Monday, October 6, 2008

Aku dan Lebaran (2)



Carilah di mana hatiku?

Pagi..setelah sekian lama ia kembali lagi. Aku memuntahkan segala yang kumakan dan hati kembali cemas melihatkan darah yang bercampur bersama apa yang kuluahkan dari perutku. Semakin banyak yang keluar semakin banyak juga ia bercampur.

Terasa sebu dada dan keperitan yang menjalari perutku. Sebanyak mana yang tinggal ruang yang ada buatku agaknya? Pendarahan yang tak pernah ku tahu di mana puncanya. Terbayang wajah-wajah yang menghiasi hidupku. Sempatkah kulihat dewasanya? Sempatkah aku menuai kasih sayang dia?

Tuhan...berikan aku kesempatan lagi untuk mengatur segala-galanya buat insan-insan kecil kesayanganku itu. berikan aku kekuatan agar segala urusan-urusan buat mereka selesai kukerjakan. Sebelum kehidupan ini ternoktah di tempatnya.

Berdosa untuk kusebut namun di mana ketabahan yang dapat ku cari lagi. Dalam sendu aku meratap juga. Bezanya aku tidak pasti di mana lagi airmata itu. betulkan Reez, sekuat mana kita..setabah mana kita..sesabar mana kita..untuk insan seperti kita yang tak akan pernah nampak di mana baiknya..sesekali menangis juga.

"Mewah sangat ke agaknya awak dengan anak-anak?"
Aku terkesima mendengar suaranya yang meninggi. Dengan enam ke tujuh ratus cukup mewahkah untuk aku dan anak-anak di sini? Bergetar bibir ingin menjawab tapi entah mengapa jawapan itu tenggelam jauh di lubuk hati. mengapa aku tidak punya kekuatan untuk menyatakan apa yang mewahnya aku dan anak-anak di sini dengan duit sebanyak itu? Tidak terfikirkah di fikirannya bagaimana aku berhempas pulas untuk mencukupkan segala-galanya? dengan duit sebanyak itu untuk di bayarkan ke bil-bil...dia terlupa pada tong beras yang hampir kosong..dengan bekas air minum yang sentiasa kontang dan juga pada isi peti sejuk yang tiada apa-apa? tangisan ini tumpah jua di kolam hatiku.

Dia terlupa pada tidurku yang terkadang hilang lenanya bila anak-anak demam dan selsema. Dia terlupa pada aku yang terkadang sakit baik sendiri...mengapa aku terus ditemukan dengan lelaki yang terlupa pada kesakitan yang kutanggung sepanjang menjadi isterinya? Pernahkah sedetik dia berhenti dari terusan mencari silapku?

Sebenarnya Reez..lelaki sekejam dia tidak pernah melihat derita kita saat melahirkan zuriat-zuriatnya selagi dia sendiri tidak pernah melewati saat-saat itu.

Ya Allah..mengapa dia tidak pernah berhenti menyakiti hatiku?

Dia terus kelihatan teramat sempurna di mata keluargaku kerana aku sendiri yang menyempurnakannya. Aku sendiri yang mencukupi setiap lompang-lompang kosong dan ternyata terima kasih bukan milik lidah lelaki itu. Bodohkah aku kerana menjadi isteri sebaik itu?

Walau aku cuba tidak ambil peduli dengan apa jua yang dilakukannya namun hati perempuan ku tetap terasa. Sebaik dia balik dari keluar bersama ibunya semalam dia menjadi begitu berubah. Apa jua yang kusentuh tidak akan diambilnya. makanan yang kuhidang tidak akan di makan. Dia enggan memandang ke wajahku. Terfikir siapa yang menyakiti aku selama ini? Hinakah sangatkah sepasang tangan yang bertahun-tahun meraup sedihnya dulu? Sepasang tangan ini juga yang merawat tika sakitnya..Kata hati..'biarlah...jangan kau uji lagi hatimu..'

Hari ini..aku masih terusan mengutuk diri..mengapa masih ingin memandang semalam yang aku lalui kiranya aku tetap tahu dari dirinya aku hanya akan mendapat duka. Tuhan..masih banyak lagikah liku buatku?

3 comments:

Anonymous said...

im your favorite reader here!

Unknown said...

sabarla..cerita nie best, leh wat drama

Unknown said...

sabarla..cerita nie best, leh wat drama. slmt ari raya kak..
hope akak akan bahagia 1 hari nanti