Thursday, October 25, 2007

Catatan Perjalanan- Muhaimin Selepas 229 Hari Itu

Muhaimin Selepas 229 Hari Itu

Muhaimin, satu-satunya yang teramat ibu inginkan saat ini adalah menatap wajahmu. Perasaan itu dating lagi setiap kali ibu sendirian. Terkadang sayup-sayup kedengaran suara tangisan bayi dan tiap kali itu jualah perasaan ibu bagai dihiris pedih. Ibu merinduimu saying sekalipun hanya untuk gerakan halus di dalam rahim ibu ini.

Hari itu ibu benar-benar keletihan. Ayah ke Sepang untuk mengikuti Team Building yang dianjurkan oleh Infineon untuk setiap pekerjanya. Sebelum ini pun badan ibu tidak berapa sihat terutama selepas balik dari kursus di Ipoh. Di sekolah ibu mengajar seperti biasa. Lantaran keletihan yang keterlaluan ibu merayu pada guru besar untuk melepaskan ibu dari jadual kelas tambahan UPSR tapi dia enggan. Ibu cuba minta pertolongan dari beberapa guru yang lain dan terlalu banyak alasan yang diberikan mereka pada ibu. Ternyata ibu bukan antara nama-nama besar di kalangan mereka dan rayuan ibu dipandang sepi. Airmata berladung di sudut pandangan. Puan Reynuga hanya mampu memujuk dan menggosok belakang ibu.

23 April 2003 itu ibu lalui dengan keletihan yang amat sangat. Rasa haus memaksa ibu menghabiskan beberapa botol air mineral di kelas dan bilik guru. Perasaan ibu berdetik jua. Mengapa anak ibu kurang bergerak sedari pagi? Pengalaman sewaktu mengandungkan kakak buat ibu terfikir, mungkin kerana ibu terlalu letih.

Menjelang petang ibu tidak merasai gerakanmu. Sambil duduk di sofa ibu pujuk anak ibu agar bergerak seperti selalu. Sambil berbual kecil ibu menyusun baju-baju kecilmu satu persatu ke dalam beg. Mana tahu kalau-kalau ibu akan bersalin dalam tempoh terdekat ini. Botol susu, susu tepung dan lampin yang ibu beli malam tadi ibu masukkan ke dalam beg pakaian. Perut ibu usap. Anak kecil ibu tetap tak bergerak. Tuhan, lindungi anak kecilku. Ibu nekad ayah pulang nanti kita akan ke klinik. Ibu takut!

Apa lagi yang ibu harapkan di scan monitor kalau bukan melihat degupan jantungmu juga gerakanmu namun segala-galanya musnah.
“Dik.anak dah meninggal!”
Muhaimin, ibu rasa nyawa ibu bagai direntap saat itu jua. Bagai ada gelombangbesar yang menjulang ibu tinggi dan kemudiannya membenamkan ibu jauh ke dasar lautannya. Degup jantung ibu seakan terhenti. Hati bagai diinjak-injak lumat. Mana mungkin ana ibu yan masih bergerak cergas malam tadi kini tiada lagi. Airmata bagai rantaian dari langit. Ibu terasa kesejukan yang teramat. Kenapa? Diri terasa bagai di awangan.

Ayah menghantar ibu ke hospital malam itu juga. Bermalam di wad merupakan suatu detik yang sangat memedihkan. Bagaimana dapat ibu katakana pada diri ibu, anak kecil yang amat ibu harapkan selama ini telah diambil pergi buat selama-lamanya. Bergeraklah sayang, jangan duga ibu begini! Ibu rayu, merintih namun anak kecil ibu tetap tak bergeraj.

Sepanjang malam ibu menangis. Ibu letak tangan diperut dengan harapan yang teramat tinggi.ibu mengharapkan keajaiban saat itu. Malam itu tak seperti malam-malam sebelum ini. Kalau dulu ibu merangkai harapan tapi malam ini ibu hanya dapat melihat kecaian-kecaian impian ibu terbakar satu persatu. Debunya berselerakkandan ibu hanya mampu melihat kaku tanpa sempat berbuat apa-apa. Dunia ibu kosong, sepi dan perasaan kecewa yang menghuni di hati merantai segenap sendi.

Muhaimin, salah ibukah? Di mana silapnya? Rasa mengantuk hilang bila mengingatkan malam ini adalah malam terakhir kita bersama. Esok, tubuh kecil di alam rahim ibu akan diambil pergi. Kebahagiaan yang selama ini bertamu akan beransur pergi.
Airmata bertali arus lagi.

24 April 2003, 5.30 pagi mereka membawa ibu ke bilik bersalin. Kamar 16 menyaksikan peperangan yang paling hebat dalam diri ibu. Sayup azan subuh berkumandang dan ibu di kamar itu bagai menanti hukuman mati.

Perjuangan yang seharusnya berakhir dengan kegembiraan dan rasa syukur sebaik mendengar tangisan si kecil bergema..tapi tidak untuk ibu. Berulang kali ibu diingatkan, anak kecil ibu tidak akan menangis. Di mana dapat ibu cari kekuatan unuk menghadapi semua ini sayang, kalau selama ini ibu berdiri kerana mu?Di mana ingin ibu raih lagi makna kehidupan itu sayang, jika selama ini ibu hidup kerana kehadiranmu?Rasa lapar dan dahaga hilang bila mengingatim. Siapa yang teramat dahaga semalam anakku, ibu atau kamu?

Ibu hanya dapat berjumpa ayah sebaik petang menjelang. Kata ayah ramai yang menunggu ibu di luar. Mereka di sekolah terkejut dengan berita yang ayah sampaikan. Hati ibu beku. Kalau dapat ibu kongsi rasa sedih dan kecewa yang membara di hati. Kesan ubat yang dimasukkan mula terasa tetapi kesakitan kerana kehilanganmu mengatasi segalanya. Teramat berat untuk untuk membiarkan anak ibu keluar dari rahim ini andai ibu tahu kesudahannya. Kalaulah boleh ibu biarkan anak ibu terus menghuni rahim ibu buat selama-lamanya. 229 hari kita bersama setiap detik dan waktu. Kita bersatu menghela nafas bersama dan tak semudah itu untuk ibu biarkan kau diambil pergi. Hingga ke saat akhir itu ibu masih mengharapkan keajaiban.
Beberapa orang doctor pakar datang melawat ibu.

“Puan Haliza bersabar. Puan tahu kan anak puan sudah meninggal?”
Mengapa soalan itu juga yang diulang-ulang? “Doktor saya mohon untuk dibedah,” ujar ibu kerana hati ibu teramat patah kala itu. Sakitnya tak terungkap anakku. Sakit kerana kehilanganmu.
“Puan, kalau nak di operate pun tak membawa apa-apa makna. Kami tak dapat menyelamatkan anak puan lagi. Semua dah berakhir. Puan kena terima.”
“Saya tahu! Doktor nak saya tanggung sakit yang mana? Sakit bersalin atau sakit kerana kehilangan dia?”
Permintaan ibu mati di situ. Setelah perbincangan antara mereka berlansung ringkas mereka sepakat untuk memberikan ibu suntikan epidural untuk mengurangkan rasa sakit. Ya Allah! Bagaimana nak ibu dapat luahkan sakitnya di hati ini.

4.30 petang, anak ibu lahir sekalipun doctor menjangkakan masih terlalu awal kerana pintu rahim masih belum terbuka. Barangkali anak kecil ibu tak mahu membiarkan ibu terusan menanggung kesakitan itu. Ibu menangis menyambut kelahiranmu sayang. Anak ibu tak bergerak mahupun menangis seperti yang ibu ketahui. Ibu minta untuk mendakapmu. Saat memeluk tubuh kecilmu membawa ibu jauh ke benua yang kosong. Hanya kita berdua. Buat pertama kali susu ibu mengalir. Hati ibu tercalar lagi. Ibu cium pipimu yang dingin sedingin hati ibu kala itu. Saat itu terasa segala-galanya berputar kembali. Rasanya baru semalam ibu disahkan hamil. Rasanya masih baru semalam ibu melihat degupan jantungmu buat pertama kalinya di scan monitor. Rasanya masih baru semalam buat pertama kalinya ibu merasai gerakanmu. Segala-galanya mash terlalu baru.

Nenek datang bersama Mak Lang untuk mengambil dan menguruskan jenazahmu. Sebelum pergi ibu minta untuk melihatmu buat kali terakhir. Daatkah semua yang hadir mentafsirkan betapa besarnya derita ibu Muhaimin? Ibu tatapi segala miliku kerana ibu bimbang akan kerinduanmu. Sepasang mata yang tidak dapat ibu saksikan keindahan cahayanya. Hidung dan bibirmu yang kecil, rambutmu yang hitam dan lebat. Anak lelaki ibu, permintaan apakah yang terbesar selain meliat kau menarik nafas pertamamu? Ibu cium lagi pipimu, dingin. Matamu terpejam rapat, bibir kecil mu tertaup rapi. Muhaimin, bukalah matamu. Lihatlah betapa deritanya ibu. Menangislah Muhaimin agar mereka tak pisahkan kita.

Tangisan adalah teman terakrab ibu malam itu. Sepanjang malam ibu tak mampu melelapkan mata. Di mana-mana ibu melihat wajahmu. Terasa bagai ada jemari kecil yang bermain di pipi ibu. Alangkah sakitnya perasaan ini, sayang.

‘dia menanti bondanya di syurga’ tertera di muka telefon bimbit ibu sms dari seorang rakan JU Seni mengiringi ratapan ibu malam itu.

Lewat petang Jumaat guru besar dating melawat ibu bersama isterinya. Apa yang tergambar di wajahnya tak dapat ibu baca. “Sabarlah..anak awak menanti di syurga” Muhaimin, cukupkah sekadar itu yang terdaya dia ucapkan untuk menutup rasa bersalahnya? Kalau semalam ibu merayu simpatinya dia dengan angkuh memberi seribu alasan. Memang ibu akur segalanya takdir tapi ibu percaya apa jua yang berlaku ada sebabnya. Apakh cukup dengan beberapa patah perkataan yang keluar dari bibirnya cukup untuk meraih maaf ibu? Demi Tuhan, biarlah mereka tawarkan ibu matahari, bulan dan bintang di langit tetap jua tak dapat menebus kecewa ibu kerana kehilanganmu.

Hari-hari yang berlalu adalah perjalanan hidup yang teramat panjang. Diri terasa bagai dicincang lumat tiap kali mengingatimu. Mereka dating untuk mengziarahi ibu namun pertanyaan demi pertanyaan membuat hati ibu lebih terluka. Benarkah segala-galanya salah ibu? Terasa di bahu segala kesilapan dihimpun.

1 Mei 2003, 8 hari berlalu namun rindu ibu sarat buatmu. Hanya titisan airmata yang mengalir mengenang dirimu yang jauh. Bagaimana mungkin dapat ibu luahkan rindu ini?Di mana wajah yang teramat ingin ibu tatapi? Segalanya tinggal kenangan. Bayangan saat terakhir ibu mendakapimu senja itu kerap melintas di fikiran. Muhaimin, pemergianmu membawa segala kemanisan hidup ibu. Pemergianmu membawa segala keindahan hidup ini.

Muhaimin adalah sebahagian daripada nyawa ibu. Bagaimana ibu dapat teruskan hidup ini andai separuh nyawa ibu diambil pergi?

Terkadang ibu diamuk rasa rindu dan perasaan itu benar-benar menghimpit. Di mana penawarnya Muhaimin? Kerap kali tangis ibu tumpah di bahu ayah tapi segalanya tak mengurangkan apa-apa. Ayah mungkin jua bersedih tapi mana mungkin dapat ayah rasai derita ibu ini. Ayah minta ibu lepaskan anak ibu pergi dengan redha…Muhaimin..

Malam, ibu tak pernah dapat tidur lena. Selepas malam terakhir kita di wad dulu ibu sukar memejamkan mata. Hati kecil ibu seakan merasakan anak ibu akan pulang. Muhaimin, kegelapankah kamu di sana? Dinginkah anak ibu? Tiap kali susu ibu mengalir ibu terkenangkan dirimu. Laparkah? Muhaimin, akhirnya ibu tertewas juga. Maafkan ibu sayang kiranya ibu juga yang menghadiahi kasih sayangnya dengan kesilapan hingga kehilanganmu..andai ibu menyakitimu

Menatap ke langit Ilahi, mata ibu tercari-cari antara kerdipan bintangNya…hati ibu tertanya-tanya di susut manakah anak ibu?

Nenek menjaga ibu sepanjang tempoh berpantang tapi untuk apa anakku? Yang sakit bukan tubuh ini tapi perasaan ini. Kenapa ini yang Dia takdirkan buat ibu sedang Dia tahu ibu tidak sekuat mana? Ibu tak segagah dan setabah mana anakku. Sebak memijar di dada terutama tiap kali menatap barang-barang keperluanmu. Baju kecilmu tempat ibu mencurah rindu. Kain yang digunakan untuk membalut tubuhmu menjadi teman tidur. Namun segalanya ta pernah surut.
Kata Noorlina…anak ibu di syurga. Kata hati kecil ibu..ibu terama merinduimu.
Apapun jua rindu ibu tak berpenghujung. Rindu ibu sarat. Sekalipun harapan ibu tak kesampaian di sini namun tunggulah ibu di sana. Hadirlah dalam mimpi-mimpi ibu sayang dan hingga ke akhir hayat ibu akan terus menyintai dan merinduimu.
Muhaimin, ternyata dunia bukan persada pertemuan kita. Tiada ruang di medan ini untuk ibu curahkan kasih-sayang ibu. Takdir allah yang ibu akan memilikimu sesingkat ini. Dia hanya meminjamkan ibu selama 229 hari.

Sayang, 229 hari bersamamu adalah saat-saat terindah ibu. Saat-saat manis mencanting impian. Hari demi hari seterusnya ibu akan kembali menganyam selimut rindu ini dan selimut rindu inilah yang akan ibu serahkan padamu di pertemuan kita kelak. Pergilah Muhaimin, ibu redha dan yakin sesungguhnya kasih ilahi adalah cinta terbaik buatmu.

Tuhan, lindungi anak kecilku dalam pelukan rahmat-MU. Terima kasih kerana mengizinkan aku memilikinya selama 229 hari ini. Lindungi dia dari lapar dan dahaga, lindungi dia dari kedinginan mahupun kepanasan. Jadikanlah dia kekasihMu dan izinkan dia hadir dalam mimpi-mimpiku.

Ampunkan hambaMu ini kerana begitu mudah hatinya mempersoalkan takdirMu.
Tuhan..ringankan deritaku..

Nukilan: Manjalara/18.12.06/11.30 p.m.

No comments: