Saturday, February 18, 2012

Di mimbar rahmat Ilahi

Berkongsi secebis rasa bahagia sejenak kala aku dan suami berdiri di mimbar rahmatNya. Hanya ada rasa syukur yang menabiri hati kami kala ini dan setinggi-tinggi rasa buatNya kerana masih ada belasNya buat diri insan kami.

Tatkala aku dihimpit kesedihan dan harapan yang entah dimana sejalur pengharapan di hidangkan buat aku dan suami. Santapan hati nan resah gelisah dan Alhamdulillah..maka mekarlah bunga-bunga harapan yang merunduk layu sebelum ini. Dunia bagai bergema dengan rasa syukur kerana untuk itu tiada halangan hanya menanti keizinanNya. Kami hanya ingin tersenyum dan menyambut 'kedatangan' yang sudah pastinya dengan izin Ilahi.

Melangkah dengan sebuah harapan adalah satu nikmat yang tidak ternilai jika hari-hari lalu langkah-langkah itu adalah langkah yang entah ke mana arahnya..kosong dan tanpa perhentian.

Kami masih ingin terus tersenyum dan menguntum rasa syukur pada Allah kerana yang bakal datang nanti bukan hanya 'dia' tetapi 'mereka'..insyaAllah

Di mimbar rahmat Ilahi ini kami akan terus tersenyum dan bertasbih padaNya kerana kurniaan ini. Kami ingin terus menanti hadirnya 'mereka' yang akan datang bersama cintaNya setelah bertahun-tahun kehilangan.

Alhamdulillah...berkati kami...peliharalah 'mereka' agar kedatangan itu nanti menjadikan kami insan yang terus bersyukur...

Thursday, February 2, 2012

Kegagalan Bukan Suatu Pilihan

Tiada siapa yang mengimpikan kegagalan kerana perit suatu kegagalan hanya terbayar dengan sedikit kejayaan. kegagalan bagai suatu spark plug yang memacu sedikit energi untuk bangun dan mengorak walaupun sekecil-kecil langkah..bertatih untuk bangun dari sebuah kegagalan bukanlah suatu yang mudah seperti mana kita berusaha untuk memejam celikkan sepasang mata selepas terbangun dari suatu mimpi. Kegagalan datang bersama kesakitan yang bukan sedikit!

Aku sering terbaca setiap kejayaan takkan pernah sunyi dari kekecewaan..aku sering mengingatkan diri walau bagaimana sempit suatu lorong yang menanti dihadapan tetap punya sejalur cahaya di penghujungnya. Aku sering menyatakan pada diri..walau bagaimana berliku kehidupan ini..di mana-mana tetap akan punya harapan.

Apa pun jua....bagaimana wajah kejayaan akhirnya nanti.....kegagalan tetap bukan suatu pilihan!