Monday, September 1, 2008

30 Ogos yang penuh kesakitan



30 Ogos 2008
Ketika menghadiri perkembangan staff di sekolah aku menerima panggilan dari Ten di Sabah. Jam ketika itu menunjukkan hampir ke 11.30 pagi.
"Ja..dengar tak?"
"Dengar ten..Ja kat sekolah ni ada kursus," Aku fikirkan dia sekadar ingin membalas sms ku pagi tadi tentang majlis yang akan diadakan di rumah mami.
"Ja..pakcik dah takde!"
Aku terpinga-pinga. Pakcik? Takde? Kemana?
"Ja, pakcik dah takde!"
"Err..pakcik ke mana?" Soalku.
"Pakcik dah meninggal Ja!"
Aku hanya merasa seperti diriku kian mengecil dan segala yang ada dikelilingku bagai ingin menelan dan menghimpit tubuhku. "macam mana...?"
"Pakcik pergi perarakan merdeka. Dia rebah."
"Bila?"
"Dalam pukul 10 tadi. Ni Ten nak bagitau Ja yang pakcik dah takde,"
Airmata menitis. Malam tadi dia masih sempat berpesan pada Ten tentang sakit yang sedang kurasakan. Dan...hari ini genap seminggu Sabah kutinggalkan setelah kukunjungi untuk berubat dengannya. Yang ada diruangan mata cuma seraut wajahnya, seorang yang berusaha membantuku...kini lelaki itu tiada lagi tanpa sempat untuk kubalas jasanya.

Kesakitan yang hampir 2 tahun kutanggung mengurang dan aku merasa begitu hampa. Seolah-olah hilang tempat untuk mengadu. Jika sebelum ini aku masih boleh menyatakan segala kesakitan yang kualami pada Ten dan Ten akan menyampaikannya pada pakcik tak mengira masa dan ketika tapi selepas ini...segalanya seperti akan bermula semula. Tiada tempat untuk kuadukan sakit dan resah yang kutanggung kerana hasad dengki yang dilemparkan padaku.

Mengapa? Mengapa sebegini berat dugaan yang harus kutanggung? Orang yang harus kutemui di Muar juga begitu.
"maafkan kak Aya, Ja..pakcik tu dah takde" dan kali ini perkara yang sama berlaku. Apa sebenarnya yang sedang dan akan terjadi padaku? Mengapa begitu sukar aku mengusir kejahatan yang dihantar padaku? Apa salahku pada manusia itu sehingga sebegini tega dia menyakitiku?

Aku meminta Eddy mendapatkan tiket buatku.
"Rasanya untuk minggu ni takde Ja, lagipun kalau ada mesti mahal,"
Apa lagi yang harus aku buat? Terasa nyawa telah sampai ke sana. Aku ingin sekali menatap wajah lelaki yang telah berbudi padaku beberapa bulan ini. Buat kali terakhir.
"Ja tak payah datang Ja..mesti tak sempat sebab jenazah pakcik akan dikebumikan petang ni juga,"
"Habis Ja nak buat macam mana Ten?"
"Tak payah datang. Nanti Ten telefon Ja, Ja cakap dengan makcik ya?"
Hanya linangan airmata yang menjadi teman sepanjang petang itu.

"Ja janganlah menangis. Tak boleh buat apa. Dah sampai ajal dia Ja," ujar Krull sewaktu aku menelifonnya.
"Pakcik tu yang ubatkan Ja Krull. Takkan macam ni kesudahannya."
"Ja sabar je. Nak buat macam mana. Kena kuat, ada ramai lagi yang boleh ubatkan Ja"

Hampir jam 3 aku menerima khabar pula yang makcikku telah kembali ke rahmatullah. Ya Allah..kiranya arwah abah, pakcik pamusu dan makcikku berkongsi tarikh yang sama. Mengapa harus digandakan kesedihanku saat ini? Entah apa yang ada di dalam hati kala itu. Wajah yang bagai manakah harus kuperlihatkan pada setiap orang? Ujian apa lagikah yang sedang menantiku?

Fikiran ini benar-benar kusut. Terasa aku sendirian lagi. Payung buat kuberteduh kini telah diambil pergi dan kedinginan hujan juga terik mentari menikam diri. Satu persatu kenangan itu bertamu.

Entah bila segalanya akan berakhir. Mungkinkah manusia itu hanya menginginkan nyawaku? Hidup yang kurasakan mula bernafas kini terasa sesak dan menghimpit. Aku seolah kembali ke jalan mati bila mana tika itu tiada tangan yang ingin menggapai dan membawaku jauh dari ruangan sekejam itu. Sinar mentari yang kurasakan kembali bersinar seolah kembali malap. Putus segala harapan untuk aku kembali menjalani kehidupan seperti dulu. 2 tahun yang memaksa aku hidup dalam kesakitan yang membakar.

Pakcik pergi bersama gambaran tentang diri yang menyakitiku. Selama-lamanya ia akan terus bersemadi bersamanya.

Ten..walaupun awak marah jika saya terus bertanya siapa 'lelaki' itu namun percayalah saya punya sebab untuk mengetahui siapa dia. Sekurang-kurangnya saya juga berusaha untuk membuang racun dari tersimpan di rumah sendiri.

Demi Allah...segala yang terjadi punya hikmahnya. Seandai rentetan yang berlaku ada kena mengena dengan usaha pakcik membantu ku..aku mohon walau terpaksa menggadai nyawaku sekalipun..siapa pun jua 'dia' semoga Allah menghukumnya dengan selayak-layak hukuman sekalipun 'dia' adalah diri yang pernah hadir dalam hidupku.

1 comment:

Anonymous said...

semoga ALLAH mencucuri rahmat keatas arwah pakcik ten & makcik serta semua yg telah pergi buat selama2nya. yg baik akan dibalas dgn kebaikan dan yg jahat akan menerima pembalasannya di akhirat nanti semasa hari pengadilan.