Thursday, October 16, 2008

Rinduku dan senja di sana.




Dalam sepi...aku menatap beberapa keping gambar yang ada di dalam telefon bimbitku. Semalam terasa segar di ingatan dan mata terpaku pada sekeping foto yang benar-benar membangkitkan rinduku,

Cahayanya bagaikan hidup. Aku merindui suasana itu tapi aku takut utk mengulangi lagi kenangan itu. Tika cahaya jingganya menjamah kulit yang masih bersisa dek pasir..tika cahayanya pecah di antara kelopak awan nipis dan tika senja seindah itu disulami gelak tawa Iepah,Jira..dan sepupu-sepupu iepah yang lain.

hari ini..aku menyedari..segalanya cuma akan tinggal kenangan kerana..ADA HATI YANG PERLU KU JAGA

Tuesday, October 14, 2008

Menjaga Hati


Setiap inci kemesraan akan terus kekal di hati ini

Seusai solat maghrib aku menerima kiriman sms dari seseorang yang dekat di hatiku. Berpura-pura seolah-olah tidak mengenalinya sekalipun aku amat merindui 'adikku itu'. Terasa rindu yang pernah hadir di hati ini mekar kembali tapi terasa sukar untukku ungkapkan segala-galanya kerana 'dia'

Dik..maafkan kak eja kerana telah sekian lama tidak mengirimkan berita. Bukan niat untuk melupakan tetapi ini yang terbaik untuk kita juga untuk 'abang'. kak Eja tak mahu dijadikan sebab lagi bila ada hati yang tersentuh lantaran keakraban kita. Sekalipun rindu pada keluarga di sana namun ini yang terbaik.

Cukuplah Kak Eja katakan ada hati yang terpaksa Kak Eja jaga demi memastikan hati 'abang' dan 'kakak' itu tidak tersentuh. Orang seperti kak eja ni dik, takkan pernah nampak baiknya. seolah-olah kami hanya akan mencacatkan keindahan suatu hubungan. Pelikkan dik....Kak Eja tak pernah pinta segala ini terjadi dalam hidup Kak Eja namun ini ujian Tuhan.

Maafkan Kak Eja kerana kunjungan itu nampaknya adalah yang pertama dan terakhir Kak Eja ke sana. Bukan membenci..tidak juga serik kerana sepanjang di sana Kak Eja lalui saat-saat yang terindah kita. Kak Eja tak pernah lupa tawa senda kita dik dan terkadang suara-suara keriangan kita di pantai itu bermain-main di cuping telinga. Manisnya kenangan...tak mungkin berulang.

Sampaikan salam maaf Kak Eja pada 'abang' kalau kehadiran tempoh hari membuatkan 'cintanya' sedikit terguris. Kak Eja sedar..masih waras untuk menilai siapa diri untuk berdiri di sisi 'abang'. Takkan pernah ada impian apa-apa kerana Kak Eja tak pernah lupa wajah sendiri tiap kali memandang ke cermin. Untuk melangkah kita kena ukur juga kemampuan diri..setiap kekurangan yang ada dan sebelum bermula...ah! Ianya takkan pernah bermula.

Dik...maafkan Kak Eja.

Semalam...aku nekad untuk mengembalikan semua kiriman-kiriman sms nya yg dihantarkan satu ketika dulu.

Sunday, October 12, 2008

Sepi

dari jendela kamar..wajah bulan mengintai tidurku...rindu namun
semalam berlalu takkan mungkin berulang kembali kerana aku
mula mengerti pengertian 'kawan' antara kita
takkan pernah sama....
senyumlah...
kerana..
'kawan' mu
ini mengerti biar sejuta makna yang kau berikan
ia tetap takkan sama seperti
kali pertama kau lafaskan.
~eja~

Bisikkan padaku bulan..
kembalikan temanku..kekasihku..syurgaku..
tanpa dia malam menemaniku
sepi memelukku..

Bulan...
jangan biarkan siang
biar alam ini kelam
biar ia sepi...
seperti aku.

(petikan filem SEPI epilog Imaan)

p/s: Biarkan aku ajar tentang seorang kawan kepadamu. Ia seumpama laut dan pantai. Biar betapa indah dunia di dalamnya ia masih setia mengunjungi pantai. Sekali-kali ia takkan pernah menjauhi~eja

Friday, October 10, 2008

Meeting...

Mengantuk..penat dan segala macam perkara muncul dalam kepala. Lelah sebab baru selesai menghadiri mesyuarat Transformasi Kurikulum PSV KBSR di KL Pearl Internasional Hotel selama hampir 4 hari. Selama itulah aku rasa macam duduk di Kutub Utara. Sejukkkk....
Angan konon kali ni boleh jumpa Ujang (adik iepah), Noreez, KD dan Sufian ( adik Ceng) tapi semua tu tak menjadi bila orang yang aku harap boleh jadi driver Noreez senyappp je..semenjak dua menjak ada 'cinta baru' ni 'orang tu' macam ditelan dek bumi je. Senyap dan lenyap..namun aku doakan 'orang tu' bahagia.
Ujang pulak..sms mcm nak jumpa tapi sudah-sudah dia senyap...yang Sufian pulak petang tu ujan selebat-lebatnya. Risau pulak aku kalau apa-apa jadi pada anak orang tu. Apa aku nak jawab nanti. namun kerana katanya nak sangat jumpa akak dia ni..aku standby juga dengan jeans dan t shirt. kesudahannya aku tertidur. Seksa rupanya tidur dengan jeans ni..jadi sempit mimpi dibuatnya.
Pasal meeting tu..Kementerian pendidikan nak buat transformasi terhadap kurikulum yang lama.
Jadinya meeting tu dihadiri oleh para Prof Madya..doktor..pensyarah dan paling kokak..aku lerrr..cekgu sekolah rendah! Terasa kecik je diri ni bila kita bercakap. Diorang sumer senyap..errr aku salah cakap ke??? heheeheh
Kerja-kerja pembinaan standard pendidikan dan pembelajaran tu tak selesai dan akan bersambung 21 hingga 25 ni di Kuala Terengganu.
Apa pun aku bangga walaupun berulang kali aku menyoal diri..layak ke aku nak bersuara? Siapa aku? sekurang-kurangnya aku telah memainkan peranan dalam membuat transformasi demi anak bangsaku.

Monday, October 6, 2008

Aku dan Lebaran (2)



Carilah di mana hatiku?

Pagi..setelah sekian lama ia kembali lagi. Aku memuntahkan segala yang kumakan dan hati kembali cemas melihatkan darah yang bercampur bersama apa yang kuluahkan dari perutku. Semakin banyak yang keluar semakin banyak juga ia bercampur.

Terasa sebu dada dan keperitan yang menjalari perutku. Sebanyak mana yang tinggal ruang yang ada buatku agaknya? Pendarahan yang tak pernah ku tahu di mana puncanya. Terbayang wajah-wajah yang menghiasi hidupku. Sempatkah kulihat dewasanya? Sempatkah aku menuai kasih sayang dia?

Tuhan...berikan aku kesempatan lagi untuk mengatur segala-galanya buat insan-insan kecil kesayanganku itu. berikan aku kekuatan agar segala urusan-urusan buat mereka selesai kukerjakan. Sebelum kehidupan ini ternoktah di tempatnya.

Berdosa untuk kusebut namun di mana ketabahan yang dapat ku cari lagi. Dalam sendu aku meratap juga. Bezanya aku tidak pasti di mana lagi airmata itu. betulkan Reez, sekuat mana kita..setabah mana kita..sesabar mana kita..untuk insan seperti kita yang tak akan pernah nampak di mana baiknya..sesekali menangis juga.

"Mewah sangat ke agaknya awak dengan anak-anak?"
Aku terkesima mendengar suaranya yang meninggi. Dengan enam ke tujuh ratus cukup mewahkah untuk aku dan anak-anak di sini? Bergetar bibir ingin menjawab tapi entah mengapa jawapan itu tenggelam jauh di lubuk hati. mengapa aku tidak punya kekuatan untuk menyatakan apa yang mewahnya aku dan anak-anak di sini dengan duit sebanyak itu? Tidak terfikirkah di fikirannya bagaimana aku berhempas pulas untuk mencukupkan segala-galanya? dengan duit sebanyak itu untuk di bayarkan ke bil-bil...dia terlupa pada tong beras yang hampir kosong..dengan bekas air minum yang sentiasa kontang dan juga pada isi peti sejuk yang tiada apa-apa? tangisan ini tumpah jua di kolam hatiku.

Dia terlupa pada tidurku yang terkadang hilang lenanya bila anak-anak demam dan selsema. Dia terlupa pada aku yang terkadang sakit baik sendiri...mengapa aku terus ditemukan dengan lelaki yang terlupa pada kesakitan yang kutanggung sepanjang menjadi isterinya? Pernahkah sedetik dia berhenti dari terusan mencari silapku?

Sebenarnya Reez..lelaki sekejam dia tidak pernah melihat derita kita saat melahirkan zuriat-zuriatnya selagi dia sendiri tidak pernah melewati saat-saat itu.

Ya Allah..mengapa dia tidak pernah berhenti menyakiti hatiku?

Dia terus kelihatan teramat sempurna di mata keluargaku kerana aku sendiri yang menyempurnakannya. Aku sendiri yang mencukupi setiap lompang-lompang kosong dan ternyata terima kasih bukan milik lidah lelaki itu. Bodohkah aku kerana menjadi isteri sebaik itu?

Walau aku cuba tidak ambil peduli dengan apa jua yang dilakukannya namun hati perempuan ku tetap terasa. Sebaik dia balik dari keluar bersama ibunya semalam dia menjadi begitu berubah. Apa jua yang kusentuh tidak akan diambilnya. makanan yang kuhidang tidak akan di makan. Dia enggan memandang ke wajahku. Terfikir siapa yang menyakiti aku selama ini? Hinakah sangatkah sepasang tangan yang bertahun-tahun meraup sedihnya dulu? Sepasang tangan ini juga yang merawat tika sakitnya..Kata hati..'biarlah...jangan kau uji lagi hatimu..'

Hari ini..aku masih terusan mengutuk diri..mengapa masih ingin memandang semalam yang aku lalui kiranya aku tetap tahu dari dirinya aku hanya akan mendapat duka. Tuhan..masih banyak lagikah liku buatku?

Sunday, October 5, 2008

Aku dan Lebaran (1)

Letih belum hilang, bila diri mula diasak soalan yang sama oleh adik beradik yang balik hati mula membara.
'Buat apa ke Sabah ari tu?'
Errr...dari mulut siapa sampai Kak Idah di Kuantan pun tahu tentang pemergian ku ke Pitas tempoh hari?
"Ada keje sikit.."
"Kata gi berubat!"
Aku diam. kalau diikutkan hati yang panas memang ada yang rentung di dapur petang raya tu. Sedar tak sedar tangan melecur kerana yang ku pegang masa itu adalah telinga kuali yang sedang panas! Mengapa?

Raya...melihat telatah anak-anak kecil di laman mak memang menyeronokkan tapi ada sesuatu yang hilang dalam diri aku. Bukan baru tapi lama dulu. Barangkali keriangannya.

Pelita baru Acu Idir (adik yang bongsu) meliuk lentuk dibuai angin dan aku cuma duduk bersidai dengan dia di atas balcony umah mak. Entah kenapa kali ni terasa macam hilang cerita antara aku dan adik. Sesekali aku jadi kem komandan bila ada yang mula membaling bunga api ke atap rumah.

Pagi raya 1 Syawal...
Riuh rendah kat dapur bila mak mula membangunkan anak-anak dan cucunya untuk mandi sunat ari raya. kat depan TV masing-masing masih bergelimpangan. yang masih bergulung dalam selimut dan yang kecik-kecik berceratuk menunggu giliran masing-masing depan pintu bilik air. Aku?

Muka 'dia' sejak semalam sentiasa mencuka. Terasa sakit je dalam hati ni. Apa lagi yang tak kena?
"Kenapa?"
"Ni seluar ni besar sangat!" suaranya keras dan sedikit meninggi. Seluar baju melayu yang telah siap kugosok dilemparnya ke katil.
"Masa beli tak cuba dulu ke?"
"Mana sempat!"
Aku diam. Dia masih merungut. Salah aku jugak ke? Tau-tau dia mencapai kunci kereta dan bergegas keluar.
"nak kemana?"
"Terachi..amik kain pelikat yang beli semalam,"
"Solat sunat kat sana ke?"
Aku terkedu bila soalan ku tidak berjawab. Senyum tidak apa tidak dia terus berlalu. Itulah yang saban tahun ku telan sebenarnya dengan apa jua keadaan. Baginya apa jua kepincangan yang muncul semuanya kerana AKU.
Muak disogok dengan segala kesalahan..apakah masih dikatakan mementingkan diri juga kalau aku bertindak keluar dari situasi GUILTY itu?
Akhirnya lebaran ku masih tetap sama seperti tahun-tahun sudah.