Wednesday, December 31, 2008

Aku..pelangi..Maria




Tirai 2008 aku labuhkan dengan kematian 'Maria'. hasilnya aku menjadi teramat sukar untuk melelapkan mata saat ini. Jika Maria yang akhirnya berhasil menemukan cinta di saat nyawanya tiba di penghujung, mati dalam rangkulan cintanya terhadap Fahri apakah aku juga berhasil menamatkan segala perjalanan duka ku dengan cara yang sama? Sekalian Maria menemui Mariam di Babur Rahmah yang menantinya untuk memasuki syurga Tuhan lalu aku?

Teruja dengan cinta Maria yang kepedihan bila cinta Fahri nya di miliki terdahulu oleh Aisya, mataku berembun. Memetik salah satu tulisan di dalamnya 'seseorang dengan tujuan yang jelas akan membuat kemajuan walaupun melalui jalan yang sukar, seseorang yang tanpa tujuan, tidak akan membuat kemajuan walaupun ia berada di jalan yang mulus'...yang manakah aku? Rasa kurang sabar menangani ujian hidup..mungkinkah aku berupaya menjadi Maria atau mungkin juga menjadi bidadari fahri yang bernama Aisya?

Menyingkap semalam yang masih berbaki dan amat ingin ku henti dan singkirkan di mana-mana, namun masih ada urusan 2008 yang tidak berupaya ku selesaikan. Terkadang timbul rasa kesal namun jalan yang masih jauh membuatkan aku harus terus jua melangkah.

2009..mungkinkah ada warna indah buatku? Setahun yang panjang, aku masih mengimpikan pelangi..tapi pelangiku itu entah di mana. Aku hanya dijanjikan cahaya. Setelah sedemikian lama, aku masih belum menemui rintik yg akan membiaskan warna-warna mentariku. Aku menjadi teramat kesal kerana membenarkan janji-janji itu melebur di hati dan menjadi penanti seperti ini. Menanti dan mengharap rintik itu akan turun dan membasahiku lalu kesekiannya menghidangkan warna-warna pelangi indah di sudut mata.

Menjelmalah wahai jalur indahku, khabar padaku tentang rintik damai yang kau janjikan. Khabarkan juga andai rintik itu akan nanti menjadi badai kerana aku bukan diri yang sabar untuk sesuatu yang bernama esok. Aku bukan diri yang cukup sabar untuk membilang waktu sambil menatap ke langit biru Tuhan.

Oh Tuhan...janganlah aku masih dipenjara kesakitan kerana kian hari aku semakin hilang kekuatan. Aku bimbang tersasar..aku bimbang andai akhirnya tidak berupaya menjadi Maria..

Datanglah pelangiku kerana hingga ke saat ini aku masih menanti..masih merindu..dan masih ingin melihat cahaya

Allahhumma inni as-aluka ridhaaka wal jannah..Amin.

Tuesday, December 30, 2008

Aku masih tetap menanti



Aku larut dalam hangat dinihari di penghujung Disember 2008 ini. Seusai bangun dari sujudku terasa betapa liku yang aku lalui sepanjang bertahun-tahun kebelakangan ini. Aku masih juga mencari dan menanti, mengharap agar ada cahaya Tuhanku di penghujung perjalanan ini.

Masih aku mengharap berkahNya, menemui sebuah jawapan dan di situ aku mendambakan Tuhanku akan memberikan aku ketabahan dalam mengisi cangkir-cangkit kehidupan sesulit dan sesingkat ini. Mengharapkan kematian dan penamatan yang tenang dan aku yakin di penghujung sana masih ada sinar bahagia buatku.

Aku masih menanti sebuah jawapan dan dalam sujudku dinihari ini, hanya ada doa yang mengiringi nadi dan degup jantungku..biarlah esok aku menjadi insan yang meredhai ujianNya. Sesungguhnya setiap yang berlaku itu satu ujian yang telah kita persetujui bersamaNya, cuma memungkinkan kita tidak dapat mengingati.

Aku masih tetap menanti.

Menghirup rindu disepanjang perjalanan, mendambakan sepasang mata teduh yang akan memandangku penuh kasih, mengharapkan sepasang bahu buat aku melabuhkan tangis..adakah aku meminta terlalu banyak sehingga ke penghujung ini aku masih ditandang kesepian?

Aku masih menanti..

Kiranya pagi sedinihari ini, aku masih ingin larut dalam tasbihku terhadap Tuhan..lenaku..jagaku juga setiap langkahku mohon dilimpahi berkahMu ya Latif.

Tuesday, December 23, 2008

HambaMu ini...



Subhanallah..apa jua yang terhidang adalah dariNya sepertimana apa jua yang terjadi padaku. Terkadang rasa sempit menjadikan kita tersungkur dan mengambil terlalu lama masa untuk bangun. Aku mengharapkan ehsan Mu ya Rabbi, mengharap kasihanMu, mengharap cintaMu.

Bukanlah aku seorang Rabiatul Adawiyah yang doanya kau angkat di saat itu juga, bukanlah aku juga seorang Khadijah sehingga Jibril menyampaikan salam tika menyampaikan wahyuMu terhadap Muhammad, bukanlah aku seorang Asmah yang tabah..aku juga bukan seredha Sumayyah ..aku hanya hambaMu yang cuba menjadi sebaik mereka.

Ku tasbihkan kebesaranMu yang Allah dengan harapan segala kekosongan di hati ini akan terisi dengan kelunakan sifatMu. Tertunduk dan kelu lidah ini untuk meminta kerana sudah terlalu banyak nikmat yang Kau berikan buatku. Ampunkan aku ya Allah seandainya aku terlupa mensyukuri setiap belasMu itu. Ampunkan aku kerana kurang sabar menghadapi ujianMu. Sesungguh aku hanya hambaMu yang sering alpa.

Masih juga aku ingin memohon ya Rabbi..janganlah hidup ini nanti menyakiti insan lain. janganlah sesekali di hati ini tumbuh rasa dendam dan tamak..Kau berikan aku kesabaran seperti Ayub dan Yussuf.

Ya Allah..jadikanlah rasa cintaku kepadaMu melebihi cintaku pada harta, keluarga dan segala isi dunia ini.

Allahumma inni as-aluka ridhaaka wal jannah..aminnn ya rabbal 'alamin

Monday, December 22, 2008

Mungkinkah..mengerti?




"...you kena buat langkah proaktif ubah nasib" ayat itu berkumandang di dalam sanubari. Aku ingin sekali keluar dari landasan ini mengubah haluan dan memulakan langkah baru tapi begitu sukar. Terlalu banyak yang perlu aku fikirkan. Memang..ini cerita aku. Aku yang menanggung sengsaranya tapi hidup perlu juga mengenangkan orang-orang disekelilingku. Aku ingin bahagia..teramat tapi apalah ertinya bahagia jika ada yang akan menangis nanti.

Mungkinkah aku masih tega untuk menggapai bahagia itu kiranya aku akan tau, dalam kebahagiaan yang akan aku kecapi ada rintihan, ada tangisan..ada derita orang lain yang pastinya tak pernah ada dosa apa-apa padaku. Aku jelak..aku muak untuk menangis sepertimana aku cukup takut kiranya ada insan lain yang akan lalui perkara yang sama dalam hidupku.

Apalah ertinya semua itu kiranya aku terlupa memandang kesan yang kutinggalkan. Bunga-bunga bahagia tak mungkin seindah mana jika debunya beracun dan akan tersebar ke serata alam. Subur pohon cintaku nanti tak mungkin memberi apa-apa makna seandainya akarku nanti akan menular menyampaikan racun pada hidupan yang lain disekitarku.

Perlahan..aku cuba berundur dari teduh yang memayungiku. Tuhan seandainya nanti aku hanya akan membuatkan diri lain menangis, kau ambillah rasa cinta ini dan izinkan aku ya Allah..pulang ke pangkuanMu bersama segala cerita duka laraku. Membawa bersama sejuta resah tangisku.

Aku semakin takut untuk melihat esok...semakin bimbang mendepani takdirku..bantulah aku.

Sunday, December 21, 2008

Perjalanan Terakhir





Merungkai suatu erti bernama hidup,
kala kelopak terakhir hampir layu dan gugur
aku mencari harga diri
saat segalanya kian menuju penghujung
tergapaikah bintang-bintang di langit
saat diri hanya jatuh dan bangun?

Kemboja di hujung pusara sikecilku,
memutih di segenap inci ratap rindu
aku hanya merenung,
sayang..tunggu ibu
aku meraup nisan kakunya
meratah perasaan yang kian keliru
di sisimu ibu akan kembali untuk sama bersemadi
membawa bersama selangit rasa cinta
alangkah indahnya anakku
tika datang ibu bersambut.

Dedaunan kering ditiup angin,
hanya duka
hanya kesedihan tika ibu harus meninggalkan
pusara kecil dan cinta di sini
redup hari dilembayungi awan berkelopak jingga
anak kecil kutinggalkan
bersemadilah sayang
kerana di sisimu jua
ibu akan pulang.

Friday, December 19, 2008

Harapan..mungkinkah mimpi?




Hidup ini penuh dengan segala macam perkara yang sukar diduga. Kegembiraan, kesedihan, tawa, tangis, ketakutan..Beraneka rentak dan irama. terkadang dalam tawa ada tangis, dan bahagia ada duka. Warnanya bercelaru dan bukan mudah menyaring setiap satu untuk diasing-asingkan.

perjalanan sesukar ini menjadikan kita keliru..takut untuk membuat keputusan kerana apa jua tindakan tetap ada kiri dan kanannya.Setiap liku ada simpangnya. setiap kesilapan diberi kesempatan untuk membetulkannya tapi...betulkah keputusan yang akan diambil itu. pada Tuhan, akhirnya kita bermunajad mohon diberi petunjuk, mohon hanya itulah sekali kesilapan yang akan dibuat.

Langit tak selamanya cerah, bumi juga tak selamanya tandus dan silih berganti itulah yang menjadikan hidup ini terkadang terumbang, terasak dan dipugar rasa kecewa.

Seseorang menawarkan kehadirannya semalam. Entah apa yang bertandang di hati ini. Lapang? Bahagia? Takut...

Bicaranya menggamit rasa sebak tapi..sampai ke mana simpati dapat memberi warna-warna bahagia? Apa jaminan yang dapat aku beri pada hati ku sendiri yang aku tak akan menangis lagi? Hidup punya banyak pilihan tapi mengapa tidak aku?

Dataran hijau yang ditawarkannya..apakah mungkin aku dapat membajainya dan menumbuhkan warna-warna terindah dan bahagia atau aku hanya nanti menjadikan dataran itu tandus..gersang dan tanpa nyawa? lautan yang membiru di hadapanku, debur ombaknya memutih namun tidak juga menjanjikan tenang. Badainya menghempas..apakah aku juga cukup kuat untuk menakhodai bahtera hidup itu nanti? Seribu macam perasaan yang bergelodak. Seribu satu persoalan. Mampukah aku mencintai atau juga dicintai? mampukah aku menyayangi atau disayangi? mampukah aku merindui untuk dirindui? Mampukah aku Tuhan?

Namun..aku juga merindui untuk disayangi, dicintai dan dihargai. Ditahtakan di sudut hatinya. Merindui senyum seorang kekasih yang tak usai memegang tanganku. sambil di bibirnya berkata..'berikan aku sebahagian dukamu'

Akhirnya..aku masih lagi menyisir di antara tepian dataran penuh kehijauan dan biru laut. Mengharap..menanti..ke arah mana bayu Tuhanku akan menerbangkan jasadku dan di situ aku redha. kalau telah tertulis aku akan berbaringan di kehijauan dataran itu..aku ingin terus di situ dan seandai biru laut juga yang akan membasahi tubuhku aku masih redha dengan takdirNya.

Tika hati dilambung putus asa tatkala di tangan hanya tergenggam secebis harapan, aku larut lagi dalam hangat kitabMu, dalam tasbih padaMu..Subhanallah

Ya Allah..hidup dan matiku hanya padaMu. Sujud dan rukuk ku mengharap belasMu. Seandainya hidup memberikan kebaikan juga kebahagiaan, Kau kuatkanlah iman ini, tabahkan hatiku seperti tabahnya isteri kekasihMu, dan sebelum aku menjadi beban, kesakitan juga racun ..aku ingin pulang padaMu.

Wednesday, December 17, 2008

Antara senyum dan airmata


Pagi...aku cuma berharap ada sesuatu buatku hari ini. Malam tadi hingga ke pagi melayan Noreez dan vin di ym. Terhibur sedikit bila dapat CF dengan diorang.

Apa yang terjadi buat aku kenal siapa kawan-kawanku selama ini. Mungkin mereka cuma rakan siber tapi tak di nafikan insan yang jauh itulah yang masih sudi menemani kita di saat hati separah ini. Airmata masih murah namun aku tahu aku cukup kuat untuk lalui yang satu ini. Aku cukup kuat..aku tahu!

Meskipun bukan mudah menahan airmata yang berladung, namun aku takut terbawa dengan perasaan ini lagi. Aku takut..andai larut dalam kesedihan menjadikan aku nanar sendiri. Bukan mudah mencari kekuatan dalam diri apa lagi membina kesabaran saat ujian datang bertimpa-timpa. Saat aku menghadapinya sendirian. Saat aku bergelumang dengan tuduhan demi tuduhan.

Tuhan tahu apa yang aku lalui dan Dia pastinya tidak kejam. Aku yakin Dia mengambil untuk memberikan yg lain. Allah tutup satu pintu untuk membuka pintuNya yang lain. Aku pasti masih ada senyuman buat aku dan anak-anak sekurang-kurangnya aku sedar, walau di mana aku, walau bagaimana aku, walau seteruk mana aku Allah masih sudi memandang ke arah aku. Allah masih sudi ingat padaku. Alhamdulillah...

Tuesday, December 16, 2008

Menjadikan aku lebih redha (3))





Belum bersisa kesedihan di hati, aku balik ke Melaka. Sepanjang perjalanan airmata menitis bila mengingati segalanya. Ya Allah..kuatkan semangatku!

"Ibu, abang rasa ada orang masuk bilik abang laa. Mainan abang patah-patah!"
Aku terkesima.
Satu pemandangan yang sudah cukup untuk membuatkan tubuhku seram sejuk bercampur marah. Kain baju di almari pakaianku dibongkar. Buku akaun anak-anakku!!!! Sesen pun tak ada yang tinggal. Astaghfirullah...kuatkan aku ya Allah

Masuk ke bilik anak-anak, memang benar hampir semua mainan Mujahid dipatah-patahkan. Laptop dan banyak peralatan lain di bilik tu diselongkar. Begitu juga di bilik Fatin. Pintu belakang terkunci dari luar..ternyata orang itu masuk secara terhormat di rumahku ini!....sebilah pisau di dapur hilang lagi untuk kali ke 2

"Abang atau kakak jangan buat apa ye. jangan usik apa-apa..ibu nak buat report polis,"

Tak pasti apa yang ada di hatiku ketika itu cuma berdoa aku akan kuat..tabah..dan sabar (kian hari aku tak tahu apa maknanya lagi) Mungkin juga respon yang aku terima dari teman-teman positif jadi hati sedikit cekal.

"lost..katner?"
"Kenapa?"
"Teman saya ke balai,"
"Apsal?"
"Rumah saya ada orang masuk."
"Saya tak ada kat Melaka Ja"

"Phant..ada kelas ke?"
"Takde kak, baru je habis. Kenapa?"
"Rumah akak ada orang masuk!"
"Huh?? sabar kak..."

'takpelah bukan rezki Eja tu..gi buat report polis'-eddy
'sabarlah Ja..Allah nak bagi yang lebih baik'-Cheah

Selesai urusan di balai polis Bukit Baru(dari IPK Melaka Tengah, aku disuruh buat report ke Balai Polis Ayer keroh..tak jumpa balai tu aku ke pejabat polis Komuniti Bukit Katil tapi satu pegawai pun tak ada) dan sewaktu balik sempat jga aku menelifon Vin, minta pendapatnya. Leftenan Syukriyazam datang seketika kemudian.

Dalam kepala hanya ada dua perkara.. malam ni kena cari padlock baru..esok kena tukar kunci grill dan pintu rumah..semua kena buat sendiri.

Penatnya...tekak terasa kembang..Oh! sejak pagi aku belum menjamah apa-apa...

Menjadikan aku lebih redha (2))

Jumaat 12 Disember
Exam di Universiti Malaya subjek 'control system' aku laratkan juga dengan kepala yang kian menjadi-jadi sakitnya. Tak pernah aku rasa sakit macam ni. Sesekali pandangan menjadi semakin gelap.
Tak boleh! Kalau ikutkan ni mau ada yang duduk bawah lori nanti. Kena kuat lagipun aku kena balik dengan selamat untuk jaga Mujahid. Dia baru je bersunat pagi tadi..sapa nak jaga dia kalau aku ikut sama sakit. kena kuat..mesti balik dengan selamat..mesti!
Sebab tak larat sangat akhirnya aku singgah ke klinik di TTDI jaya ditemani rakan. Macam nak pecah je kepala ni.
80/50 hmmm..amikkk ko lagi sekali Jaaaaa...
Doktor tu bekalkan aku dengan vitamin. Katanya aku pucat sangat dan denyutan jantung tak normal. Masa bangun tu aku pitam lagi. Dia suruh aku terus ke klinik kalau lepas ni pitam lagi. kalau drive make sure parking kat mana-mana dulu. Tidur jangan sorang-sorang! Errrr..kena berdua ke doc? hahahahaha kadang-kadang kepala aku ni ada juga biolnya..ahaks

Sampai rumak Kak lang, aku terus cium Mujahid. kesian pulak tengok dia menung-menung macam tu.
"sakit bang?"
geleng
"Abang nak makan?"
Geleng
"Abang dah buang air"
Geleng
Aku nampak airmata di sudut matanya. Dalam hati aku tergerak sesuatu. rasanya aku tahu apa yang ada dalam fikiran anak lelaki ku itu.
'Mujahid dah bersunat pagi tadi..senang-senang kol la dia'
Wajah sayu Mujahid terus menghuni fikiranku malam itu. Ku pandang telefonnya yang terus sepi hingga ke pagi...biarlah Mujahid. kalau ayah tak ada..ibu ada!

Sabtu..bukan mudah untuk menangani kerenah anak lelakiku. Faham akan kemahuannya tapi apa daya ibu Mujahid..ibu dah cuba.
Sedaya upaya aku cuba memberikan yang terbaik dan sesekali airmata ni berladung juga.

Ahad..tiba-tiba mak datang. adeiii..ni mesti ada apa-apa ni. Abis laa aku. dari wajah mak aku tahu ada sesuatu yang tak kena. Rautnya yang kurang mesra dan mak banyak diam .

Isnin..
dari mak aku dapat tahu mak mertua telefon semalam. Dia persoalkan tujuan aku ke sabah tempoh hari. macam-macam yang timbul sehinggalah mak tanyakan pada aku betul ke aku ke sabah untuk berubat? Faham dari nada soalan mak itu aku terdiam.

Bagai sembilu rasanya bila ditikam dari belakang oleh insan yang bersungguh-sungguh mahu kita mempercayainya. Bagai tubuh ini disiat-siat rasanya bila maruah kita diinjak sedemikian rupa. Aku faham perasaan mak. Faham hatinya bila orang lain mempersoalkan diri anaknya. Faham tentang dukanya bila insan lain mempersoalkan harga diri anaknya. Aku faham.

Dan aku terlebih faham apa yang cuba mak mertua aku cuba maksudkan!

Dia sedang cuba menidakkan harga diriku. Kalaupun aku sejahat itu mengapa dia tidak mahu menanyakan terus dari aku? Mengapa pada mak? Secalit pun jahat anaknya tidak pernah tiba ditelinganya dulu apa lagi dipengetahuan mak aku. Cela anaknya seboleh mungkin aku telan kerana memikirkan apa wajah yang akan suamiku halakan pada semua orang kalau orang lain tahu?

Sabarku ada batasnya..tapi jangan sampai melukakan insan yang paling kusayang! Hormatku ada hadnya jangan sampai memberikan duka pada diri yang paling aku cintai!

Aku nekad....kalau maruah aku dan mak dicarik sedemikian rupa...tunggulah dan aku akan berikan jawapan terbaik yang mereka inginkan!!

Tuhan...sebelum harinya..ampunkan dosaku.

Menjadikan aku lebih redha (1)

Kian banyak ujianNya yang aku lalui. Saat aku bagai kehilangan dahan buat berpaut, Tuhan menambah lagi dugaanNya. Saat terasa bagai nafasku sesak, Allah terus menguji. Aku yakin, Tuhan itu tidak kejam..dia pasti menyediakan sesuatu buatku.

Aidiladha..kala berkumandang takbirnya di keheningan hari aku hanya mampu menitiskan airmata. mengenang pandangan-pandangan dari abang-abang dan saudara yang datang bertandang. Namun aku tak punya jawapannya. Aku bersendirian dengan anak-anak di kampung tanpa seorang suami buat kesekian kalinya. Tiada panggilan telefon tidak juga sms darinya. Anak-anak seakan menelan kata hati masing-masing...

Khamis 11 Disember, mertua datang ke rumah tatkala aku mahu ke klinik menghantar Mujahid yang semalaman tidak dapat tidur kerana selsemanya. Entah apa yang dibincangkan oleh mereka (pastilah tentang aku) Terasa pedih menikam hati bila mertua bising tentang niatku menyunatkan Mujahid cuti sekolah ni. SSebenarnya pagi tadi lagi mak dah bising. Mertua menelifonnya semalam. Tak mengizinkan aku menyunatkan anak tahun ini. Buat tahun depan sama dengan anak-anak Kak Long. pelik...kenapa soal itu pun Faizal mesti kecohkan satu kampung? Mak lagilah berang sebab dia yang tak tahu apa-apa tiba-tiba diserang sedemikian rupa.
"jangan nak memandai-mandai, kau tanya dulu Faizal tu.."
"Dah..semalam orang dah tanya dia. Dia kata buatlah,"
"Abis tu yang mak dia bising-bising. Kau tanya jugak mak mertua kau tu,"
"Apasal benda macam ni orang nak kena tanya dia lak? Mujahid dah nak..biarlah dia bersunat."
"Dia nak buat kenduri tahun depan!"
Kepala mula berdenyut-denyut. Semalam tak selesai dengan maki hamun Faizal yang menyatakan aku ni keras kepala..degil..panas baran..ditambah lagi satu perkara ni. Degub jantung dah rasa lain. Apa ayat yang keluar dari mulut mak dan mertua lepas tu aku betul-betul tak dengar lansung.
"Doktor, tolong check kan tekanan darah saya boleh?" pinta aku sebaik Mujahid selesai di periksa. 140/100..huh! Amikk kauuu.
"Akak stress ni.."
Bukan stress lagi ni doc, pembuluh darah dah rasa nak pecah...!

Malam..aku sampai di bangi. Akak ajak gi klinik buat appoinment untuk sunatkan Mujahid.
"Esok pagi pukul 8.30..boleh?"
"Takpe ke abang sunat esok?" tanyaku pada Mujahid
"Nak!"

Jumaat..4.30 pagi aku terbangun. Dada berdebar-debar. Dalam kepala ni cuma satu..sakit ke arrr? Ya Allah..kalau bersunat tu sakit kau alihkan lah sakitnya pada aku. Janganlah anak kecilku tu rasa sakit walaupun sikit. Kuatkan lah semangat anak kecil ku itu ya Allah.

Everythings fine sampai lahhh...
"Doc...saya rasa nak pitam!"
Tau-tau aku dah duduk di kerusi dan doktor lelaki tu memaut bahuku. Pembantunya membasahkan mukaku dengan kapas yang dilembapkan. Aku cuma rasa dunia ni makin mengecil. kepala berdenyut-denyut. Ya Allah..sakitnyaaaa. Mungkin Allah makbulkan doaku pagi tadi. takpe..demi anakku..aku sanggup. Kalau Tuhan nak ambil sebahagian nyawaku untuk keselamatan dan kesihatan Mujahid pun aku sanggup.

Kak lang, angah Nabila dan Alang Rahman ketawa bila tengok aku pucat lesi keluar dari bilik rawatan tu..

Adeiii..kalaulah kawan-kawan tau anak aku yang bersunat tapi aku yang pitam..abis lahhhhh

Wednesday, December 10, 2008

Hadiah Buat Anak Ibu

Teringatkan wajah hampa milik seraut wajah yang sering kurindui. Telah sebulan lebih hadiah hari jadinya aku tangguh-tangguhkan. lalu wajah hampa itu sering menggamit airmataku.

Maafkan ibu anakku..tadi ibu usahakan juga. Mana lah tau...

Ibu dah carikan apa yang anak ibu mahukan hari tu..senaskah Al Quran, sehelai sejadah..Mujahid tau apa ibu rasa bila Mujahid minta semua tu? Hati ibu sejuk sangat. Sampai sekarang bila ibu ingat-ingatkan murah je airmata ni.

Ibu harap sangat Mujahid akan jadi anak yang baik. Anak yang dapat mendoakan hidup mati ibu. Anak yang akan memberi syafaat buat kita semua. Mujahid jangan hampakan ibu ye. Maaf kerana ibu banyak hampakan anak-anak ibu kebelakangan ini. Tetapi ingatlah anak-anak ibu, mustahil ibu akan dewasakan anak-anak ibu dengan kemewahan. Tak boleh sayang sebab semua tu akan buat kita terlalai. Ibu tak mahu kerana kesenangan, tiba di waktu sempit kita nanti anak-anak ibu rasa seolah-olah hidup ini telah berakhir.

Kasih sayang ibu hanya ingin melihat semua anak-anak ibu berjaya dalam hidup dunia dan akhirat. Ibu hanya nak kalian jadi insan yang tabah, kuat dan beriman. Dunia ni semakin bercelaru anak-anak ibu. tanpa agama kita tak ubah seperti sampah, walau diletakkan di tempat semulia mana pun tetap takkan berharga. Ibu doakan yang terbaik untuk fatin mahupun Mujahid. Andai tiba satu saat, ibu tiada lagi di sisi kalian, ibu hanya nak anak-anak ibu ingat yang ibu sayangkan kamu semua.

Bila rindukan ibu, Fatin mahupun Mujahid lagukan Al Quran tu ye. Solat jangan lupa. Gunakan sejadah yang ibu beli, moga di atas sejadah itu nanti menjadi bukti ada airmata yang membasahinya kerana rindu pada Tuhannya. Mujahid jangan lupa, pakai songkok yang ibu beli, Fatin juga tutup rambut mu nak dengan tudung-tudung ibu, hidupkan sunnah Rasullullah ye sayang kerana satu yang kita hidupkan Rasullullah akan mengunjungi kita di makam nanti.

Ibu bukan bonda terbaik buat kalian kerana ibu gagal menyempurnakan banyak perkara. kadang-kadang ibu marah-marah. Ibu selalu larut dalam perasaan kecewa ibu terhadap ayah.namun ibu berusaha anak-anakku..ibu berusaha menjadi yang terbaik. Rasanya kalau nyawa ini boleh dijual sedikit demi sedikit, ibu tak fikir seorang ibu akan berfikir berkali-kali untuk memenuhi keinginan anak-anaknya. Hanya untuk melihat anak-anaknya tersenyum dan dewasa. Kalau hingga ke akhir hayat ibu, semuanya masih tidak cukup sempurna..maafkan ibu. Ibu dah buat segalanya buat kalian dan sehingga saat ini ibu masih berusaha menyempurnakan tanggungjawab ibu.

satu yang ibu pohonkan..janganlah ada yang memisahkan ibu dengan anak-anak ibu. Walaupun bila hidup dengan ibu banyak perkara yang tak dapat ibu tunaikan. banyak kekurangannya..ibu tahu..tapi ibu tak sanggup berpisah.

Sampai di sini dulu anak-anakku...

Saturday, December 6, 2008

Biarkan aku...

Sekalipun masih bersisa keriangan, entah mengapa aku terkesan dengan apa yang terjadi pagi tadi. Hari ini, neida telefon katanya nak bawa anak-anak ke Zoo Melaka dan dia mengajak aku menyertainya. Hmm..dah orang datang tempat kita. Masih terasa ada cecair bening yang menitis laju dari kelopak mataku, masih terasa sebak di hati namun aku tak berdaya berbuat apa-apa. Siapalah aku..kerana telah tertulis ini adalah jalanan takdirku.

mengapa sukar kuusir kenangan sekalipun berhempas pulas aku cuba menghindarinya. Mengapa terlalu sukar aku mengasingkan cerita duka semalam sedangkan beratus kali aku meyakini diri, langit takkan selamanya mendung. Esokku akan punya pelangi..

Bertahun..mengendung kesilapan yang terkadang bukan silapku. Selama mana aku terdaya? Andai dulu tika dia masih bersama ku, aku tidak pasti mengapa keberadaan aku di sisinya diikat dengan silap demi silap yang sengaja di cari.

Bukankah soal hati bagaimana jua layanan bertaraf di raja aku persembahkan dia tetap berubah jika dia sendiri ingin berubah. Aku terusan menyalahkan diri, mencari segala kekurangan menerima apa jua hukuman yang selayaknya dia jatuhkan padaku. Apakah kerana aku perempuan yang merempat..mengemis cinta suami di rumah sendiri maka apa jua kekurangan itu adalah salahku?

Terasa dunia ini kian sempit..sesak buat insan seperti aku. Diri yang berjuang untuk mengisi cangkir bahagianya.

Janganlah di cari lagi salahku, kupohon simpatimu usah dibebani lagi bahu perempuanku. usah lagi sengaja kau cari punca dari kekuranganku ini untuk kau jerut leherku. Cinta seorang wanita, cukup andai kau mengasihinya seperti kau mengasihi dirimu. Hadirkan aku rasa kasih itu agar aku bisa terus dekat di hatimu. Jangan kau jadikan aku umpama layang-layang kau biarkan tinggi dan satu saat bila kau mula tidak mengingininya lagi kau putuskan tali itu. Terumbang ambing dan sesaat kala aku jatuh dan terhempas..kau tak akan mungkin menemui lagi cintaku.

p/s: Jangan berikan aku harapan andai satu saat kau akan merampasnya kembali dariku. Usah buat aku tersenyum kiranya esok kau buat aku menangis..tak perlu kau datang bertandang, mengisi kesepian ini andai satu saat nanti kau tegar meninggalkan..

Friday, December 5, 2008

Sekejappp jek kat pejabat pos mini Jusco

Ada banyak sebab kenapa aku paling malas nak keluar bila masa tu aku berpeluang unuk bermalas-malas di rumah. Satu hal aku benci ada atas jalan raya..rimas tengok kereta banyak sangat. Sebab tu kalau atas hiway selagi boleh aku nak sampai cepat ke tempat yang aku nak tuju. Yang kedua bila keluar....aku kena pakai lawa-lawa, nak kena pakai bedak, lipstik sumer. Tak pakai nanti bimbang terserempak dengan kawan-kawan dorang ingat aku nak gi bengkel kereta. Bukan tak pernah aku ke Jusco dengan t'shirt, tracksuit, skaf je dan sliper..esok kecoh satu bilik guru aku baru balik dari kebun

One thing lagi bila keluar ni ada aje yang for sure berlaku. Masa hantar Mujahid aku dapat ceramah percuma dah tu lepas amik mujahid aku terus ke jusco sbb nak kejar pejabat pos mini dalam tu...tengah tunggu giliran (masa tu baru 2155, no aku lak 2166) aku pun kuarkan laa nset yang ada sorang member pinjamkan. Kononnya nak main sms dengan dia sementara tunggu giliran (aku nak beli sampul pos xpress tu je)..ada laa dua orang kaum ibu yang dok depan aku tengah citer pasal nset dorang tu. Mungkin dia perasan aku pakai nset nokia lama ni (uiii..walaupun lama ni tapi aku cukup hargai..nyawa aku nehhh kena lak yang bagi pinjam tu...hahahaha)
"U pakai model apa tu?"
"I pakai N70 je.." jawab kawan dia yang pakai tudung pink sambil kuarkan nset dia dari nbag Bonia tu. Sambil menayang-nayangkan nset dia tu sempat laa dia tekan-tekan nset dia bagi tunjuk kat kawan yang pakai baju kebaya kaler ijau tu. Aku dok dengar je laa dengan Fatin.
"I baru beli nset ni..." si kebaya ijau ni pun kuarkan la pulak nset dia dari dalam handbag yang sedondon dengan baju dia tu. Aku jeling je laa..Fatin yang dok seblah aku waktu tu tengah main game guna nset Nokia touchlight (pasal nset ni bila guna je lampu dia macam lampu kalimantang..terang gilerr) dia sengeh..
Masing-masing macam xmo kalah..tunjuk kemahiran masing-masing. Alahaiiii..kaum-kaum ibu depan aku ni..
part paling best bila tiba sorang makcik lagi..dah tua pun. Dia masuk duduk kat seblah kaum-kaum ibu tadi. Aku tengok makcik tu lagi sempoii,, baju kurung kedah dengan kain batik je. Sempoi giler tapi nice laaa. dalam pada kaum-kaum ibu tadi berborak sakan pasal nset masing-masing tiba-tiba tipon makcik yang baru tiba tu pun berbunyi. Dia pun kuarkan dari dalam poket baju kurung kedah dia..perghhhhh N85 tuuuuu..kaler itammmmm
Serta merta kaum ibu tadi terus senyap dan simpan nset masing-masing. fatin ketawa aku pun mengekek jugak laaaa...
Wakakakaka..moralnya..kenkadang kita rasa macam kita laa yang paling best padahal ada orang lain yang berganda-ganda bestnyerr..cayalah aku kat makcik tu.. pakai N85 tak bawak handbag Bonia ke..siap simpan lam poket jekk...dahsyat arrr.
Aku yang tengah gelak sikit-sikit ni terus bangun pasal giliran aku dah sampai..kaunter 2 lagi. Dan sebelum aku kuar dari pejabat pos mini tu sempat laa aku jeling kaum-kaum ibu depan aku tadi. Masing-masing toya je dan makcik N85 tu masik rancak berborak dengan telefonnyer..hahahaha

p/s: Ni sumer buat aku rindu kat buah hati aku LG Viewty yang masuk spital kerana demamnyerrr..hehehehe

Thursday, December 4, 2008

Ceramah Keselematan Jalanraya Percuma

Perkara ni baru je beberapa minit tadi berlaku. Jumaat...adalah hari yang aku rasa macam tak cukup masa. Pagi dengan rumah dan menjelang tengah hari nak hantar Mujahid ke masjid. Alhamdulillah bab Solat Jumaat ni anak lelaki aku yang satu tu memang cukup mudah disuruh ke sana. Malas-malas pun bila dipujuk "Pergilah abang, seminggu sekali je orang lelaki kena semayang Jumaat ni. Bila abang pergi semayang Jumaat tu dapat juga ibu tumpang pahala abang,"

Sebetulnya aku sempat round satu ayer Keroh tadi mencari kedai binding. Dapat kedainya pejabat pos Ayer Keroh tu pulak tutup..tengah renovate..ikut je lahhh..

Dari sana aku terus ke Kampung Tun Razak untuk hantar Mujahid. Sesak betul jalan tu. Orang parking sampai ke tengah jalan. Takpe lahh..aku selaku anak murid schumaker yang agak expert akhirnya berjaya juga melepasi kereta orang-orang lelaki yang sangat mahir memarking. Sampai satu selekoh nak keluar..berlakula insiden ini..ahaks

Jalan tu memang sempit. Memang aku nampak papan tanda 'berhenti' ka tepi rumah ustazah sekolah agama tu tapi kalau aku berhenti jawabnya orang sebelah sana tak dapat masuk pasal kat situ memang muat-muat sebuah kereta. Aku pun bagi signal ke kanan nak keluar. Aikkk! tetiba ada sorang pakcik tu dengan motornya keluar dari deretan kete yang menunggu nak masuk ke simpang aku tadi. Dengan guni penuh berisi pisang kat belah depan dia berhenti di tengah-tengah jalan. Aku bagi isyarat mintak mahap banyak-banyak. Wahhhh..dia marah kemain..sambil berusaha mengimbangkan motornya. Tak jatuh pun. Kete aku dgn motor dia pun boleh muat lagi sebuah kereta. Adeiiii..kat belakang dia ni berderet lagi yang nak masuk

Aku tengok dia memetir-metir tengah jalan tu. Aku pandang brother dalam kete belakang dia..brother tu sengeh sambil angkat bahu. Pakcik ni masih lagi marah-marah sambil tangan dia meraban-raban..adeiii..aku yang sound memang kurang dek selsema ni berusaha keras memahami apa yang dia sedang cakap. Last-last aku pun buka cermin tingkap..

"Maaf bang, kalau abang nak balik balik laa dulu. Akak tunggu dah lama kat rumah tu. Lagipun Solat Sunat Jumaat sat g dah nak start. Abang takmo g ke?"
Cehhh! aku cakap macam kenal je dia. Hehehehe..alaa bukan jadi apa-apa pun sampai dia nak berceramah sakan kat tengah jalan tu. Apa salahnya dah aku benti..dia jalan je laa bukannya aku hon dia pun, bukan aku langgar dia pun..break emergency pun tak!

Ni lah orang kita...kenkadang aku pun pelik. Susah sangat ke nak beralah? Apa pun aku doakan pakcik tu selamat tiba di rumah dengan pisang-pisangnya dan sempatlah dia ke masjid untuk solat Jumaat. Aminnn...

Dah..nak g pejabat pos lain lak nak buat pos laju! hehehehe....

Aku Masih Di sini-lirik lagu

XPDC- Aku Masih Di Sini

Lena ku dibuai
Bayangan seribu bintang
Kasih tertumpah dibingkai awan
Demi kemilau sang mentari
Yang tak bisa mengerti

Biar kutitipkan
Keperihan pelayaran
Hingga terdaya ku melafazkan
Salju sebening kasihku
Kepadamu oh kekasih

Inginku buktikan
keyakinan dalam diri
Ku punya jiwa nan suci
Untuk kumiliki
Sepenuhnya nirwanaku

Oh..pedihnya terpanah arjunamu
Terbelenggu aku di dalam menunggu
Bergelora rintihan asmaramu
Di pelantar rindu yang menghempas
Namun kerana tulusmu
Masih mampu ku berdiri

Demi naluri yang sama
Kita masih di sini
Demi naluri
Aku masih di sini

Aku Masih Di sini

Aku suka lagu ni.... lagu XPDC 'Aku Masih Di Sini' walaupun berbelit-belit tapi entah kenapa serasi je dengan telinga aku..hehehe..Bukan sebab muziknya tapi senikatanya.

Dalam persahabatan itulah aku..bukan nak angkat diri sendiri tapi aku boleh katakan, aku memang sahabat yang baik. macam mana sakit orang buat aku, i still can be their friend..sebab..hidup ni singkat untuk kita mencari kebencian orang lain. Singkat untuk menyakiti orang lain. Seorang sahabat belum cukup ramai untuk mewarnai kehidupan kita tapi seorang musuh sudah terlalu banyak untuk mendatangkan kemusnahan.

Orang cemburu bila melihat kita tertawa riang, orang sakit hati bila melihat kita tenang tapi mengapa ye..sukar mencari insan yang akan terus mendoakan orang lain? Mengapa begitu sukar mendepani manusia yang dihatinya tak akan puas melihat ketenangan orang lain? Mengapa masih ada manusia yang akan berusaha sedaya upaya untuk menghancurkan orang lain sedangkan diri yang dimusuhi itu tidak pernah berbuat apa-apa padanya?

Aku pernah mengenali seorang lelaki yang egonya setinggi langit. 'aku lebih rela kau hancur dari menjadi milik orang lain' dan aku juga mengenali seorang perempuan yang sanggup berbuat apa saja demi iri hatinya terhadap perempuan yang lain. Dia berusaha sedaya upaya menjatuhkan sekalipun berurusan dengan cara yang paling jahat! Pelik..kerana setahu aku perempuan yang disakitinya tu tak pernah berbuat apa-apa pun padanya. Dia hanya meneruskan kehidupannya.

Kebelakangan ini blog aku ini menerima tetamu yang tak kukenali dan dari setiap komennya yang di emailkan kepada ku membuatkan aku yakin..pengunjung itu adalah 'dia'. Demi jika dia terbaca tulisanku hari ini..ketahuilah..setiap perbuatan punya balasannya. Setiap inci yang kau semai akan kau tuai hasilnya. Kalau padi..padilah..tapi kalau lalang..lalanglah dan kau takkan menuai emas. Kita diperhitung dengan setiap apa yang kita kerjakan.

Buruk atau jahat...aku masih di sini!

Rindu




Apa ye rindu tu?
Ingat? iye ke? Betul ke setakat ingat je itu dah cukup untuk mentafsirkan makna rindu? Kebelakangan ni aku sukar melarikan ingatan aku pada seorang kawan. Pantang aku duduk sendirian, entah kenapa dia akan muncul dalam kepala aku. Tengok dapur.aku ingat dia sebab masa aku gi umah dia dulu kitorang selalu berhimpun di dapur. Dia dengan gitarnya, adik-adik yang lain akan duduk di meja makan..iepah..akan melayan mata dia yang tak jemu-jemu disconeccted. Sesekali dia akan menceceh bila tak berkenan tengok aku masak. Tumbuk cili duduk kat lantai salah..ada aje yang tak kena. Kadang-kadang teguran tu yang pada asalnya sekadar gurauan akan berlanjutan sampai dah macam nak bergaduh. Pendek kata banyak kenangan aku dan keluarga itu berlansung di dapur rumah mami. Rindu ke tu?

Aku juga sering teringat pada adik-adikku...Fazrin..Hyfa..Sufian..macam mana agaknya diorang sekarang ni. Ingat lagikah pada aku yang bukan sapa-sapa pada dorang tu? Dah besar ke diorang? Hahahaha semua umur dah boleh dikira akhir akil baligh..semoga adik-adik akak bahagia disamping tugas masing-masing. Disamping keluarga..di samping bakal-bakal ahli keluarga...Rindu ke tu?

Sukar juga untuk dialih fikiran ini dari mengingati 'dia'. Seseorang yang tak pernah jemu menemani aku walau apa jua keadaan. Saat jatuh..saat bangun..saat suka..saat duka. Teman yang tidak pernah menyingkiri aku..yang tidak pernah membuang aku di kala aku di pinggir jauh oleh orang lain. Terasa dia dekat sekalipun tika ini dia jauh dari pandangan mata...walaupun dia teramat jauh bukan sekadar hari ini tapi mungkin selamanya.

Seseorang pernah mengutuskan aku bait-bait kata ini..lama dulu..

'ja..bila kau sendirian, yakinlah aku sentiasa ada bersama kau. Mungkin aku takkan ada selamanya di sisi kau tapi aku akan terus ada selama kau tempatkan aku di hati. Aku mungkin takkan ada di hadapan kau tapi aku akan sentiasa ada selama kau tempatkan aku dalam ingatan. Aku akan sentiasa ada selagi kau dan aku berpijak di bumi Tuhan yang sama dan berpayung di bawah langitNya..'

En..16 tahun berlalu sejak aku mula tinggalkan dunia Poly..surat pink kau tetap aku simpan..keramat surat tu..

Rindu..apa maknanya?

Hujan

Hari ni aku bangun lewat..sangat-sangat lewat tapi masih yang terawal bila menuju ke dapur aku tengok Mujahid dengan Fatin masih terlena di katil masing-masing. Ni lah akibat bila tidur semula lepas solat Subuh. Adeiii berpinar mata..kepala terasa berat je.

Malam td aku tidur dekat pukul 1 pagi melayan iepah dan Noreez (teman yang tak pernah jemu mendengar aku melalut) di ym.

Bukak peti ais, keluarkan apa yg boleh dibuat makan untuk sarapan ni. Akhirnya aku goreng je karipap daging yang tinggal 5 ketul tu..cukup arrr buat alas perut sementara tunggu makan tengah hari ni. Kalau rajin esok aku wat inti karipap lagi lepas tu balut dengan kulit popia..boleh laaa...

Lepas kemas rumah..basuh baju sumer dan sempat membebel suruh anak-anak kemaskan tempat tidur, sangkutkan baju masing, aku mula mengadap Strength of material ( lab report). Nak kena hantar sebelum 7 Disember. Calculation dalam tu satu benda aku lom buat lg. Calculator pun entah mana aku campak ntah..hehehe..

Sedang leka men top-up apa yang patut tadi Noreez ym aku, isin pun ym gak..ahaks..tima kasih kawan-kawan bila masih sudi ym aku yang tenat neh..sekali..yang kat langit pun bunyi..!

Hujan..mula aku mengimbau zaman kanak-kanak kat kampung dulu. Ada suka ada duka. Dulu masa-masa macam ni adalah saat yang paling ditunggu-tunggu. Rumah kg mak yang lapang..bumbungnya tinggi. Bila hujan aku, abang, adik malah anak-anak jiran akan jadi katak yang rasanya lebih hepi dari katak yang sebenar. Mula-mula acah-acah kaki kat cucuran atap. Duduk bertenggek kat anjung umah mak yang berdinding separuh atau kat hujung tangga. Dah basah sikit mula masing-masing main kapal kertas..for sure kepala dah basah time tu dan...apa lagi...ahaks..lencunnn!

maka berguling-guling dan berkejaranlah kat laman umah (kalo difikir sekarang rasanya tak terbuat dah pasal kat lama tu laaa taik ayamnyerrr..lom kira taik kambing lagi..taik kucing..perghhh..alahaiiii) Keliling rumah masing-masing 'ujo'<<--org N9 je boleh tau makna dia nehh.

Port paling best kat bawah cucuran atap tepi bilik solat sekarang ni. Pasal kat situlah pertemuan bumbung umah yang curam, tinggi pulak tu. Nikmat gilerr kat situ. Air hujannya macam air terjun, berdengung kepala kalau kena tu. Mungkin sebab tu juga budak-budak kg ni kreatif..ahaks..otak tak sempat beku asik bergegar kena 'hobin' dek air terjun tu..hehehehe

Gara-gara main hujan aku ngan achek pernah kena balun dek omak dengan batang ubi. Masa tu baru lepas baik demam..berbilai betis! Tapi yelah..budak kampung mana pernah tau makna serik. Dah kena balun pun jerannya sekejap. Sementara nak tunggu hujan tu berhenti sempat lagi hulur kaki kat cucuran atap rumah. Lama-lama mak pun jadi tak kisah. Cuba sekarang ni bila cucu-cucu dia nak mandi ujan..suara mak lagi kuat dari guruhnya. Sayang cucu la tu kot..dah anak-anak dulu bingai tak mendengar kata..hehehe

Masa kat maktab dulu..aku sempat laa masuk KPA (kadet pertahanan awam). Bila ada latihan kawad kat Terendak Kem tu lemah tul semangat. Aku..Pid..Pizah..Hasan..dll..memang glamer laa pasal kami semua GP (guru pelatih perempuan). Aku ingat lagi masa tu kena masuk KAGUM. Bila part latihan kat kem tu rasa cair je. Mat-mat tiarap kat situ macam tak penah tengok pompuan..sakan dorang bila kami datang. Mcm tembus baju kitorang diorang sorakkan..nak-nak pulak kalo ujan..adeiiii..pakai t'shirt putih dengan seluar uniform tu..seksiiiii..seksaaaa..wakakakaka..taubattt...mana ekk gambar masa latihan tu? Kena yang pakai baju dalam hitam..nasib ko laaa..

Terlampau banyak kenangan..terkadang rasa terlalu sukar dilupakan..hmmm..kat luar ujan lagi..bergulung dalam selimutlah aku malam ni sebab petang tadi sempat jugak main hujan..ujan..ujann...katak juga yang paling hepi...