Saturday, September 27, 2008

Mengiringi Lembaran ini

Dalam keriuhan suara kanak-kanak bermain di taman hadapan rumahku ini, aku masih di sini mengadap 'lappy' yang menjadi suaraku buat mereka diluar sana. Seandainya terbaca.....
Kepala kembali berdenyut...dada terasa menghangat dan sesekali terasa seolah ada sesuatu yang cuba menerjah masuk ke tubuh melalui kulit dan kesensaraan itu menyengat. Aku harus kuat! Hanya doa mampu kupohon buatNya semoga apa yang telah kulalui selama hampir dua tahun ini tidak akan berulang kembali. Cukuplah..kerana aku tidak pernah punya dosa terhadapnya...
Lebaran ini maknanya terasa hambar..terasa sakit dan andai aku mampu pergi sejauh mungkin nescaya aku akan berbuat demikian. Menatap wajah-wajah kesayangan keinginan itu terpaksa kusorot jauh. Kata Iepah..'Dia punya perancangan yang terbaik buatku'
Aku jua mengharapkan sedemikian. Semoga dikesudahan ini nanti ada bahagia yang menanti biarpun aku hanya sempat menghela nafas terakhir.
Dia tidak pernah ingin menanyakan keadaan insan-insan yang menjadi tanggungjawabnya di sini. Aku berhempas pulas untuk melengkapkan segala-galanya tapi dia? Dalam menyusun bilah kesabaran airmata ini menitis jua. hendak kusesali segalanya telah berlansung bertahun-tahun lamanya dan mahu atau tidak aku terpaksa jua melangkah bersama pahit yang dihidangnya buatku. Bersama tuba yang dibekalkan buatku. Tuhan...berikan aku kekuatan. Ketar jemari kala tulisan ini kutulis. Teringat pesan mak sebelas tahun dulu..'yang terbakar kamu, yang menjadi arang kamu dan yang menjadi debu juga kamu..' Mak...Ja mengerti sekalipun tangan mana yang bermain api diri ini tetap jua yang terbakar.
Aku tidak sekuat mana namun kugagahi juga kerana setiap yang bermula harus berakhir. Ada seribu masa depan yang sedang menanti kuiringi langkahnya. Aku cuma mohon kesabaran..ketabahan..kecekalan juga doa dari orang-orang yang mahu mengerti.
Lebaran yang mendatang, kuharapkan serinya sekalipun aku sendiri tidak pasti apa yang menanti aku di hari itu.
~eja..kala aku mula mengerti jalan ini tak mungkin seindah yang sering kumimpikan.

No comments: