Wednesday, December 31, 2008

Aku..pelangi..Maria




Tirai 2008 aku labuhkan dengan kematian 'Maria'. hasilnya aku menjadi teramat sukar untuk melelapkan mata saat ini. Jika Maria yang akhirnya berhasil menemukan cinta di saat nyawanya tiba di penghujung, mati dalam rangkulan cintanya terhadap Fahri apakah aku juga berhasil menamatkan segala perjalanan duka ku dengan cara yang sama? Sekalian Maria menemui Mariam di Babur Rahmah yang menantinya untuk memasuki syurga Tuhan lalu aku?

Teruja dengan cinta Maria yang kepedihan bila cinta Fahri nya di miliki terdahulu oleh Aisya, mataku berembun. Memetik salah satu tulisan di dalamnya 'seseorang dengan tujuan yang jelas akan membuat kemajuan walaupun melalui jalan yang sukar, seseorang yang tanpa tujuan, tidak akan membuat kemajuan walaupun ia berada di jalan yang mulus'...yang manakah aku? Rasa kurang sabar menangani ujian hidup..mungkinkah aku berupaya menjadi Maria atau mungkin juga menjadi bidadari fahri yang bernama Aisya?

Menyingkap semalam yang masih berbaki dan amat ingin ku henti dan singkirkan di mana-mana, namun masih ada urusan 2008 yang tidak berupaya ku selesaikan. Terkadang timbul rasa kesal namun jalan yang masih jauh membuatkan aku harus terus jua melangkah.

2009..mungkinkah ada warna indah buatku? Setahun yang panjang, aku masih mengimpikan pelangi..tapi pelangiku itu entah di mana. Aku hanya dijanjikan cahaya. Setelah sedemikian lama, aku masih belum menemui rintik yg akan membiaskan warna-warna mentariku. Aku menjadi teramat kesal kerana membenarkan janji-janji itu melebur di hati dan menjadi penanti seperti ini. Menanti dan mengharap rintik itu akan turun dan membasahiku lalu kesekiannya menghidangkan warna-warna pelangi indah di sudut mata.

Menjelmalah wahai jalur indahku, khabar padaku tentang rintik damai yang kau janjikan. Khabarkan juga andai rintik itu akan nanti menjadi badai kerana aku bukan diri yang sabar untuk sesuatu yang bernama esok. Aku bukan diri yang cukup sabar untuk membilang waktu sambil menatap ke langit biru Tuhan.

Oh Tuhan...janganlah aku masih dipenjara kesakitan kerana kian hari aku semakin hilang kekuatan. Aku bimbang tersasar..aku bimbang andai akhirnya tidak berupaya menjadi Maria..

Datanglah pelangiku kerana hingga ke saat ini aku masih menanti..masih merindu..dan masih ingin melihat cahaya

Allahhumma inni as-aluka ridhaaka wal jannah..Amin.

2 comments: