Monday, November 12, 2007

Catatan Perjalanan- Harga sebuah cinta

12 Nov 2008
Terasa teramat lelah namun terpaksa di dayakan juga. Betapa sakit sebenarnya bila terpaksa dikerahkan segala tenaga yang ada untuk melengkapi segala-galanya hari ini. Setiap senyum dan tawa airmata bagai disulam-sulam.

Terkenangkan segala-galanya di wad NICU HKL bersebelahan katil abah. Seorang ibu muda yang terlantar kerana baru menjalani pembedahan tulang belakang kerana ketumbuhan di saraf tunjangnya. Alangkah tabah wanita itu. Kalaulah aku setabah dia...

Sepanjang berada di wad itu aku menyaksikan kesetiaan seorang lelaki bergelar suami yang akan mengunjungi wanita itu saban hari. Sesekali lelaki itu akan datang dan melihat-lihat isterinya. Semalam..sewaktu aku berdiri di katil abah, aku terpegun tatkala lelaki itu masuk dan memegang erat jemari isterinya. Sebuah senyuman dilemparkan dan dia berbisik sesuatu pada wanita itu. Dalam kepayahan wanita itu membalas senyum suaminya. Lelaki itu terusan memegang erat sambil menyapu tangan dan tapak kaki isterinya dengan minyak panas. Ya Allah...alangkah bertuah wanita ini! Dia diuji dengan kesakitan namun dilimpahi kasih sayang. Aku?

Terasa aku betapa kerdil. terasa betapa aku terlupa untuk bersyukur. Aku berharap aku punya ketabahan seperti wanita itu hingga ke akhir hayatku dalam menghadapi dugaan ini. Sekalipun aku merasai sesuatu dalam tubuhku namun sehingga kini aku masih berdaya mengheret sepasang kaki ini untuk melangkah. Sekalipun aku merasakan, saatnya kian tiba..aku masih diberi kesempatan untuk menatap indahnya langit Tuhan. Sekalipun ku rasakan aku kian tiba diperhentiannya..aku masih diberi peluang menghela nafas menyedut udaraNya. Tuhan...maaf kerana sering meratapi ujianMu ini sedang ada insan lain yang lebih menderita dariku.

Duduk mengadap blog ku ini...semoga satu ketika nanti..sekalipun bila segalanya berakhir..namaku masih meniti dibibir mereka

manjalara/12 nov 2007/7.32p.m

No comments: