Ada ayah tanya?"
"Takde.."
Airmata aku melaju dan tanpa sedar pedal minyak aku tekan sama kuat dengan kesakitan yang aku tanggung di hati tika itu.
"janganlah sesekali anak-anak ibu bohong ibu lagi. Ibu tak marah kalau abang nak beli apa-apa. Ibu cuba dapatkan tapi bagi ibu masa. Ibu tak boleh macam ibu orang lain tu..asal sebut je ibu dah boleh belikan."

Kepala terasa berdenyut. jantung terasa bagai enggan reda rentaknya. Aku benar-benar kecewa...sakit dan Tuhann..aku bencikan lelaki itu!

Thursday, November 20, 2008

Diari

Diari...sebuah catatan tentang apa jua yang dilalui dan terkadang menempatkan setiap suka dan duka. Aku tak pasti saat bila aku pandai menulis dan membaca. Permulaannya barangkali ketika di darjah satu (SRK Dato' Idris Tanjong Ipoh) bacaan pertama ku ketika itu adalah tentang 'Ayam'. Kalau tak salah teks tu bunyinya..

Ini Ayam,
Ini ayam jantan.
Ayam jantan ada taji....(bakinya tak ingat! Hehehe)

Semua tu kenangan dan aku pernah mencatatkan suka duka itu di dalam buku tulis sekolah. Waktu-waktu aku bergurau dengan abang (achek) tapi gurauannya melampau sehingga dia mengikatku di tiang hadapan rumah. Mak melaung suruh mandi. Mungkin kerana geram dengan anak-anak yang tak mendengar kata botol plastik berisikan minyak tanah di tangannya. Mangsanya dah tentulah aku kerana tak dapat mengelak (dah kena ikat nak elakkan apa!) Kesannya dahi benjol..memang sakit!

Satu hari..kami menolong mak membakar sampah. Achek mengikat plastik barang di hujung kayu. Kebetulan malam sebelum tu bekalan elektrik terputus dan di rumah hanya diterangi lilin sebatang.
"Kau nak rasa?"
"Tak nak!"
"Tak panas laa.."
"Tak nak laaaa.."
"Rasa mcm lilin kita main malam tadi je..cepat arrrr!"
Terlalu percayakan dia aku hulurkan juga tangan.
"Waaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa!"
Mau tak meraung bila dia menitiskan plastik cair yang dibakarnya ke tanganku. Achek memang tak boleh dipercayai. Aku memang tak sukakan dia. Dia banyak aniaya aku kecik-kecik dulu. Dia rebus biji kekabu dan bagi aku makan. Katanya itu kacang macam yang mak masak bubur!

Semua tu dah berlalu..namun aku dan achek tetap tidak serapat mana. Ada jurang antara kami walaupun aku tau aku sayangkan dia. Tiap kali kenangan dia bergayut di pokok rambutan dengan dihurung lebah..aku akan menitiskan airmata. Itulah kali pertama aku tengok achek betul-betul menangis dan insaf! (hehehehe) Kami dewasa bersama-sama. Masa mak ke Mekah menunaikan haji, kami tinggal di rumah berempat (aku, achek, syaril dan idir). Dia menunjukkan kepakarannya buat megi goreng. Ok laaa tak lah sedap sangat tapi boleh laaaaaa. Masa tu dia tunggu offer untuk sambung belajar. Sebabkan mak takde tawaran ke UPM terpaksa ditolak (takde duit nak bayar pendaftaran). Rezki achek bila dia ditawarkan ke ITM Arau. Lambaian dia masa tu memang menyentuh hati. Kali ke dua dia menangis..(sampai sekarang aku tak pernah tengok dia menangis lagi)

Semua itu tercatat dalam diariku....

memang benarlah..diari menjadikan semalam itu kuat dalam ingatan kita meskipun diari itu tak muncul lagi di depan mataku. Diari juga menjadikan aku menilai..memberi makna pada setiap yang telah dilalui. Masih ada dalam simpananku beberapa buah diari yang menceritakan suka duka yang aku lalui sepanjang memperjuangkan cinta yang sia-sia itu. Helaian yang mengisi catatan betapa aku terlalu bodoh sebenarnya.

Semoga dari setiap catatan itu menjadikan aku kuat..tabah...dan belajar untuk tidak menangis lagi.

Wednesday, November 19, 2008

Perempuan

'selamat pagi'
Aku tersenyum. Terasa seolah-olah dunia diberikan bersama segala isi-isinya. Ucapan selamat pagi yang aku terima dari teman itu sedikit sebanyak mengisi hariku. Mungkin tidak seindah mana kerana kita mengucapkannya pada siapa saja. namun aku amat gembira. Mengerti betapa aku menjadi antara insan terawal yang diingatinya seawal pagi ini.

Pagi ini aku bangun seperti biasa. Dingin pagi yang menyelubungi kamar sedikit menyegarkan tapi juga menyiksakan buat diri insan yang hanya disaluti kulit ini..hahahaha...teringat pesan mak suruh makan banyak-banyak biar badan tambah berisi. Ahaks! nak dijawab tapi takut kerana mak bukan insan yang tahu makna gurauan. Seorang kakak di sekolah pernah mengusikku dulu.
"Ko ni kan Ja, cuba makan banyak biar berdaging sikit..ni aku tengok tulanggg jek'"
"Akak tunggu laa sampai ratu cantik dunia tu berdaging baru ja usahakan kak!"
Hahaha...dan mungkin ada di kalangan rakan-rakan yang bengang bila aku kata...aku ni anggun..cutting super duper model..hehehehe..yang sebenar cuma nak menyedapkan hati sendiri. Yelah! Aku pun ditinggalkan untuk seorang perempuan yang 'berisipadu lebih' hahahaha! dah Ja..berhenti mengutukkk! Hehehehe..

Biarlah..pagi ni nak wat dosa sikit...hahahaha...aku nak citer semua tentang saingan-saingan aku. Semua perempuan yang hadir dalam hidup 'lelaki' tu. Ikut hati nak je aku letak gambar dorang tapi...kang ada pulak yang saman aku. Satu keje pulak En Hariz (lecturer yang mengajar etika kat OUM) nak jadi lawyer aku kat court.

Yang mula-mula dulu nama dia Zubaidah (macam bukan nama sebenar..hahaha). Orang Melaka orang Serkam Pantai. Mula-mula dulu kira adik akak laa konon. First time aku ingat lagi punya bodoh masa tu aku tunggu dia kat Terminal One Seremban alih-alih nampak dorang berdua atas bas..takpe..sabarrrrr (aku kan penyabar tahap dewa!) Lepas tu masa kenduri bertunang Kak Long. Dia boleh tinggalkan aku macam orang bodoh kat kenduri tu semata nak gi menjemput kakak angkat dia. Lepas tu dia biarkan aku balik kerana katanya tak manis biarkan kakak yang datang dari jauh (melaka-K. Pilah..jauh ooo kena naik sampann..kuala laa katakann..hehehehe) tu sorang-sorang (walhal orang tu datang dengan Rosman, budak Sabah). Takpeee..sabarrrrrr (waktu ni aku rasa dah macam dewa kepada dewa). Ateh mengamuk sakan bila tau aku balik sendiri tapi jawapan aku pada ateh 'biarlah'

Aku bertunang tak lama kemudian (cabarannya cuma Tuhan yang tau!) lain kali la citer part yang tu. Genap sebulan...dia lari dengan kakak angkat kesayangan dia tu. Dengan alasan..aku ni tak matang..tak pandai melayan dia! Istilah melayan tu baru sekarang aku faham sebab zaman sekarang je tunang pandai 'layan' tunang. macam mana ye..kakak kesayangan dia tu layan dia? Dalam sebulan pertama tu juga aku nampak dorang berdua di Fajar..tengah pilih kad raya. Zubaidah tu siap senyum kat aku lagi. Aku yang penyabar tahap dewa ni tarik tangan Kak Azah ikut pintu lain. Apa ye yang ada dalam hati aku saat tu. Dorang bernasib baik sebab EJA dulu bukan Eja sekarang! Kalau Eja sekarang rasanya aku dah terajang dua-duanya depan Mc Donald tu. Silap hari bulan perempuan tu dah aku 'santau' kan macam yang perempuan terkini tu buat kat aku sekarang ni. hahahaha! Kejam juga hidup ni..ehh bukan hidup yang kejam tapi manusia yang hidup tu kejam! (aku tengah garu kepala..aku sekarang ni sanggup ke buat semua tu?)

6 bulan lelaki tu lenyap. Entah ke mana. Mak dia (sekarang merangkap mak mertuaku) tak henti-henti salahkan aku. Aku itu..aku ini..anak dia lari dengan perempuan lain..salah aku ke? Aku amik keputusan untuk putuskan aje pertunangan tu tapi mak dia merayu-rayu konon takut kehilangan anak lelaki kesayangan dia..last-last dia ugut aku. 2 tahun aku menanggung segalanya akhirnya aku terpaksa terima juga..TERPAKSA!

Tamat edisi koleksi pertama..semua tu ada dalam novel: aku 'mengapa Sukar Setia'

Perempuan kedua..ketiga..semua satu tempat keje. Semua 'berdaging' aku je yang bercuttingkan super duper model..hahahaha Yang lain-lain tu aku tak berapa ingat sangat nama dia..ada yang nama Suhaila laaa...mula-mula simpati lama-lama satu hari aku terbaca sms di telefon bimbitnya. teka teki pasal 'singkap kain'..pasal 'bulu' walaupun sekadar teka teki tapi...dari seorang isteri orang kepada suami orang..hmmmm...sampai satu tahap aku terbaca
'ada keluar awal..ada keluar lambat..abang suka yang mana?' takpe....dewa kena sabarrrrrrrr

6 tahun..menelanjangani sabar diri..mendefinisikan tabah..sehingga dia sanggup 'membangsatkan' aku saat aku mengandungkan arwah anak kami Muhammad Nur Muhaimin! Perkataan 'sial' 'celaka' 'lahanat' menjadi ulam di bibirnya.
Titik! Segala kasih sayang aku mula pudar dan semakin hilang warnanya bila anak kecil yang kukandung itu pergi buat selama-lamanya.

Akhirnya..muncul pula Melati, Aiza..dengan cerita masing-masing. Demi Tuhan...segalanya akan lekat di hatiku ini lelaki. Kau hitunglah...apakah aku masih punya sisa kemaafan buat mu? Apakah aku masih punya sisa kesabaran? Sekali kau 'bangsatkan' aku dulu selama-lamanya aku akan terus ingat. Itulah hadiah dari kau buat isteri yang memikul lebih separuh kewajipanmu. Kesilapan terbesarku bila AKU MASIH MAHU MENERIMA SEORANG LELAKI YANG TAK PERNAH MAHU MENGERTI. Kebodohanku adalah MEMPERCAYAIMU...dan satu-satunya yang aku ingin tika ini..KEMBALIKAN KEHIDUPANKU..KEMBALIKAN SEMALAMKU...

Titik!..(semua ni ada dalam novel : aku 'catatan terakhir seorang perempuan'

p/s: Aku tak berdaya berbohong pada diri yang aku tak pernah memaafkannya. Ya Allah..janganlah kau uji teman-temanku dengan ujian yang sama Kau berikan padaku.

Semalam - Antara Aku dan Dia

Cantik..anggun..indah..berseri..semuanya subjektif. Di mata kita mungkin cantik tapi di mata orang istilahnya lain. Bertahun-tahun dulu aku hanya seorang budak kampung yang lansung tidak memiliki apa-apa keistimewaan. Seingat aku dulu..makcik-makcik sebelah datuk pun tak perasan mak masih ada seorang anak dara selain kak lang. Hitam..berambut kerinting...dan rutinnya setiap petang adalah mengheret seekor kambing jantan nenek yang tak reti-reti nak balik sendiri. Waktu tu arwah Shahrul Nazmi masih ada. Setiap petang dia akan menemaniku. Sesekali dia akan mentertawakanku kerana rutin yang tak berkesudahan itu. Kalau arwah masih ada aku yakin dia akan tertawa mengenang biskut yang sepatutnya menjadi umpan buat kambing akhirnya menjadi habuan kami.

Arwah adalah sahabat baikku. Orangnya kecil tapi mulutnya riuh. 'budak itam' itu panggilannya padaku. Kalau orang lain dah lama aku lestik belakangnya. Bila ada kelapangan dia akan menemani ku memancing ikan puyu di parit depan rumah atau di palong berhampiran rumpun rumbia. Bila air parit melimpah dia akan ikut berceratuk mengadap aku memasukkan mata pancing ke dalam mulut ikan yg timbul kerana pening.

Arwah tak pernah jemu melayan perangaiku yang tak serupa perempuan. Bila tiba musim senapang buluh..dia ikut sama mencari buah 'cenerai' untuk dijadikan peluru. Bila tiba musim kombat-kombat kami sama-sama menanggalkan dinding dapur mak untuk dibuat senapang. Ya Allah..aku rindukannya.

kami dewasa bersama. terlalu banyak kenangan. kami melewati zaman belajar di kolej bersama-sama. Masih ku ingat dia satu-satunya kawan yang menunggu ku di perhentian bas sebaik aku pulang dari temuduga di Karisma publication. Celotehnya tak henti-henti, berharap akan melihat namaku keluar di kaca tv sebaik cerita Usop Sontorian tamat. Dia juga yang membantuku mengepit folio grafikku sepanjang perjalanan pulang.

Segalanya tinggal kenangan...bila 'dadah' merampas sahabat baikku itu dari aku dan keluarganya.

Semoga mahligai indah di syurga nanti,
menjadi pertemuan kita yang abadi,
ku yakini kita kan bersama juga,
kehendak Tuhan mengatasi segala.

Tuesday, November 18, 2008

Bila Kepercayaan Sirna

Aku didatangi tetamu hari ini. Seorang yang lahirnya kukenal di dunia siber hampir 2 tahun lalu hari ini menjadi tetamu di rumahku. Ini bukan kali pertama rakan-rakan datang bertandang dan tidur di rumah. Alhamdulillah masih ada yang sudi menjengah teratak yang penuh suka dan duka hidupku selain ruang sempit yang menjadi langit untuk aku dan anak-anak berteduh ini.

Terkadang benarlah kata orang...seburuk mana sorang kawan dan separah mana hati kita di sakiti mana tau dia akan sudi datang bertandang kala kita diamuk kesunyian. Alhamdulillah hingga ke hari ini biarpun aku putus asa menjelmakan cinta seorang lelaki (hadirnya sedang kubuang dari hidupku) aku masih punya teman-teman yang sudi menjadi tempat aku berpaut, dan walaupun aku tidak dikasihi mahupun dicintai seorang lelaki (yang sedang kukikis kenangan bersamanya) Allah tidak pernah memutuskan kasih sayang rakan-rakan lain buatku. Masih ada yang sudi menyayangiku..yang mengambil berat terhadap kesusahanku dan syukur kupanjatkan..aku masih punya teman yang sentiasa mendepangkan tangannya kala hatiku walang. Masih ada teman yang sudi meminjamkan bahunya kala aku kesedihan dan masih ada teman yang sudi menjadi tangan dan kakiku kala aku jatuh tersungkur. Masih ada teman yang sudi menjadi mataku kala pandanganku berkabuskan airmata.

Aku terlupa bagai mana segalanya bermula tentang sahabat yang datang bertandang ini. Di wajahnya ada duka dan luka..yang pasti luka itu turut melibatkan aku!

Bila kita mencintai kita berusaha menutupi segala kekurangan dia..lalu berusaha mencukupi segala yang tidak itu. Kita berusaha mencari di mana kelebihan-kelebihan yang menjadikan dia sangat sempurna di mata kita, keluarga, rakan taulan malah sesiapa sahaja. Kita menerima segala keburukkan dia dengan percaya 'dia berhak diberi peluang untuk berubah'

Bagaimana jika dia tidak pernah dan tak akan pernah berubah? Sanggupkah kita menghalalkan pengorbanan kita selama ini setelah dia menghancurkan hati dan perasaan kita? sanggupkah kita melupakan saja segala sesuatu yang dilakukannya dengan harapan luka itu sembuh sendiri? Bagaimana jika bersamanya kita kehilangan segala-galanya? maruah? kebahagiaan..teman-teman..kita kehilangan segala sesuatu yang menjadi milik kita. mampukah kita berdiri di hadapannya lalu berkata 'semoga kau bahagia' atau mungkin ' aku maafkan kau' . masih aku tak lupa bait lagu..'kemaafan dendam yang terindah' Benarkah memaafkan itu meleraikan kita dari segala kekusutan yang di sebabkan dia.

Walaupun aku tidak merasa apa-apa tika mendengar cerita teman ini tentang cintanya yang tidak kesampaian, aku tetap bersimpati. Bersyukurlah teman..kerana kau hanya perlu menangis sendiri tidak orang lain. Sekalipun menyedari apa yang kau tanggung ini tak mampu kau luahkan..simpanlah teman kerana sebahagiannya adalah milik kamu. Tika satu saat kau akan temui tempat terbaik untuk melepaskan segalanya.

Dia bukan cinta yang terbaik ditakdirkan buatmu. Percayalah..kau akan menemui takdirmu yang lebih bermakna.

Monday, November 17, 2008

Belajar Tersenyum 2

Demam! itulah istilah terbaik untuk aku nyatakan tentang keadaanku tika ini. Bibir terasa kering dan airmata sesekali mengalir tanpa sebab! Semalam sempat ke doktor di Bandar Baru Bangi bila dada terasa sesak.
"Sihat!"
Aku hanya memandang ke wajah bersih doktor yang merawatku itu. Sihat? Dengan pandangan yang semakin kabur dan sesekali pitam, dengan hujung-hujung jari yang terasa kebas, dengan badan sebelah kiriku yang terasa berat..aku sihat?
Entahlah!
"Ibu cuti sekolah ni ayah kata nak amik abang dengan kakak tinggal dengan dia. Ayah nak bawa abang tengok sekolah baru,"
Aku terkedu. Muhammad Nur Mujahid ku itu begitu excited! Jadi sungguhlah dia akan ambil Mujahid untuk tinggal bersamanya?
"Abang nak ke?"
"Nak!"
Entah anak itu menjawab dengan akal atau perasaannya. Senyumannya yang menawan terukir di bibirnya. Aku menatap wajahnya sekilas. Mungkinkah sampai satu ketika aku akan kehilangan anakku sendiri?
"Kalau tinggal dengan ayah kena jaga diri baik-baik. Dengar cakap ayah," ujarku menyembunyikan resah di hati.
9 tahun anak itu kubesarkan. lelaki itu hanya tahu besarnya saja dan alangkah tegar dia ingin mengambil anak lelakiku itu. Tidak cukupkah sekali dia pernah merampas Muhaiminku dulu?
6 tahun dulu tika usia kandunganku hampir 8 bulan...
"tangguh dululah ke team building tu..ibu rasa tak sihat!"
"Mana boleh tangguh-tangguh. Ayah kena pergi jugak."
"Nanti siapa nak ambil Fatin kat rumah Kak Siti?"
"Mintalah Along atau Angah hantar ke rumah,"
"Pagi-pagi siapa nak hantar ibu ke sekolah? fatin ke rumah pengasuh? Ibu tak larat...tengah hari mana ibu larat nak turun naik bas dengan perut macam ni yah!"
namun dia pergi juga..dan aku?
hasilnya walau telah 6 tahun berlalu aku masih merasa lukanya. Kesakitan yang takkan mungkin dia rasai...
Tika ini dia mahu mengambil Mujahidku pula?

Saturday, November 15, 2008

Belajar Tersenyum



Hari Sabtu pertama cuti sekolah, badan tak begitu sihat sejak hari Khamis yang lepas. Asalnya nak ke klinik tapi anak-anak turut demam selsema dan batuk. Tak lepas untuk 3 kepala ke klinik nanti. Dulukan Mujahid dan Fatin..semoga cepat sembuh!

Dada terasa panas kembali. Tekak terasa pijar. 2 malam aku terlupa untuk menghabiskan bacaan Al Fatehah (56 kali setiap hari) Perit juga. Aku ditamui sakit seperti sebelum berubat di Sabah dan Muar dulu. Tuhan...bantuilah aku. Setiap kali sakit itu datang, antara lelangit dan tekak ku akan berasa panas dan pijar. Badan seperti nak demam dan setiap kali itu juga aku ke doktor aku akan mendapat keputusan yang sama. Sihat! Ujian darah dah dua kali dan keputusannya masih sama. Tekanan darah baik..

Sesekali dada terasa sesak. Tika itu hanya airmata yang menitis dan aku akan menghubungi kawan-kawan untuk mengharapkan sedikit waktu berbual. Sekurang-kurangnya untuk melupakan sakit yang kutanggung.

Teringat pada sebaris lagu yang pernah didendangkan seorang teman dulu..
'perjalanan sunyi yang kau tempuh sendiri kuatkan lah hati cinta...
kekuatan hati yang berpegang janji genggamlah tanganku cinta,
ku tak akan pergi meninggalkanmu sendiri temani hatimu cinta..'

Di mana agaknya temanku itu? Masih ingatkah dia padaku seperti mana lagu-lagu dendangannya? Apakah aku masih di hatinya dan saat ini dia sedang mendendangkan lagu yang sama buatku? Terkadang aku amat merindui kehadirannya. Seorang kawan takkan pernah melupakan temannya..takkan pernah memberi harga..takkan pernah membenci dan takkan pernah belajar melupakan. Semoga aku masih ada di hatinya.

Esok...masih ada tutorial yang perlu kuhadiri sebelum exam minggu hadapan. Tidak kunafikan semester ini semangat sedikit luntur. Terasa lelah untuk meneruskan tetapi aku harus teruskan juga. Tak guna untuk aku bersedih..berduka lara untuk lelaki seperti dia. Tidak guna aku mengalah untuk perempuan sekeji itu. Tidak guna untuk diamuk seluruh dunia hanya untuk perempuan sehina dia. Aku boleh membalas setiap kesakitan yang diciptakan oleh mereka berdua tapi seandainya diteruskan..apa beza antara aku dan mereka?

"kalau ibu dah takde lagi kakak nak tak makcik tu jadi ibu kakak?"
gantikanlah tempatku itu wahai lelaki..sekalipun sejuta perempuan yang kau temui takkan pernah ada satu yang dapat menghilangkan aku dari dalam diri anakmu.

"Nanti bila cuti fatin dengan Mujahid boleh pergi swimming dengan makcik..tidur rumah makcik ye.."
Perlawalah perempuan biar apa jua yang kau lakukan kau juga takkan pernah mampu melenyapkan aku dari ingatan mereka.

Kalian berikan aku tuba..hidangkan aku racun dan aku masih mampu berdiri di sini kerana aku yakin Allah akan terus di sisiku. Dia akan terus di hatiku. kalian cuba merampas anak-anakku namun aku tetap yakin walau ke hujung dunia kalian larikan..aku tetap ada di hati mereka. Sekalipun kalian tanam aku di perut bumi..sebahagian nyawaku ada pada mereka.

Aku tetap tersenyum..kerana mati bukan kerana sumpah, hidup juga bukan kerana janji. Segalanya perancangan Dia. Hanya Dia..dan kerana Dia..aku berserah!

Friday, November 14, 2008

Rasa Ini.

Pandangan mata, renungan, pertanyaan dan sindiran menjadi abu dalam diri. Aku cuba berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku dalam diri meskipun terasa setiap perkataan itu menikam ke nadi.
"Hmm..dah macam ibu tunggal, arak anak ke hulu hilir!"
Aku diam. Sekilas wajah itu ku pandang. Rasanya tak salah antara mereka yang pernah berhubungan dengan 'dia' dulu. Senyum kulemparkan
Tabahlah wahai hati..terkadang berdiam akan menjadikan kita pemenang! Berdiam terkadang menjadikan kita juara. Setidak-tidaknya kita masih punya belas terhadap mereka. Biarlah walau apa jua tanggapan mereka terhadapku namun aku yakin kesabaran akan berbalas jua. Tidak pada ku pasti terhadap anak-anak. Bukankah aku pernah berjanji kepada diriku andai bahagia anak-anak dapat kubeli dengan derita...aku relakan!
bergenang air mata saat rakan-rakan bercerita betapa bahagianya mereka punya tempat untuk bercerita..punya tempat untuk mencurah kasih namun aku? Cinta tidak menjadikan aku nombor satu di hatinya. Biarlah...
Tidak kunafikan sampai satu saat aku menjadi benci untuk menemui sesiapa. Hinakah aku di mata mereka? kurang sangatkah aku?
Kekosongan yang menghimpit, kemarahan yang terkadang menjadikan hati ini membara, ada kebencian..ada dendam..dan aku sedang berusaha mengikisnya.

Thursday, November 13, 2008

Mimpi ini

Tepat jam 3.33 pagi tika aku terbangun! Astaghfirullah...Tuhann.jangan jadikannya satu kenyataan kerana aku takkan bisa menanggungnya jika ia benar-benar terjadi di depan mataku ..tidak lagi ya Allah walaupun ia hanya akan sampai ke telingaku

Aku di sebatang jalan yang amat sibuk. Langit yang teramat kelam dan aku melihat segala di sekelilingku seolah-olah enggan berhenti. Segalanya teramat menakutkan bila melihat tubuh-tubuh yang dilanggar kenderaan yang bertali arus tanpa henti. Ambulan yang bersimpang siur dengan huru-hara manusia di jalan itu. Ada diri yang menggeletak bila tubuhnya dilanyak tayar-tayar kenderaan. Darah yang membasahi jalan. Diri yang terbujur kaku selain sisa-sisa cebisan daging manusia! Ya Allah...

Di akhirnya...aku melihat seorang anak kecil yang kesakitan dan dia berusaha untuk bangun dan jatuh kembali dengan tubuhnya yang berlumuran darah!

Ya Allah..bantulah mereka itu! Hanya itu yang dapat aku ucapkan bila di mata terhidang kesakitan demi kesakitan.

Aku terbangun..lantas menunaikan solat Isyak yang masih tertunggak, dan dalam kegelapan dan kesepian dinihari ini hatiku berdetik.."Ya Allah..sekalipun segala kesakitan ini bersisa, aku mohon kau berikan aku kekuatan untuk menempuhi segalanya setenang kekasih-kekasihMu, setabah para syuhadaMu, sesabar Sumayyah, sekuat Aisyah dan seteguh Khadijah. Cekalkan hati ini ya Allah dan berikan segala kebaikkan buat mereka yang berada di sekelilingku, buat kedua ibu bapaku, keluargaku, anak-anakku, sahabat-sahabatku dan sekalipun buat mereka yang pernah mengguris hatiku.."

Sejenak tika catatan ini ku tulis aku masih tertanya.. siapa WANITA yang berdiri tenang di sisiku kala mimpi itu tadi?

Percaturan


Melihat titis hujan yang berjurai turun dari langit yang masih kelabu, sesekali dingin angin menampar pipi membawa bersamanya tempias yang akan menyentuh kulitku. Terasa sejuk..aku berdiri di sana melihat keletah anak-anakku juga anak-anak di kejiranan yang begitu asyik bermain air hujan. Jerit dan gurau mereka..sesekali Mujahid melambai ke arahku
Terasa ingin larut dalam keriangan anak-anak itu tapi berdayakah aku mengheret hidup yang tak berkesudahan diamuk ujian ini? Banyak lagikah sabarku masih bersisa, kuat lagikah aku untuk menjunjung tabah?
Seseorang ada menitipkan buat ku sesuatu malam tadi. Katanya..' kita kadang-kadang perlu mencari siapa kita sebenarnya..tak perlu bergelumang dengan isipati semasa bak kata orang lemas dalam lautan luas akibat terlalu lama menyelam..kita perlu kembali kepermukaan dan menilai..meneliti ke mana arah tujuan hidup dan setelah itu kembali menyelam demi mencapai tujuan yang ingin dicapai'
Kalaulah semudah itu aku dapat bangkit dan berlari kembali. kalaulah semudah itu aku dapat tersenyum dan ketawa. Terlalu banyak hati yang harus kujaga, terlalu banyak airmata yang perlu kuempang. Saat tersenyum hanya mampu menyembunyikan seribu bicara duka lara, saat tawa hanya ingin melarikan tangis dan keluh kisah. saat keriangan hanya untuk menyirnakan kesakitan yang sedang kutanggung..tentang keperitan, tentang derita tentang sepi dan walau sejauh mana aku melangkah ia masih tetap di situ..menjulang dan membenamkan aku jauh ke dasarnya.
Mungkinkah ada insan yang mahu mengerti betapa aku menginginkan sepasang tangan yang mampu membantuku bangun dari jatuh ini? Mungkinkah masih ada sepasang bibir yang dapat mengembalikan warna-warna indah dalam hidupku. Apakah mungkin ada sepasang mata yang mampu mengembalikan sinar gemilang kala cahaya hidup mulai malap?
Namun berdiri di mimbar kehidupan dan hanya menanti tidak akan membawa aku ke mana-mana. Kalau ini adalah satu percaturan mungkinkah aku adalah buah-buah caturnya? melangkah dan berdepan dengan takdirku atau hanya menanti dan menjadi dungu?
Katanya lagi..'U seorang yang cantik dari erti kata cantik rupa dan penuh dengan keyakinan dan keceriaan, jadi saya tanya di mana dia sekarang? U kena cari U dan keluar dari kesedihan yang dialami..buat apa dia happy, u tak..dia tidur lena u tak..biar kita cari diri kita..dia yang rugi'

Tuhan..kalaulah aku temui jalan keluarnya.

Wednesday, November 12, 2008

Cinta dalam hati


Cinta Dalam Hati-Ungu

Mungkin ini memang jalan takdirku
Mengagumi tanpa di cintai
Tak mengapa bagiku asal kau pun bahagia
Dengan hidupmu, dengan hidupmu

Telah lama kupendam perasaan itu
Menunggu hatimu menyambut diriku
Tak mengapa bagiku cintaimu pun adalah
Bahagia untukku, bahagia untukku

reff:
Ku ingin kau tahu diriku di sini menanti dirimu
Meski ku tunggu hingga ujung waktuku
Dan berharap rasa ini kan abadi untuk selamanya
Dan ijinkan aku memeluk dirimu kali ini saja
'Tuk ucapkan selamat tinggal untuk selamanya
Dan biarkan rasa ini bahagia untuk sekejap saja

Tuesday, November 11, 2008

Mencari Hidup

Terasa lelah..letih..dan segala macam rasa menghuni dalam hati. Aku juga mula kehilangan rasa ingin melakukan apa saja yg aku sukai. Segalanya menjadi seumpama racun..tuba..dan aku merasa amat tersiksa untuk menempuhinya.
Sesekali terasa ingin saja aku melangkah pergi meninggalkan segala ini namun di hati tertanya selesaikah kesulitan demi kesulitan yang sedang aku hadapi ini atau aku hanya akan mengundang sakit yang lebih parah?
Namun..demi Tuhan..aku kelelahan. Perit untuk menanggungnya namun entah di mana pangkal untuk ku usai tiap kekusutan. Entah di mana punca dapat ku rangkap agar mampu kuluahkan. Semuanya menggumam di hati, meledak di setiap pembuluh darah.
Seseorang bertanya padaku..menyesalkah aku? menyesal? ya..mungkin!
"Menyesali takdir dan perjalanan jodoh itu seperti kau marah pada rencana Tuhan mu Ja!"
"Aku tahu..."
"Sebab tu kau kena lihat org di sekeliling kau Ja..macam mana susah kau ada insan lain yang lebih susah!"
"Selagi aku masih ingin membandingkan susah aku dgn orang lain selagi tu aku tak berganjak. nasib aku masih sama!"
Dia diam.
"Aku cuma nak pergi dari sini.."
"Kau nak lari?"
"Bukan..aku cuma perlu keluar dari ruang yang melemaskan ni."
"Bukan lari ke maknanya?"
"Buat apa duduk dalam kepulan asap yang dah pasti buat kita tersedak?"
"Kau kena selesaikan,"
"Tak akan selesai kalau cuma aku yang menoktahkan.."
"Kau plan nak buat apa Ja?"
Entah..dalam hati aku cuma nak pergi dari sini. Aku hanya ingin kembali memulakan kehidupan yang baru. jauh dari dia. jauh dari setiap kesakitan yang dia sediakan buatku..jauh dari akad kehidupan yang dijerutnya ke leherku.
Aku hanya ingin mengembalikan senyum dan tawa yang hilang dari bibirku. Dunia ini indah dan aku ingin menikmati keindahannya jauh dari kabut airmata yang menjadi tirai selama ini.
Aku hanya ingin mengembalikan sesuatu milikku yang bernama KEHIDUPAN!
Sesuatu yang bernama NAFAS
Sesuatu bernama TENANG

Sunday, November 2, 2008

Semalam Bersulam Dusta

Maniskah kenangan? Kala ia hanya menjadi sebuah catatan penuh duka? Di mana lah indahnya semalam kalau akhirnya aku akan meratapinya sendiri. Cangkir sabar akhirnya retak kala aku menyedari di saat aku sedang berusaha menyulam selimut bahagia itu aku menyedari adanya senyuman lain yang sedang kau puja. Cangkir sabarku tumpah kala kau mula membawa diri lain dalam dunia pengorbananku. Mengapa kau harus terus membohongiku setelah bertahun-tahun aku cuba membuka ruang maaf untuk setiap inci kesakitan yang pernah kau bawa dan hidang buatku?

Bukankah pernah kuucapkan dulu...itulah sekali dan kala kau bawa diri lain dalam dunia kita aku takkan pernah berkira-kira untuk melangkah lagi. Hari ini potret-potret itu ingin sekali aku kuburkan kerana setelah bertahun-tahun berlalu senyuman yang tercipta itu sebenarnya adalah bunga-bunga tangisanku.

Satu-satunya impian yang tinggal...aku ingin menutup sepasang mata ini dan tika ku bangun esoknya....takkan pernah ada wajah itu lagi di hadapanku!

Manjalara/2 Nov 2008/10.25 p.m.

Rapuhnya Perasaan



Lidah hanya mampu menuturkan sayang tapi mungkinkah hati kita juga seiring tika menyatakannya? Mata terpaku menatap indahnya seraut wajah juga senyum di bibirnya tapi mungkinkah hati yang berbicara turut memperakukan? Segalanya tentang rasa..naluri..tapi pernahkah kita bertanya pada sebidang ruang kecil yang ada di dalam diri kita apakah itu yang dia juga mahukan?

Mengapa harus diucapkan sayang jika kita tidak mampu untuk memberikan dia sedikit jaminan tentang perasaan kita terhadap dirinya? Aku mencari pengertian dari setiap butir bicara yang diungkapkan oleh lidahnya tapi mengapa aku tidak mampu menemukan secebis pengertian dari sejalur cahaya dari setiap inci pandangannya? Aku mendengar tiap bait kata kasih yang dilontar dari sepasang bibirnya tapi mengapa aku tidak menemukan roh cintanya di situ?

Tautan pandangan namun di sana aku hanya menemukan sebuah perjalanan yang tidak berpenghujung? Mungkinkah bernoktah..atau diri terlalu takut pilihan itu satu kesilapan? Bukankah kehidupan harus ditempuhi?

Apalah maknanya cinta..sayang..dan prihatin jika tiba satu saat dan ketika kita takut untuk menetapkan apa yang kita mahu. Apalah ertinya rindu..ingatan..impian..jika kita sendiri tidak pernah pasti.

Alangkah rapuhnya perasaan kala sesaat kita terlalu menginginkan dan di satu saat yang lain kita sendiri menjadi tidak pasti.