Sunday, July 27, 2008

Segalanya Terlewat (2)

Tatkala tubuhku dibawa kian menjauh dari ruang yang pernah kau kira sebagai syurgamu dulu, aku dapat melihat jelas ke wajah anak-anak yang kaurampas kasih mereka dariku. Berbanggalah kekasih kerana setiap patah perkataan yang pernah kau ucapkan dulu benar-benar menjadi kenyataan. Katamu...'aku lebih rela melihat kau mati dari melihat kau bahagia bersama insan lain' Inilah insan-insan lain itu kekasih..anak-anakmu. Kau rentap cintaku dari hati mereka. Untuk itu apa erti sebakmu? Adakah kerana kau tak berjaya membuat aku merana untuk bertahun-tahun lagi?

Sebelum mereka memandikan tubuhku tadi...berkali-kali kau menyingkap kain yang menutupi wajahku. Bisikmu betapa kau akan terus-terusan merinduiku..kau akan menderita kerana kehilanganku. Mengapa baru kini kekasih? Mengapa kau ucapkan di saat aku telah tak mampu membalas lagi setiap ucapanmu? Mengapa baru kini? Mengapa tidak kau izinkan aku mendengar bisik rindumu di kala aku masih mampu mendengarnya?

"Pergilah ma, kami akan kehilanganmu. Pa akan merindui insan terbaik yang pernah Dia anugerahkan buat Pa.." Aduhai...aku terlebih dahulu kehilanganmu kekasih. Aku terlebih dulu merinduimu. Menghitung saat-saat kau pergi dan tak pernah ingin kembali. mengapa...mengapa tidak kau ucapkan dulu akulah yang terbaik buatmu? Mengapa tidak kau izinkan aku mendengarnya tika hayatku masih ada?

Kau cium dahi ku...apa gunanya lagi? Alangkah indahnya kucupan itu andai ia singgah sebaik usai solat kita kekasih. Tapi kau biarkan aku terkeliru..bertahun mencipta angan untuk mengaminkan doamu...minta mengimamkan solatku...mengapa sebegini lewat?
Kau meratap di pusara ku. Untuk apa? Bukankah di sini tempat yang ingin kau kirimkan aku suatu ketika dulu? Bukan baru kini aku mati, kekasih..aku telah lama kehilangan hidupku..saat aku kehilanganmu..saat kau rampas kasih anak-anakku..saat kau biarkan aku sendirian menghitung usia yg tinggal..dan saat kau katakan padaku kau hanya inginkan dia. Tercalar hati ini berderai cangkir tabahku. Kau telah semadikan aku lama dulu sebelum hayatku benar-benar berakhir.

Pulanglah...seandainya di sini tempat terlayak buatku tinggalkan aku di sini. Seandainya masih ada kiriman buatku hadiahi aku sepasang nisan untuk anak-anak tahu di mana tubuh bondanya ini bersemadi. Izinkan aku pergi kerana di sini bukan lagi tempatku.
Pa...aku tak pernah berhenti menyayangimu
manjalara/pulang yang damai (2)/2007

No comments: