Friday, January 18, 2008

Pulang Yang Damai (2)

Terasa tubuhku semakin dingin. Sesekali terdengar sesuatu berlagu lunak di telingaku. Ada manik-manik dingin yang jatuh di tanganku dan terkadang ada tangan yang menggenggam erat dan mencium jemariku. Alangkah payahnya untuk aku membuka mata dan melihat siapa yang sedang mengalunkan lagu-lagu itu.
Bukankah aku seharusnya berada di rumah tua mak?
Aku kembali menjadi siuman. Gambaran demi gambaran menerjah ruang ingatan.Debaran di dadaku kian memuncak, terasa tangkai jantungku bagai ingin putus!
Anak-anakku? Bukankah mereka ada bersama-samaku tika kereta yang kupandu dalam hujan yang menggila itu merempuh sebuah kereta yang melintang di tengah-tengah jalan di Kampung Repah? Mana anak-anakku?
Tiba-tiba kurasakan seolah-olah diriku melayang mencari Fatin dan Mujahid. Mana anak-anakku? Di mana aku? Tika keluar dari ruang berlangsir biru itu aku menyedari seseorang yang sedang terbaring di katil. Aku kah itu? Mengapa wajahnya sama sepertiku? Pelbagai wayar melilit di tubuhku. Tidak! Buang segala wayar-wayar itu ianya merimaskan. Di kiriku terdapat monitor yang menunjukkan garis-garis yang tidak menentu.
Ada wajah-wajah yang tidak begitu kukenali di sekelilingku. Mak sedang tunduk sambil tangannya terketar-ketar memegang senaskah surah Yaasin sambil sesekali menyeka aimatanya. Suamiku berdiri di ambang pintu. Wajahnya kosong dan di sisinya....

"Eja..jom kita lumba siapa sampai ke tengah dulu!" Cabar kakak sepupuku. Entah bagaimana aku dibawa ke satu tempat yang amat aku kenali. Air sungai kelihatan likat selepas hujan turun selebat-lebatnya pagi tadi. Abang dan beberapa orang kawan-kawannya telahpun mula memanjat dahan pokok-pokok yang menjuntai di muka air sebelum terjun dengan pelbagai gaya. Keriuhan meredakan debar ngeri yang menyerang dada tatkala melihat arus sungai yang deras dengan warnanya yang pekat.

Dingin air menusuk ke tulang hitam tatkala kaki mula mencecah mukanya. Aku memberanikan diri. Parasnya hampir mencecah dagu. Aku mencungap! pantas kakak sepupu ku menarik tanganku dan membawaku ke tempat yang lebih dangkal. Kami mandi sepuas-puasnya petang itu hinggalah aku menyedari hari mulai gelap. Hanya tinggal aku dan kakak sepupu di tengah-tengah sungai. Kami berpimpinan ke tepi tetapi pegangan kami terlepas bila terasa ada tangan yang menolak tubuhku semula ke air. Entah berapa banyak air yang ku telan dalam usaha menggapai apa saja yang ada di tebing. Tenggelam timbul dan tika itu entah apa yang ada di hatiku. Terasa sesekali aku bagai benamkan jauh ke dalam pusaran air sungai. Tika itu aku dapat rasakan sepasang tangan memegang tubuhku, kejap!

No comments: