Sunday, July 27, 2008

Segalanya Terlewat

Hanya kedinginan meratah tubuh kala itu. Aku sendiri tidak mengerti mengapa harus aku ada di sini? Terakhir rasanya saat itu aku sedang menuruni anak tangga sebelum segalanya menjadi kelam dan gelita..mungkinkah?

Tika ini kesakitan menyengat tubuh. Aku hanya merasakan betapa sakit tubuhku diradak segala tiub melalui hidung juga mulutku. Mereka berusaha untuk mengembalikan denyut jantungku. Cukuplah! Jangan diseksa lagi diriku, biarkan denyut jantungku berhenti. Biarkan kutamatkan segalanya di sini....

Aku berdiri di suatu sudut menyaksikan betapa anehnya hidup ini. Hanya kedinginan menikam hingga ke urat nadi. Hanya ada kesakitan dan di sudut ini aku menyaksikan kamu..
Mengapa menangis? mengapa harus sekarang kau titiskan airmata mu ini sedangkan aku sudah bertahun meratapi cintamu yang entah di mana perlabuhannya. Cukuplah..jangan ditangisi lagi kerana sesungguhnya aku teramat ingin melihat kau menangis untuk cinta dan pengorbananku semalam..saat aku masih boleh menyeka titis jernih itu. Simpanlah airmatamu kerana sesungguhnya ia tidak membawa erti lagi.

Seketika kau usap wajahku. Mengapa sekarang di saat aku sedang bergelut dengan maut? Mengapa bukan semalam saat aku amat memerlukan belaianmu? Mengapa bukan semalam saat aku amat teringin untuk membalasnya?

Renungan matamu sayu menatap tiap pergerakan nyawaku. pejamlah matamu kerana sesungguhnya renungan itu tidak lagi bermakna apa-apa. Sesungguhnya kekasih semalam aku amat ingin melihat sepasang mata yang penuh rasa cintanya. Ke mana menghilang dan bertahun-tahun aku mencari pandangan seumpama ini. Mengapa harus kini tatkala aku tak mampu menatap jauh ke anak matamu?

Kau genggam jemariku...katamu aku harus kuat! Alangkah baik kekasih andai kau ucapkan tika aku mengetahui tentang sesuatu yang sedang memamah hayatku dulu. Mengapa bukan saat itu kau ucapkan betapa aku harus tabah dan berjuang untuk hidup. Kau biarkan aku lara dalam kesakitan ini. kau biarkan aku menangisi sisa-sisa hidupku yang tinggal. Mengapa kekasih? Mengapa bukan semalam? Mengapa harus di saat aku hanya membilang detik untuk menemuiNya?

Kau terlena sejenak di sisiku. Mengapa harus kini di saat aku tak lagi berdaya untuk membelai rambut dan menatap lenamu? Mengapa bertahun kau biarkan aku terlena dalam tangisku sendiri? Esok...aku tak mungkin terbangun lagi. Kau telah membiarkan aku terlena sendirian lama dulu sebelum saatnya. mengapa sebegini tega kekasih?

Usaikanlah ratapanmu..hentikan tangismu kerana segalanya teramat lewat untuk aku. Sesungguhnya kekasih aku amat ingin mendengar kalimah cinta yang baru kau ucapkan di telingaku tadi. Bertahun aku menanti dan di saat sebuah salam mula terlempar untuk menjemputku pulang baru ku dengar kalimah keramat itu. Hentikanlah kekasih..sesungguhnya aku mula dijemput pergi. Kedinginan ini memadamkan dinginku sepanjang hayat tatkala menjadi milikmu. Kesakitan ini menawarkan bisa kesakitan yang kau hidang sepanjang kita bersama.

Selamat tinggal kekasih...selamanya aku tak pernah berhenti ingin mendengar kalimah itu dari bibirmu..

p/s: Mengapa harus menanti dia tiada untuk kita ucapkan betapa kita menyintainya..betapa kita menyayangi dan memerlukannya. Bukankah kita harus berasa takut kerana tidak berpeluang untuk menuturkannya sebelum segalanya menjadi terlalu lewat...?
pena: manjalara/pulang yang damai (2)/07

1 comment:

iSunik said...

Saya tertarik dengan blog anda. Saya akan siarkan blog ini didalam Google Gadget saya (saluran buku).

Google gadget menyiarkan blog dilelaman ia ditempatkan. Pelayar internet hanya boleh membaca ringkasan di gajet, dan perlu kelelaman asal untuk membaca cerita penuh.

Anda juga boleh lihat siaran blog anda dengan meletakkan kod gajet di blog ini.

lawati blog saya untuk maklumat penuh di Sesiar B3Lima