Saturday, September 27, 2008

Sebuah Kenangan Yang Tercalar...jawapan sebuah pencarian.















Reez...
Hanya ini kenanganku yang tertinggal. Milik seorang kekasih yang tak mungkin berganti kerana hadirnya hanya seketika namun setelah bertahun-tahun aku cuba redha akan perginya...aku tetap tak berdaya. Ingin kusingkir segala miliknya aku takut.

Reez..
Baju kecilnya hanya mampu kudakap dan cium kala kerinduan ini menghampiri. Sekalipun wanginya telah hilang aku masih jua akan terus memeluk seumpama aku memeluk tubuh kecilnya senja itu. Harapanku masih tetap sama sekalipun telah 6 tahun berlalu. Aku masih mengharap satu ketika dia akan hadir dalam mimpi-mimpiku. Belum kulupa dingin tubuhnya, belum kulupa sepasang matanya yang terpejam. Betapa tinggi saat itu aku mengharap dia akan membuka matanya dan menangis. Betapa aku teramat mengimpikan kekasihku itu akan menggerakkan jemari kecilnya yang ternyata terus dingin dan kaku.

Setin susu Snow....antara barang terakhir yang kubeli malam sebelum dia diambil pergi. Harganya tika itu masih RM13.20. Berapa agaknya harga susu yang sama ketika ini? Expired datenya pada 18 Disember 2005. Bermakna sudah 3 tahun berlalu dan aku masih tidak tergamak untuk membuangnya.

Sehelai batik....kain yang digunakan untuk membalut tubuh dinginnya. Ya Allah...aku tidak setabah mana. Barangkali hanya mati yang mampu mengubati rinduku ini.

'dia menanti bondanya di syurga..tabahlah Ja kerana sesungguhnya Tuhan teramat menyayangimu' kiriman sms dari Rasyid sebaik dia tahu musibah yang melandaku.

Hari ini...(aku cuba tersenyum) aku diuji lagi. Satu persatu...dan aku masih cuba mengulangi ucapan yang sama..'...sesungguhnya Tuhan teramat menyayangimu' .

Reez...terima kasih kerana kau satu-satunya insan yang tak pernah (dan kuharap takkan pernah) menyatakan aku sama seperti mereka yang lain.

p/s: Aku ingin melangkah namun bukan mudah untuk melupakan segalanya kerana hatiku telah lama bersemadi bersama tubuhnya di sebuah pusara kecil..jauh dari kehidupan yang pernah aku impikan buatnya. Di langit bintang kecil itu masih berkerdipan dan aku masih tertanya di sudut mana kekasihku.

No comments: