Thursday, October 25, 2007

Cerpen-Pulang Yang Damai (3)

Pulang Yang Damai (3)

Aku terlontar di ruang penuh sunyi ini. Tiada suami, anak-anak mahupun teman-teman yang menemaniku. Suasana wad amat suram dan bungkam. Setiap persatu wajah yang mengelilingiku kelihatannya amat sugul. Mak masih menggenggam erat Surah Yaasin di tangannya. Wajah mak kelihatan amat letih. Sesekali aku melihat mak mengesati airmatanya. Mak..ampunkan Eja. Tika ini aku hanya mampu melutut di kaki mak. Sekalipun mak takkan sedar betapa aku terasa amat sedih tika aku mula mengerti saat untuk aku tinggalkan segala-galanya kian hampir. Maafkan Eja mak kerana terpaksa tinggalkan mak dalam keadaan begini. Dahi mak kucium berkali-kali sekalipun aku tahu mak takkan merasa apa-apa. Alangkah indahnya perasaan bila membayangkan diri dalam rangkulan perempuan tua ini. Aku teramat ingin merasa pelukan eratnya.
Bertahun-tahun aku hanya mengimpikan untuk berada dalam pelukan wanita tua ini.Bertahun-tahun aku meratapi kasih sayangnya buatku. Bagai terlerai satu demi satu impian yang kulukis bila melihat mak sering memeluk kakak dan sepupuku yang lain tapi tidak aku. Mengapa? Terlalu kurangkah aku hingga amat payah untuk dikasihi? Seringnya aku menangis sendirian bila mak berusaha meleraikan genggaman tangannya bila aku berusaha untuk mengucupi sepasang tangan itu. Setiap kali itu juga aku meratap bila pelukanku ke tubuh wanita tua itu tidak bersambut. Mak akan berpaling bila aku cuba mencium pipinya. Mengapa teramat sukar untuk memiliki perhatian mak?
Ciuman pertama mak hanya singgah kala aku kehilangan anak kecilku..Muhaimin. Hari itu mak memelukku erat di kamar bersalin sambil bibirnya menyuruh aku bersabar. Ciuman itu hanya singgah setelah umurku menginjak ke angka 29 tahun. Mak alangkah mahalnya kasih sayangmu..
Mana suamiku? Wajahnya tidak kelihatan di mana-mana. Aku mencarinya di segenap ruang di wad tersebut, sehinggalah aku menemuinya di cafeteria hospital. Tak dapat kubaca apa yang terlukis di matanya. Bersedih atau bergembirakah dia?
“Abang fikir apa?”
Perempuan ini…
“Janganlah susahkan kepala abang nak fikir semua ni..dah berlaku pun..”
Aku tersentak. Aku kenal perempuan yang menghampiri suamiku ini. Tangannya singgah di bahu suamiku sebelum sebelah lagi menghulurkan secawan Nescafe yang masih panas. Dia duduk berhadapan dengan suamiku. Sampai hati abang…
“Apa yang berlaku?” soal suamiku.
“Kak Eja pun sedang tenat bang..doktor kata peluang dia hidup tipis..”
Suamiku mengeluh.
“Abang jangan bimbang, kalau apa-apa jadi pada kak Eja, Ati janji akan jaga anak-anak abang macam anak-anak Ati juga..”
“Abang tak nak bincang pasal tu. Bukan masa yang sesuai untuk kita bincangkan..”
Aku bagai ingin menjerit. Sampai hati abang. Eja belum mati dia dah berani datang dan bercakap tentang anak-anak Eja. Aku tak mahu di sini lagi..
“Jom la Ja..ikut aku,” Inaz masih setia menemaniku. Pandangannya tetap sayu.
“Aku belum mati lagi Naz, berani perempuan ini…”
“Dah..tempat kau bukan di sini Ja..” pujuknya.
Aku kembali ke tubuhku yang terbaring kaku. Aku masih hidup. Di sekelilingku masih bergema bacaan surah Yaasin. Terpandangkan kepada beberapa wajah yang sugul hati kecilku di pagut resah. Maafkan aku Lost..Semprit..mana adik angkat ku Faiez? Mengapa hingga ke saat aku harus mengucapkan selamat tinggal ini dia masih belum muncul? Tidak terpanggilkah dia untuk melihatku?
Dik..datanglah sebelum Kak Eja pergi…
“Eja ngucap nak…” suara mak kedengaran di cuping telingaku. Satu persatu mak mengajarkannya dan aku hanya mampu mengikut di dalam hati. Terasa tenang bila saat ini masih ada yang sudi mengingatkan siapa Tuhan dan pemimpin kita..
Terasa tangan mak bergetar menyentuh rambutku. Kalau inilah kasih sayang mak aku ingin terus begini seribu tahun lagi..
Bayangan melukakan itu menjelma lagi. Fikiranku semula kusut.
Petang itu dia datang ke rumah sewaku. Wajahnya kusut.
“Abang nak cakap sesuatu dengan Eja..”
Aku terpempan. Bagai telah ku tahu apa yg ingin diucapkannya. “Abang ada orang lain?”
Tanpa rasa bersalah dia mengangguk. Airmataku menitis laju. Mengapa bang? Berjerih kita untuk mencapai ikatan ini tiba-tiba abang hancurkan pula? Baru sebulan kita bertunang..sampai hati abang.
“Abang sayang dia Ja..”
Alangkah hancurnya perasaanku.
“Abang pun sayangkan Eja..”
Tiada kata yang dapat aku ucapkan. Wajahnya kulihat berbalam. Alangkah sebaknya hati. Lelaki yang kupertahankan dengan maruahku ini sedang menghancurkan kasih sayangku. Aku bangun dan berpaling meninggalkannya. Cukuplah…inilah harga kasih sayang abang buat Eja!
Langkah kuhayun mengikut kata hati. Remang senja dan aku berada di tengah-tengah padang lapang. Langit yang mula jingga bagai mengerti resah hatiku..kecewaku..lalu memuntahkan gerimisnya. Tubuhku basah. Mentari kian hilang warnanya. Sayup azan dari Masjid Negeri mencalarkan jiwa. Bagaimana dapat ku hapuskan wajahnya dari ruang ingatanku?
“Macam mana Eja?”
Kedengaran suara lain memecah hening wad yang suram
Kulihat mak menggelengkan kepalanya. Airmata mak melaju lagi.
Mak jangan menangis mak! Redha dengan pemergian Eja ini. Anak mak dah lama terluka, barangkali ini jalan terbaik buat Eja mak…
“Doktor kata apa mak?”
“Tak ada harapan…”
Ateh mengucap panjang. Pantas tanganku digenggamnya.
“Maafkan Ateh dik..lambat sangat Ateh sampai..”
Lama baru aku dapat merasai genggaman tangan Ateh ini. Alangkah pilu..aku terpaksa terbaring kaku di sini barulah menikmati kasih sayang kalian. Mengapa tidak dulu..mengapa mesti dibiar adikmu ini terluka sedemikian lama?
Wad kembali dilagui bacaan Surah Yaasin yang berulang-ulang. Sesuatu mula menyinari wajahku. Cahayanya tenang dan damai..sudah sampaikah masanya?
“Maafkan abang Eja..maafkan abang kerana melukakan hati Eja..”
Setelah berbulan-bulan menghilang lelaki ini datang menemuiku cuba meraih saki baki cinta yang ada. Aku benar-benar terluka. Mengapa dia mesti pulang setelah sebegini berat beban yang disandarkan di bahuku? Dia terlupa bagaimana aku dicemuh oleh keluarganya. Bagaimana sakitnya hati ini tika dia menyatakan pada ibunya, dia mampu hidup tanpaku..dia tak terpandang bagaimana aku mengheret hidup ini bersama kesalahan-kesalahan yang ditimpakan padaku. Kau yang bermain api mengapa aku yang terbakar?
Cangkir cintaku telah tumpah bang..
“Beri abang peluang untuk membetulkan semula kesalahan abang Ja..abang janji takkan melukakan eja lagi..”
Alangkah manisnya kata-kata dan aku tak punya apa-apa pilihan pada hakikatnya. Kita disatukan sedangkan di hati ini masih sarat sakitnya.
“Eja…”
Aku terpandangkan wajah itu. Sampai juga dia akhirnya..
Mak tersentak dengan kehadiran lelaki ini. Barangkali mak tertanya apa hubungan aku dengannya..
“Dia nilah yang cuba menghancurkan rumahtangga saya!” Tiba-tiba suamiku datang meluru menolak tubuh lelaki itu. Ateh bangun dan meleraikan mereka.
Hatiku dipagut sayu kembali. Mengapa bang? Hingga ke saat ini abang masih mencari silapku?
“Awak siapa?” soal Ateh.
Lelaki itu kulihat tenang. Dia menatap wajahku sebentar sebelum menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Ateh. “Saya kawan Eja..”
“Bukan! Dia penyebab Eja berubah. Eja tiba-tiba kata dia sayangkan lelaki ni!” tengking suamiku. “Eja curang!”
Mengapa salahku jua bang? Abang terlupakah pada perempuan yang sedang berdiri di sebelahmu itu?
“Nanti! Kami tak pernah buat apa-apa. Saya tahu dosa pahala. Saya tahu siapa Eja. Dia tak pernah sembunyikan apa-apa dari saya,” terang lelaki itu tenang. “Saya tahu dia isteri awak..kami cuma kawan.”
Mak bangun dan tergesa-gesa meninggalkanku. Ateh berlalu begitu juga suamiku meninggalkan lelaki itu, Lost dan Semprit.
“Lu tak cakap apa-apa pada wa, Eja.” Bisik Lost sambil tangannya mengusap lenganku. Gadis cina itu merintih sayu. “Lu kata wa kawan baik lu..kenapa lu sembunyikan dari wa Eja?”
“Dia tak sembunyikan apa-apa Lost. Dia pernah bagitau aku tentang ni tapi aku buat sambil lewa. Aku tak tau benda ni akan jadi serius macam ni.” Ucap Semprit. “Lama dia tak respon email aku..aku ingat dia dah okey..”
lelaki itu duduk di sisiku. Hati kami bagai saling berbicara. Lelaki ini hadir kala suamiku bagai menyisihkanku. Aku bagai perempuan asing dalam hidupnya. Lelaki ini hadir dan menghulurkan persahabatannya tidak lebih tapi aku salah menafsirkannya. Sikap ambil berat lelaki ini membuahkan rasa sayang di hati kecilku. Sayang terhadap seorang sahabat tak lebih. Kebimbangan hati ini akan terkalih aku menyuarakan pada suami. Setidak-tidaknya dia dapat menarikku kembali dalam ikatan perkahwinan kami bukan terus membiarkan aku terkapai-kapai mencari erti cintanya. Kejujuranku rupanya menjadi ruang dia menutupi setiap salahnya.
Kami bertengkar petang itu.
“Lupakan dia!”
Aku meratap. Selain kawan-kawanku apa lagi harta yang aku ada? Aku mengaku ini salahku. Aku salah mentafsirkan persahabatannya.
Dering telefon bimbitnya mematikan jerkahannya.Anak-anak kebingungan. Aku memandang kosong ke telefon bimbitnya
‘Abang tak sayangkan Ati lagi? Ati nak jumpa abang malam ni. Abang cakap aje di mana. Ati carik abang.’
Aku menatap wajahnya. Dia kelihatan serba salah.
Senja itu sebaik solat Maghrib, airmataku melaju. Skrin telefon bimbitku renung.
‘Selamat tinggal Eja. Eja takkan jumpa lelaki ini untuk selama-lamanya.’
Alam bagai turut menangis bersamaku.
‘Fa..tolong akak. Telefon dia. Pesan jangan buat yang bukan-bukan. Dia mati akak pun mati Fa!’
Alangkah sakit memikirkan lelaki itu akan buat suatu yang menakutkan itu. Dia tak patut mati untuk seorang perempuan sepertiku. Hanya Tuhan yang tahu apa yang bersarang difikiranku saat itu.

Suami mengamuk. Aku cuba memeluknya tapi tubuhku ditolaknya ke dinding bilik. Aku jatuh sebelum kakinya singgah ke mukaku. Alangkah sakitnya tubuh ini. Lengkap sudahkah kemarahanmu suamiku? Aku mengemis maafmu. Andai itu pintamu aku akan lakukan apa saja. Benarlah aku tidak layak untuk bahagia. Suamiku membaling apa saja yang dapat dicapainya.
Malam itu aku tidur bersama tangisan. Kebimbangan terhadap lelaki di hadapan ku ini.

“Eja..”
“Nantilah Inaz…”
“Makin lama makin sakit kau nanti..ikutlah aku Eja.” Inaz terus memujukku. Tanganku ditariknya perlahan

Jangan tinggalkan aku Ja…

Aku mendengar suara itu. Ada cecair jernih yang jatuh di pipinya. Dia menatap wajahku. Kalaulah boleh kuserka airmata itu…
“Eja..”
“Nantilah Inaz..aku tunggu adik-adikku..”
“Aku tak mahu kau terus disakiti Eja..ikutlah aku..”

Kita bina bahagia bersama. Hidup dengan aku Eja.

Aku meratap. Tubuhku bagai disayat duri. Pedihnya menjalar ke segenap urat sendi. Fa….tapi wajah yang kutunggu-tunggu masih belum muncul sedang masa buatku kian suntuk.

Teman...sakitnya tubuh ini. Sampaikan salam Eja pada Fa…pada Fazrin.
Jangan tinggalkan aku
Tapi di sini bukan tempat Eja . Eja sudah tiada lagi ruang untuk terus hidup di sini. Biarkan Eja pergi, bina hidup baru. Jangan tangisi Eja sebab tak berbaloi tangismu untuk orang seperti Eja. Eja tak sanggup terus jadi bahan untuk dimaki hamun.
Aku sayang kau Eja

Aku termanggu.

Aku sayang kau Eja…

Segalanya bergema di ruang hidupku. Sayang? Suami juga pernah menuturkannya tapi akhirnya segala itu terbenam begitu saja. Aku mendengar tangisan seorang bayi. Muhaimin aku kah itu?

“Ibu…”

Anakku…ibu datang..
Wajahnya sama tika kali pertama ku dakapnya senja itu. Anak kecil yang kulahirkan. Terasa dia menggenggam erat jemariku. Wanginya semerbak. Senyum pertama yang pernah kuimpikan dari bibir kecilnya mekar merah dan manis.
Tubuh munggil itu kupeluk erat.

Eja jangan tinggalkan aku
Tidak teman…Eja tak boleh kembali lagi. Ini takdir Eja.

Inaz memimpin tanganku. Wajahnya tulus. “Tak siapa akan sakiti kita lagi Eja..”
Aku mengikuti langkahnya. Terasa tubuh diawangan. Cahaya yang bersinar lembut menyinari setiap langkahku. Terasa damai. Seakan di hadapan terlalu banyak tangan yang menanti. Ada wajah-wajah yang amat kurindui. Semuanya tersenyum.

“Kak Eja..”

Aku terpaku. Wajah itu…

“Fa dah datang kak..”

Syukurlah…akhirnya terpanggil jua untuk Fa menemui akak. Aku tersenyum memandangnya. Seraut wajah yang pernah kurindu..tempat mencurah sayang. Jemari telusku menyusuri wajahnya.

Kak Eja pergi dulu Fa…teman…Eja pergi dulu..

Nafasku terasa sesak. Sakitku bukan kepalang. Dingin mula mencengkam segenap penjuru tubuhku. Cahaya itu kian menyinari…

“Kak..apa lagi yang akak rahsiakan dari Fa?”

Kedinginan yang kian membeku. Ada sesuatu yang tak mampu ku lafaskan padanya. Cahaya yang kian menyilau bagai memanggil-manggil dan aku terasa tidak mahu lagi untuk terus tinggal di sini..

“Innalillahh..”

Faiez menyempurnakan perjalananku.

No comments: