Wednesday, October 31, 2007

Catatan Perjalanan: Duit Bukan Segalanya?

Aku tertawa sendirian sepanjang hari ini. Pelbagai andaian terbit di hati rakan-rakan sejawat bila mereka menyedari aku serius menceburkan diri dengan MLM. Risalah-risalah DCL (de' classic Life) aku edarkan ke meja-meja di bilik guru. Siapa percaya aku melaburkan 3 k semata-mata untuk tujuan ini. Tuhan...tunjukkan aku jalan.

Teringat kata teman.."Ja..duit bukan segalanya!" Aku hanya menyambut kata-katanya dengan senyuman. Ya pada mereka yang tidak pernah melalui apa yang pernah aku lalui! Mungkin mereka pernah merasa betapa perit hidup sewaktu mula-mula bekerja tanpa dibayar gaji selama 3 bulan...tapi aku?

Seorang teman membisikkan ke telingaku tempoh hari. Dia menyuarakan kebimbangannya terhadap kesungguhan ku mencari apa saja peluang yang boleh menghasilkan pendapatan. Pada fikiran teman itu...duit bukan segalanya! dahsyat juga..duit bukan segalanya...aku tersenyum lagi.

Hari ini aku membuktikan pada diriku betapa aku harus meladeni rasa lelah ini demi anak-anak! Memikirkan bekal yang harus aku tinggalkan sekiranya terjadi sesuatu terhadapku. Aku tidak sanggup meninggalkan mereka. Hari ini membuktikan saudara tidak akan mengaku saudara tanpa harta..nah! Masihkah duit bukan segalanya? Sekurang-kurangnya aku harus menyediakan bekal buat mereka menyambung pelajaran (aku tidak punya harta yang dapat kuwarisi pada anak-anak cuma ada pendidikan), ada tempat tinggal. Aku tidak sanggup memikirkan anak-anak terpaksa merempat dan mengemis kasih pada saudara-saudaraku. Tidak! Kita disayangi jika kita masih mampu membeli pakaian dan makanan sendiri!

Berdosa seorang isteri keluar dari rumah tanpa izin suami! Aku arif! Aku tahu dan sinisan itu juga kuanggap suatu halangan. Satu cabaran yang harus kutempuhi. Biarlah aku berdosa pada suami tapi aku tak mampu membiarkan anak-anak merasa apa yang kurasai. Aku lakukan segalanya demi anak-anak. Terlalu banyak keperluan mereka yang harus aku isi. Aku harus memulakannya jika tiada kepala lain yang sudi berfikir untukku!

Tabung pendidikan anak-anak..insuran...medical card! Semua itu satu keperluan. Perbincangan bersama suami tidak ke mana-mana. Alasannya pendapatannya tidak cukup! Mula aku berkeras, ini tanggungjawab dia tapi kelamaan aku mula berfikir...tak sudah dengan perbalahan ini. Anak-anak akan menjadi mangsa. Biarlah! Sekurang-kurangnya satu hari nanti mereka sedar betapa bonda mereka ini berhempas pulas demi masa depan mereka. Tuhan..berkati langkahku.

Terbayang di ingatan, kerana duit bukan segalanya juga aku di KLIA dengan hanya berbekal RM1.50! Selama hampir 3 hari di Kelantan aku tidak punya duit untuk membeli apa-apa buat anak-anakku. Aku menangis sepanjang malam.

Belum lenyap sebak di dadaku bila anak-anak minta singgah di kedai sewaktu perjalanan pulang ke rumah untuk membeli air. Dahaga kata mereka tapi aku menyatakan pada anak-anak aku tidak punya cukup duit. Di hatiku hanya ada tangis. hanya seorang ibu yang mampu memahami perasaan seorang ibu yang tak mampu menunaikan keinginan anak-anaknya. Belum lupa juga permintaan anak lelakiku untuk makan di KFC. Berkali-kali anak ini merayuku singgah ke restoran tersebut...tapi apa dayaku

Aku harus melakukannya! Tuhan...murahkanlah rezki anak-anakku....

No comments: