Sunday, August 24, 2008

Hari-hari terindahku di Pitas, Sabah



17 Ogos 2008


Aku bertolak dari LCCT. Pedih dan kecewa bila sms yang ku hantar tidak berbalas. Deringan yang kuharapkan tidak kunjung tiba. Ditemani Along Nadia, Kak Ngah dan Haris aku ke LCCT. Kak lang sendiri tak bangun masa aku menjengah dia di bilik tadi. Terdetik juga di hati ini sebenarnya. Waktu susah, aku sanggup ketepikan segala kepentingan diri untuk dirinya tapi saat aku kesempitan, kesusahan tak pernah lekat di hatinya buatku.
Tiba di lapangan terbang Kota Kinabalu lebih kurang jam 12.30 tengah hari. Iepah telah menanti bersama Mel, Dadi dan Mamal. Sempat juga mereka membawa aku ke KK Center Point. Hampir jam 4 kami bergerak ke Pitas. Perjalanan dijangka mengambil masa 3 jam.
Dari sisi jalan aku aku masih boleh melihat puncak Kinabalu. Puncaknya menjulang tinggi ke awan. Kagum melihat kegagahannya. Mungkinkah satu ketika nanti aku akan tiba dikemuncaknya yang menjulang tinggi.
Ketibaan aku di sana disambut oleh kedua ibu bapa iepah. Wajah senyum Ten yang sempat kubohongi sebelum tiba tadi sedikit menawarkan kelelahan perjalanan yang jauh ini.
Kutinggalkan semenanjung dengan harapan, aku mampu memadamkan segala keperitan ku di sana. Semoga ada lapangan hijau yang menantiku pulang nanti. Biarlah semalam yang pernah menghitami hari-hariku berlalu. Aku teramat ingin bermimpikan sebuah kehidupan tenang. Teramat ingin memulakan semula segala-galanya sekalipun aku menyedari bukan sedikit yang akan menangis bersamaku kelak. Tuhan, berikan aku ketabahan dan kesabaran dalam mengharungi hidupku ini. PadaMu kuserahkan hidup dan matiku. padaMu ku pohon sebis kekuatan.
Tak banyak yang ditanya Ten.
“Apa khabar kamu?” Soalnya dengan senyuman terukir di bibirnya.
“Sihat!”
Selebihnya kami hanya berdiam. Berbagai perkara muncul di fikiran ini sebenarnya. Terkenangkan panggilan telefon mak yang seharusnya terkejut bila tiba-tiba saja aku menyatakan aku telah berada di Sabah. Terasa aneh bila tiba-tiba sahaja mak menelifonku. Bukan semua perkara di dunia ini akan berlaku tiba-tiba.
“Kau buat apa kat sana?” Soal Along kasar.
“Berubat..”
“Apa kau dah buat sampai orang sanggup buat kau macam tu?”
“Mana Ja tau,”
“Kalau kau tu tak jahat, gatal..takde sapa yang akan buat macam-macam..tau tak?”
Aku terdiam. Mengapa? Saat aku menanggung segala-galanya sendiri tak pernah ada yang ingin bertanyakan khabarku. Barangkali inilah cara untuk aku menyedarkan ahli keluargaku, untuk memberitahu mereka akan kewujudan seorang aku di sini.Mengapa harus ini yang aku lalui? Bukankah kehidupan ku bukan punya sesiapa? Hanya mengharapkan mereka sebagai ahli keluarga yang dapat memberikan aku sedikit perhatian dan sokongan untuk hidup. Selama ini mereka tidak pernah ingin bertanya khabar, tidak pernah ingin tahu.
Demi Tuhan, aku sedikit cemburu dengan keluarga ini. Mereka tidak pernah henti bergurau antara satu sama lain. Senyum dari bibir bap dan mami sentiasa mengiringi tutur kata mereka.
Kehadiran Nine memudarkan rindu dan pedih yang pernah kurasa.
18 Ogos 2008
Aku terbangun tepat jam 4.15 pagi. Sayup-sayup seketika kemudiannya kedengaran suara azan Subuh bersama kokokan ayam. Melayan mata yang enggan terpejam sedar-sedar jam telah melewati ke angka 6. Di luar kelihatan pantai yang membiru. Bulan yang semakin beredar. Kabus di gigi air. Terasa ketenangan meresap jauh ke tangkai hati.
Keletah Nine yang mencuit hati. Haruman tubuh kecilnya bagai membingkas kembali rinduku. Terasa sayu namun aku mengerti anak kecil ini bukan ‘dia’. Kekasihku itu telah diambil pergi lama dulu. Muhammad Nur Muhaimin ku bersama PenciptaNya dan aku akan terus berdoa semoga aku akan ditemukan dengan kekasihku itu kelak.
Terasa juga di hati bila Ten bagai mengelak dariku. Mana silapku? Sebaik bangun dari tidur (Ten tidur lewat) dia terus mandi dan keluar.
‘Rasa tak selesa ye sebab saya ada. Takpelah..kejap lagi Pah bawa Ja jalan-jalan, Ten balik rehat kat rumah ye..’
‘Eh, takdelah..Jgn la fikir mcm tu Ja.. Panas kat rumah tu..Eja bawa Pah pi warung..Ten tunggu sini.’
Hampir jam 2 Ten pulang. Kami sedang makan tengah hari waktu dia masuk dan terus menyertai kami di meja makan.
“Kenapa Ten? Pedas sangat ke?” Usikku bila melihat peluh menitis dari dahinya.
“Ni tak cukup pedas ni..” balasnya sambil menyapu dahinya.
Aku tersenyum. Iepah tertawa kecil.
Sebaik makan dia mencapai gitarnya dan menyanyi.
“Nyanyi Ja..”
“Mana Ja tau..”
“Cepat-cepat kita cf (conference)” sampuk Iepah sambil disambut dengan tawa oleh Ten.
Terhibur dengan telatah mereka. Iepah yang tak pernah berhenti ketawa, Jira yang periang dan ramah, Ten yang….apa ye?
Petang…Turun ke laut. Tengok Balat (gamat) yang diternak di pesisir pantai. Terus menyusuri pesisir pantai ke belintang (dataran pasir yang memanjang apabila air laut surut) untuk melihat tapak sulaiman yang banyak terdapat di sini. Tak sedar sewaktu sempat mengenakan Jira matahari sudah mulai turun.
Berakhir sudah hari pertamaku di sini. Melihat jingga mentari di senja itu aku mohon ya Allah..kurniakan aku esok buatku menyaksikan lagi keagungan Mu ini.
19 Ogos 2008
Terlewat bangun. Sewaktu terjaga hari telah cerah. Sempat melayan Nine yang cerah wajahnya bangun pagi ini. Keletahnya mengingatkan aku pada kekasihku itu. Ya Allah saratnya rindu ini buatnya.
Tengah hari turun ke dapur, tolong Iepah masak. Goreng ikan bilis dengan cili api. Iepah masak ayam kicap..Jira masak sayur.
Petang..macam semalam ke laut.
‘Ten..jom turun laut’
‘Malaslah tengok laut tu. Hehehe’
‘ ni lain.Ja dengan laut..jom laaa’
‘Ten kat warung ni tengah on9’
‘dalam masa 5 minit kalau tak sampai jugak jangan terkejut ada tukun dari gitar..hehehe’
‘nak gi main takraw ni’
‘Ja rendam ekkkkk gitar ten jadi sarang gamat..hehehe’
Hampir ke senja kami berendam di air. Bergurau bersama Iepah dan Jira. Manisnya kehidupan. Kami tanam Jira dan meletakkan tapak sulaiman di dahinya. Jira bagai ingin menangis. Terjerit-jerit ingin melepaskan diri. Aku yang tidak punya adik-adik perempuan berasa seolah-olah merekalah sebahagian dari hidupku. Tawa mereka menggamit satu keinginan dan terasa ruang kosong yang ada di hati dihiasi gurau senda mereka.
Iepah tersenyum..seperti ada sesuatu yang muncul di kepalanya. Tiba-tiba Iepah memegang Jira dan ..hahahahaha..dia berusaha menanggalkan track suit yang dipakai Jira.
Dataran pasir (Blintang) kami tinggalkan saat matahari mula berlabuh.
20 Ogos 2008
Pagi terasa sedikit ganjil bila Iepah bangun dari tidur. Kemesraan sedikit berkurangan. Ada sesuatu dari renungan matanya pagi ini. Barangkali dia menghidu sesuatu tentangku dari rakan chatnya malam tadi. Biarlah..barangkali sudah tiba masanya Iepah tahu siapa perempuan di hadapannya kini. Biarlah…
Sedikit perit untuk aku menghadapinya tetapi apa jua yang sedang kujalani ini punya sebabku sendiri. Menyatakannya hanya akan menjadi alasan. Cukuplah hanya menjadi cerita di hatiku. Perjalanan ini terlalu perit dan menyakitkan dan aku amat berharap segalanya berakhir hanya di sini. Namun menyedari segalanya tak akan semudah itu kerana akar kesilapannya telah berlansung bertahun-tahun dulu. Melangkah meninggalnya akan mengheret lebih banyak diri yang akan menangis bersama kunanti. Ya Allah..cukuplah hanya sekadar di sini.
Ten membawa aku, Iepah dan Jira ke pasar Tamu (pasar minggu) Suasananya sama seperti di kampung juga.
“Hanya kamu berdua yang berpegang tangan!” tegur Ten bila dia perasan Jira memegang tanganku. Nak juga dijawab tapi tau sajalah dia. Ten takkan biarkan orang menang!
Cadangnya tengah hari ini aku akan masak siput masak lemak dan kangkung goreng belacan nanti.
“Pandai kamu buat, Ten tak tau tu..” tegurnya bila melihat aku mengupas kelapa.
“Aii..tak caya ke? Ten tu apa yang tahu..nyanyilahhh” usikku.
Dia mengepit gitarnya. Sepanjang di meja makan dia bergurau bersama adik-adiknya dan suasana itu sedikit mengusik hatiku. Kalaulah hati ini boleh dibajai dengan keriangan seumpama ini. Mampukah aku terus kekal di sini, mendambakan sedikit ruang bahagia mereka buat ku? Layakkah aku untuk menghirup udara bahagia Iepah, Ten dan keluarganya?
“Ten..tolong,” pintaku sambil menghulurkan 2 biji kelapa yang telah kukupas di hadapannya yang leka dengan gitarnya.
Kami tertawa melihat ten membelah kelapa.
“Tolong mesin pulak!”
“Tangan Ten dah kena mesin hari tu,”
“Alaaa…tolonglah,”
“kau yang mau masak!”
Mami ketawa mendengar jawapannya. Turut disambut dengan tawa Iepah dan Jira. Mukanya masih selamba sambil mengepit gitarnya. Aku hanya mampu tersenyum melihat gelagatnya. Sesekali dia mengusik Jira.
“Kau tumbuk cili atas ni, kotor bajumu bawah tu,”
“Susahlah tumbuk atas tu nanti satu kampung dengar,”
“Tumbuk saja atas ni,”
“Penatlah tumbuk cili sambil berdiri…”
“sapa suruh kau berdiri..duduklah!”
Aku hanya memerhatikan muka selambanya.
“Ke hulu ke hilir bawa dia ni.” Rungut ten sambil mengendung laptopnya.
“Laaa..sapa suruh bawa?” Ejekku.
Berlawan-lawan pula Iepah dan Ten menguap. “Selamat malam aja lah yaa..”
Petang..Jira merengek mengajak ke pantai tapi Ten melarang kerana musim balong (ampai-ampai).
“Kak Ja sms la abang Ten..”
“Nak buat apa?”
“ Cakap kita mau mandi laut..last!”
“Jira la gi bagitau..”
“Nanti dia marah. Kan tadi dia bilang jangan mandi. Kalau Kak Ja bagitau dia tak marah.”
“kan aku sudah bilang jangan mandi laut kalau kena kau jangan menangis..” Aku mengejek cara Ten bercakap. Jira ketawa sambil masih enggan mengalah minta aku sms Ten,
‘Ten, nak gi turun laut kejap ekkk?’
Tak lama kemudian Ten keluar dari biliknya dengan dahi yang sedikir berkerut. Macam takde peluang je. Melayan rasa tak puas hati aku duduk di beranda rumah. Tak lama kemudian dia datang bersama mug dan jari yang sudah mula berasap. Rokok terkepit di jarinya sambil peluh menitis di dahi.
“Panas sungguh hari ini,” rungut Ten.
“Mandilah..”
“Apa?”
“Mandi laut. Hehehehe..”
“Pengeras!”
Iepah ketawa. Dari mereka aku tahu pernah ada yang meninggal kerana sengatan ‘balong’. Dalam kepala terfikir..dah tu apa nak buat petang ni kalau tak ke laut? Akhirnya petang tu handphone jadi topic perbualan kami sebelum…hehehe…kami turun juga ke laut akhirnya bersama 2 sahabat karib Iepah. Meriahnyaaaa bila masing-masing mula membaling pasir. Azan sayup-sayup kedengaran sewaktu kami mula beredar dengan baju yang kuyup. Jingga langit..belumpun selangkah aku meninggalkan tempat ini aku mula dicanting rindu.
Malam mami mengajak aku ke majlis tahlil salah seorang penduduk kampung yang baru meninggal semalam. Kemeriahan majlis yang tak jauh beza dari suasana di kampungku terasa begitu dekat. Hilang sejenak kesedihan kerana baju yang terbakar sewaktu menggosok tadi. Mami meminjamkan aku baju Ujang (anak dara mami yang kini belajar di Semenanjung) Mujur juga sama saiz. Cuma pinggang kain tu besar sikit.
Mereka di majlis menegurku. Setelah bersalaman aku menghampiri mami yang tersenyum bertanyakan mengapa aku lewat tiba bersama Jira.
“Dah macam Ujang aku lihat!” ujar salah seorang yang duduk di sisi mami. Mami tersenyum manis. Cantik mami ni…
21 Ogos 2008
Terasa sedikit letih tapi mata terasa sukar nak pejam. Menatap wajah laut yang terbentang di depan mata. Aku pasti akan merindui segalanya di sini…pasti.
Mami bawa Nine ke bilik. Tubuh kecilnya ku peluk. Sesekali dia ketawa kegelian bila aku mencium belakang tengkuknya. Haruman Nine menjadikan hati ini sakit. Esok segalanya akan berakhir. Payah untuk meninggalkan sesuatu yang mula memberi makna dalam hidup kita. Namun aku harus akur Nine bukan Muhaiminku. Sekalipun aku berusaha memadamkan semalam yang jauh meninggalkan namun aku tak berdaya. Ingatan di kamar 14 terus mekar. Saat kepedihan menatap wajah tanpa nyawa dan menguburkan segala impian yang kuukir selama berbulan-bulan lamanya. Di mana keinginanku untuk hidup lagi? Di mana semangat yang kusemai? Segalanya diambil pergi saat tubuhnya dibawa pergi untuk disemadikan. Cahaya hidupku terasa padam. Berakhir segala-gala kemanisannya. Sayang…moga Tuhan temukan kita di sana.
Petang, sewaktu berehat di beranda rumah, Ten datang mengepit gitarnya.
“Mana Iepah?” Soalnya sebaik menyedari Iepah tiada di sisiku seperti biasa.
“Keluar,”
“Sama siapa?”
“Kawan.”
Dia mula menyanyi. Aku mengesan sesuatu dalam nyanyiannya dan aku memahami. Biarlah…
Sesekali mami datang menjengah berselang-seli dengan bap yang kelihatannya kepanasan. Bayang Nine lansung tidak kelihatan petang ini. Ke mana ye?
“Ja nanti aku mau beli kereta macam ini tau.” Katanya sambil menunjukkan gambar BMW di dalam handphone.
“Bila?”
“Tahun depan,”
Aku ketawa. “Sudah 4 hari Ja kat sini, sekalipun tak pernah tengok Ten siram anak sawit belakang rumah tu..lagi mau beli BMW tahun depan..hahahaha!”
Dia tersengeh.
“Baru baja tu..tak boleh manja sangat..”
“Elehhh.tuan dia saja yang tak cukup baja!”
Jira datang menyertai kami. Ten mula berbicara tentang semalamnya. Dia menunjukkan beberapa cenderahati yang diterima dari bekas-bekas temannya.
“Senang kan jadi lelaki zaman sekarang ni?”
“Mengapa pula?” Dia kehairanan.
“Tak payah beli apa-apa. Perempuan yang bagi..”
Dia ketawa mengekek sambil menayangkan rantai leher berbuahkan jed di lehernya.
“Aku malas pakai ini nanti orang ingat aku along!” ujarnya. Dia bercerita tentang peristiwa mengangkat dulang di satu majlis dulu. Mami ketawa.
“Aku sudah malas mau ada girlfriend..”
“tak payah laaa..kaya dulu. Esok jumpa tak payah tunang-tunang lagi terus nikah!”
“ya lah..aku mau beli kereta dulu..rumah 3 tingkat..agak-agak umur sudah 30 baru aku kahwin. Sekarang baru 26 ada 4 tahun lagi.”
Aku senyum. “Rumah mau 3 tingkat…sawitnya tak pernah siram ya?”
Iepah balik seketika kemudian terus menyertai kami. Mami kembali menjengah dan duduk bersama.
“Ada udang di dapur sama kupang. Ja biasa makan kupang? Mau masak apa ya Ja?”
“Udang masak sambal ok ke mami?” Tanyaku.
“Eja lah masak!” sampuk Iepah.
“Pergilah kau masak, sedap-sedap ya?” celah Ten.
“Ja masak sambal ye udang tu mami. Kelapa pun Ja dah kupas petang semalam,”
“Lagi mau letak kelapa? Sambal apa letak kelapa? Tak suka laa.” Rungut Ten
“Pati kelapa sikit tu..” celah mami
Tak lama kemudian Mel sampai dan kami turun ke laut. Hanya berjalan-jalan di pesisir laut.
Balik terus mandi untuk solat maghrib. Tak sangka pula mami bersungguh tinggalkan udang untuk aku masak. Kelihatan atas meja sebesin kelapa parut.
“Ten ka yang mesin ni mami?”
“Kalau Ten yang mesin mau banjir Pitas!”
Ten yang ada cuma tersengeh.
Malam terakhir…seribu kenangan. Ten menemankan aku ke rumah pakcik yang mengubatiku. Terima kasih Ten….itu saja ucapan yang aku ada buat kamu. Harap segala kesakitan ini akan berakhir.
22 Ogos 2008
Pagi seawal jam 5 aku telah mandi dan bersiap (gelap sebab power trip. Mandi guna handphone) Melihat mami dan Jira menitiskan airmata aku menahan sebak. Empangan airmata ku pecah jua. Nine masih belum bangun..Ten juga begitu.
Selamat tinggal semua. Ada rezeki kita akan bertemu lagi.
“jangan serik datang sini ye Ja,” pesan mami.
Pandangan mula berkabut.
Segalanya kutinggalkan dengan berat hati. Terasa di sanalah..di rumah itu antara hari-hari terindah yang pernah kulalui.
Terima kasih Iepah..Ten..kerana sudi membawa aku sejenak ke dalam dunia bahagia kalian. Terima kasih kerana sudi berkongsi keindahan itu.
12.30 tengahari…pesawat AK5105 mula meninggalkan lapangan. Airmata menitis. Dataran indah yang kutinggalkan mula berbalam. Sebahagian nyawaku bagai tertinggal di sana. Belum sehari kutinggalkan rindu mula bercambah. Terasa sakit dan wajah kecil Nine yang tersenyum riang menghiasi ruang mata.
Selamat tinggal semuanya….
manjalara/23 Ogos/0120am

3 comments:

Anonymous said...

Probably I can say with this blog make, more some interesting topics.

Unknown said...

kalau dah ada family nanti, saya nak duk tempat macam ni..tenang...

Anonymous said...

sedih la...
thanks sbb abadikan kluargaku dlam hidupmu..
smoga mjadi kenangan terindah buatmu