Saturday, September 27, 2008

Sebuah Kenangan Yang Tercalar...jawapan sebuah pencarian.















Reez...
Hanya ini kenanganku yang tertinggal. Milik seorang kekasih yang tak mungkin berganti kerana hadirnya hanya seketika namun setelah bertahun-tahun aku cuba redha akan perginya...aku tetap tak berdaya. Ingin kusingkir segala miliknya aku takut.

Reez..
Baju kecilnya hanya mampu kudakap dan cium kala kerinduan ini menghampiri. Sekalipun wanginya telah hilang aku masih jua akan terus memeluk seumpama aku memeluk tubuh kecilnya senja itu. Harapanku masih tetap sama sekalipun telah 6 tahun berlalu. Aku masih mengharap satu ketika dia akan hadir dalam mimpi-mimpiku. Belum kulupa dingin tubuhnya, belum kulupa sepasang matanya yang terpejam. Betapa tinggi saat itu aku mengharap dia akan membuka matanya dan menangis. Betapa aku teramat mengimpikan kekasihku itu akan menggerakkan jemari kecilnya yang ternyata terus dingin dan kaku.

Setin susu Snow....antara barang terakhir yang kubeli malam sebelum dia diambil pergi. Harganya tika itu masih RM13.20. Berapa agaknya harga susu yang sama ketika ini? Expired datenya pada 18 Disember 2005. Bermakna sudah 3 tahun berlalu dan aku masih tidak tergamak untuk membuangnya.

Sehelai batik....kain yang digunakan untuk membalut tubuh dinginnya. Ya Allah...aku tidak setabah mana. Barangkali hanya mati yang mampu mengubati rinduku ini.

'dia menanti bondanya di syurga..tabahlah Ja kerana sesungguhnya Tuhan teramat menyayangimu' kiriman sms dari Rasyid sebaik dia tahu musibah yang melandaku.

Hari ini...(aku cuba tersenyum) aku diuji lagi. Satu persatu...dan aku masih cuba mengulangi ucapan yang sama..'...sesungguhnya Tuhan teramat menyayangimu' .

Reez...terima kasih kerana kau satu-satunya insan yang tak pernah (dan kuharap takkan pernah) menyatakan aku sama seperti mereka yang lain.

p/s: Aku ingin melangkah namun bukan mudah untuk melupakan segalanya kerana hatiku telah lama bersemadi bersama tubuhnya di sebuah pusara kecil..jauh dari kehidupan yang pernah aku impikan buatnya. Di langit bintang kecil itu masih berkerdipan dan aku masih tertanya di sudut mana kekasihku.

Sekelumit kenangan

Malam menjadi terlalu panjang kala ingatan ini kembali menyusur jauh ke daerah kelahiranmu. Mata seakan enggan terpejam. Tiada walau sekeping gambar yang dapat mengingatkan aku padamu tapi segalanya terakam kukuh di ingatan ini.

Merinduimu umpama racun, mencintaimu umpama mati namun dari kehilanganmu aku lebih rela menahan sakitnya. Entah apa definisi aku padamu dan entah apa juga makna kau bagiku. Aku tidak mengharapkan suatu yang lebih jauh namun aku juga menjadi takut untuk kehilanganmu. Aku tidak mengharap kau hadir dalam mimpi-mimpiku tapi aku juga menjadi takut andai sekelumit kenangan itu hilangan dari ingatan ini.

Hidup terasa kosong tanpa gurau sendamu dan kala ini juga aku menyedari takkan mungkin tercipta apa-apa antara kita. Hidup menjadi sepi tanpa dirimu di sisi tapi aku juga tak kan mungkin mampu mengisi apa-apa dalam setiap episod kesepian itu.

Tiada suatu yang dapat membuatkan rinduku pudar padamu namun bukankah ini juga kehendakmu. Aku sendiri takut untuk merinduimu kerana kerinduan itu benar-benar menyakitkan. Aku takut terbuai dengan satu perasaan seasing itu. Bimbang dada ini akan sesak dihimpit rasa yang kau dan aku sendiri fahami.

Letto - Ruang Rindu

Di daun yang ikut mengalir lembut
Terbawa sungai ke hujung mata
Dan aku mulai takut terbawa cinta
Menghirup rindu yang sesakkan dada

Jalanku hampa dan kusentuh dia
Terasa hangat oh didalam hati
Kupegang erat dan kuhalangi waktu
Tak urung jua kulihatnya pergi

Tak pernah kuragu dan slalu kuingat
Kerlingan matamu dan sentuhan hangat
Ku saat itu takut mencari makna
Tumbuhkan rasa yg sesakkan dada

reff
Kau datang dan pergi oh begitu saja
Semua kuterima apa adanya
Mata terpejam dan hati menggumam
Di ruang rindu kita bertemu


p/s: kenangan menjadi sangat berharga kala ia semakin jauh ditinggalkan

Mengiringi Lembaran ini

Dalam keriuhan suara kanak-kanak bermain di taman hadapan rumahku ini, aku masih di sini mengadap 'lappy' yang menjadi suaraku buat mereka diluar sana. Seandainya terbaca.....
Kepala kembali berdenyut...dada terasa menghangat dan sesekali terasa seolah ada sesuatu yang cuba menerjah masuk ke tubuh melalui kulit dan kesensaraan itu menyengat. Aku harus kuat! Hanya doa mampu kupohon buatNya semoga apa yang telah kulalui selama hampir dua tahun ini tidak akan berulang kembali. Cukuplah..kerana aku tidak pernah punya dosa terhadapnya...
Lebaran ini maknanya terasa hambar..terasa sakit dan andai aku mampu pergi sejauh mungkin nescaya aku akan berbuat demikian. Menatap wajah-wajah kesayangan keinginan itu terpaksa kusorot jauh. Kata Iepah..'Dia punya perancangan yang terbaik buatku'
Aku jua mengharapkan sedemikian. Semoga dikesudahan ini nanti ada bahagia yang menanti biarpun aku hanya sempat menghela nafas terakhir.
Dia tidak pernah ingin menanyakan keadaan insan-insan yang menjadi tanggungjawabnya di sini. Aku berhempas pulas untuk melengkapkan segala-galanya tapi dia? Dalam menyusun bilah kesabaran airmata ini menitis jua. hendak kusesali segalanya telah berlansung bertahun-tahun lamanya dan mahu atau tidak aku terpaksa jua melangkah bersama pahit yang dihidangnya buatku. Bersama tuba yang dibekalkan buatku. Tuhan...berikan aku kekuatan. Ketar jemari kala tulisan ini kutulis. Teringat pesan mak sebelas tahun dulu..'yang terbakar kamu, yang menjadi arang kamu dan yang menjadi debu juga kamu..' Mak...Ja mengerti sekalipun tangan mana yang bermain api diri ini tetap jua yang terbakar.
Aku tidak sekuat mana namun kugagahi juga kerana setiap yang bermula harus berakhir. Ada seribu masa depan yang sedang menanti kuiringi langkahnya. Aku cuma mohon kesabaran..ketabahan..kecekalan juga doa dari orang-orang yang mahu mengerti.
Lebaran yang mendatang, kuharapkan serinya sekalipun aku sendiri tidak pasti apa yang menanti aku di hari itu.
~eja..kala aku mula mengerti jalan ini tak mungkin seindah yang sering kumimpikan.

Thursday, September 25, 2008

Bila Hati kembali Berbicara

Dalam bersendirian aku kembali mengingaimu teman. Aku cuma mengikis bayangmu dari hati ini namun mengapa begitu sukar? Semakin aku cuba imbauan indah itu menghuni fikiran dan semalam yang pernah kita lalui bagai menari-nari di depan mata ini. ia seperti menggamit aku untuk kembali ke ruangan semalam kita. Aku menjadi takut, bimbang andai kerinduan itu mengheret aku kembali ke suatu sudut bernama daerahmu itu.

maaf teman kerana hingga ke saat ini aku masih tidak mampu mengikis rasa rinduku. Terasa sakit tapi sesaat mengingatimu membuatkan diriku kembali bernafas. Sesempit mana jua ruang yang pernah kau sediakan buatku yang kau sebut 'teman' ini memanjatkan sejuta kesyukuran buatku. Sekurang-kurangnya aku pernah ada di sudut kehidupan mu itu.

"Tidak pernah kuucapkan cinta kerana bagiku kita takkan mungkin bersama. Takkan pernah kuucapkan rindu kerana bagiku kita takkan mungkin bersatu.."

Bergenang airmata namun tetap kugagahi segalanya. Berpaling dan memadamkan memori semalam. Biarlah...kerana sejak dari mula bukankah kita sudah menjangkakan kesudahannya?

Thursday, September 18, 2008

Antara Takdir Ini (1)

Aku teringin sangat untuk bercerita tapi ada ke yang nak dengar? Ada ke yang nak berkongsi segalanya dengan aku nanti atau makin ramai yang menjauh?
Hari demi hari..terasa aku semakin sakit menanggung segalanya sendiri. 2 tahun berlalu dan penawarnya masih tidak kutemui.
'Allah merencanakan yang terbaik buatmu'
Aku cuba bersabar tapi bukan semudah itu untuk redha. tatkala kesakitan itu memamah diri aku merasa seperti ingin saja menamatkan segalanya. Menyedari nyawa ini milikNya dan hanya Dia yang berhak ke atas zahir dan batinku. Aku hanya beristighfar sepanjang kesakitan itu memamah diri. Cepatlah berakhir...
Rasa sedih mengenang apa yang aku lalui ini. Apa salahku sehingga ada insan yang begitu tega menyakitiku? Sepanjang yang aku ingat aku tidak pernah menganiayai sesiapa..mengapa harus aku?
Namun aku bersyukur juga kerana kesakitan ini aku mengenali insan-insan berhati mulia yang tak pernah meninggalkan aku walau sesaat. Aku ditemuikan dengan mereka yang tak pernah sedetik berhenti mendoakanku. Terima kasih Eddy..Iepah...Ten..mami...vin..phan. Terima kasih kerana terus menghulurkan tangan kalian setiap kali aku lemah dan terjatuh.
Semoga aku terus kuat kerana setiap yang bermula akan tetap berakhir...moga ada bahagia buatku dipenghujung jalan itu nanti

Sunday, September 14, 2008

Aku Merinduinya (4)-erti seorang teman

Sayup kedengaran suara azan dari kejauhan. Aku masih terngadah menatap fajar langit Tuhan. Berusaha keras sehingga kini cuba memahami sejauh mana kau juga cuba mencari pengertian tentang hidup ini teman.

'kadang-kadang saya sms! Kadang-kadang tak! kadang-kadang saya muncul! Kadang-kadang hilang! Tapi saya tetap simpan awak di hati saya..bukan kadang-kadang tapi selamanya..'

Berulang kali aku menatap pesanan yang kau titip buatku. selamanya...tapi mengapa saat ini aku merasakan kau semakin jauh. Kau semakin hilang. Semalam seolah tidak memberi sebarang makna buatmu. Di mana silap aku?

Kau berlalu tanpa pernah menyatakan di mana pincangnya persahabatan ini. Kau pergi tanpa pernah ingin menyatakan padaku di mana silap dan kurangnya aku sebagai temanmu. Kau menjauh tanpa pernah memberi aku peluang membetulkan segala kesilapan...dan sebagai teman aku hanya mampu menitipkan maaf dan tidak pernah jemu menanti pulangmu.

Bukankah seorang teman tidak pernah menilai antara satu sama lain? Mengapa kau mula memberi harga sedangkan aku sentiasa meletakkan kau di sudut hati yang paling istimewa? Aku tidak pernah mencari silapmu kerana aku mengerti kita berdiri di atas segala semalam yang pastinya dironai seribu warna.

Teman...katakan padaku juga ajarkan aku bagaimana harus melupakanmu..bagaimana harus aku mencarik lukisan semalam kita supaya esok tatkala aku kembali meneruskan destinasi hidup ini aku takkan mungkin menanti khabarmu lagi...

eja/15 September 2008/5.57 a.m -tatkala aku masih jua mengharap sebaris senyummu.

Friday, September 5, 2008

Aku Merinduinya (3)

Kala melihat fajar di kaki langit tiba-tiba aku tersebut namanya. Hati dipagut sayu. Mengapa di saat aku cuba mengatur kehidupan ini jauh dari ingatanku terhadapmu hati masih enggan melepaskan kenangan-kenangan kita? Mengapa kala aku cuba berdiri sendiri masih bayanganmu juga yang menghampiriku? Mengapa kala kucuba menyisihmu jauh, hati ini seakan enggan melenyapkan wajahmu?

Semakin aku cuba mengikis ingatan itu semakin kuat bayangan yang datang. masih terngiang dendanganmu namun sesakit itu jua perasaanku. Kau menjauh dan aku masih tak berupaya berpaling dari melihat kau pergi. Mengapa kau harus hadir seandainya kau tahu satu saat nanti kau akan pergi meninggalkanku?

Di bawah kaki langit sama..aku berdoa semoga tiba di satu saat nanti..walaupun sedetik akan ada rindumu buatku....

Wednesday, September 3, 2008

Aku Merinduinya (2)



Airmata menitis lagi. Betapa sering cuba kutahan namun entah mengapa ingatan ini terlalu kuat padanya. Walau ke mana jua kubawa diri ini melangkah di mataku hanya senyumnya..di telingaku hanya gelak dan rengeknya..dan di hatiku hanya ada dia.

Mahukah Tuhan mengerti betapa dalam rindu ini. Terkadang aku berasa sesal hanya kerana sebuah pertemuan aku akan bisa sesakit ini. Namun, tak mudah untuk aku nafikan pertemuan nan seketika itu adalah antara yang terindah pernah terjadi dalam hidupku. Aku hanya mahukan dia untuk menghiasi hari-hari dan mimpi-mimpiku.

Mahukah Tuhan memberikan aku sekelumit kesempatan lagi untuk aku menatapi wajahnya? Mungkinkah akan ada sesaat waktu agar aku bisa bersamanya lagi?

Mahukah Tuhan memberikan aku peluang untuk meraihnya kembali dalam pelukanku? Masihkah punya waktu buatku menatap wajah dan senyumnya? masihkah punya detik untuk aku menggenggam erat jemarinya?

Waktu terasa mati dan perjalanan ini menjadi terlalu perlahan..terlalu jauh..tika rindu ini mula bermukim. Dadaku kian terasa sesak. Segala tanda-tanda itu telah ada padaku dan memikirkan segala kemungkinan aku menjadi takut kiranya rindu ini menjadi kian mekar dan sebelum sempat dapat ku tuai ranumnya mungkinkah pohonku akan layu?

"Nine...Cik Ja rindukan Nine. terlalu dan saat ini Cik Ja terlalu berharap untuk dapat menatapi wajah Nine lagi...."

Tuesday, September 2, 2008

Aku Merinduinya







Terasa lelah, keletihan mengisi cangkir-cangkir hidup. Aku merindu dirinya. Terlalu namun takut untuk meluahkan kerana bimbang diri disalah tafsir lagi. menjadi satu kepahitan yang amat menyakitkan bila suara hati tidak seiring.

Di angin lalu jua kukhabarkan aku teramat merinduinya. Teramat ingin menyentuhnya lagi. Teramat ingin mendakap tubuhnya erat. Terlalu merindui wanginya dan merindui hangat genggaman tangannya.

Tuhan...hadirkan dia disetiap mimpi-mimpiku

Monday, September 1, 2008

30 Ogos yang penuh kesakitan



30 Ogos 2008
Ketika menghadiri perkembangan staff di sekolah aku menerima panggilan dari Ten di Sabah. Jam ketika itu menunjukkan hampir ke 11.30 pagi.
"Ja..dengar tak?"
"Dengar ten..Ja kat sekolah ni ada kursus," Aku fikirkan dia sekadar ingin membalas sms ku pagi tadi tentang majlis yang akan diadakan di rumah mami.
"Ja..pakcik dah takde!"
Aku terpinga-pinga. Pakcik? Takde? Kemana?
"Ja, pakcik dah takde!"
"Err..pakcik ke mana?" Soalku.
"Pakcik dah meninggal Ja!"
Aku hanya merasa seperti diriku kian mengecil dan segala yang ada dikelilingku bagai ingin menelan dan menghimpit tubuhku. "macam mana...?"
"Pakcik pergi perarakan merdeka. Dia rebah."
"Bila?"
"Dalam pukul 10 tadi. Ni Ten nak bagitau Ja yang pakcik dah takde,"
Airmata menitis. Malam tadi dia masih sempat berpesan pada Ten tentang sakit yang sedang kurasakan. Dan...hari ini genap seminggu Sabah kutinggalkan setelah kukunjungi untuk berubat dengannya. Yang ada diruangan mata cuma seraut wajahnya, seorang yang berusaha membantuku...kini lelaki itu tiada lagi tanpa sempat untuk kubalas jasanya.

Kesakitan yang hampir 2 tahun kutanggung mengurang dan aku merasa begitu hampa. Seolah-olah hilang tempat untuk mengadu. Jika sebelum ini aku masih boleh menyatakan segala kesakitan yang kualami pada Ten dan Ten akan menyampaikannya pada pakcik tak mengira masa dan ketika tapi selepas ini...segalanya seperti akan bermula semula. Tiada tempat untuk kuadukan sakit dan resah yang kutanggung kerana hasad dengki yang dilemparkan padaku.

Mengapa? Mengapa sebegini berat dugaan yang harus kutanggung? Orang yang harus kutemui di Muar juga begitu.
"maafkan kak Aya, Ja..pakcik tu dah takde" dan kali ini perkara yang sama berlaku. Apa sebenarnya yang sedang dan akan terjadi padaku? Mengapa begitu sukar aku mengusir kejahatan yang dihantar padaku? Apa salahku pada manusia itu sehingga sebegini tega dia menyakitiku?

Aku meminta Eddy mendapatkan tiket buatku.
"Rasanya untuk minggu ni takde Ja, lagipun kalau ada mesti mahal,"
Apa lagi yang harus aku buat? Terasa nyawa telah sampai ke sana. Aku ingin sekali menatap wajah lelaki yang telah berbudi padaku beberapa bulan ini. Buat kali terakhir.
"Ja tak payah datang Ja..mesti tak sempat sebab jenazah pakcik akan dikebumikan petang ni juga,"
"Habis Ja nak buat macam mana Ten?"
"Tak payah datang. Nanti Ten telefon Ja, Ja cakap dengan makcik ya?"
Hanya linangan airmata yang menjadi teman sepanjang petang itu.

"Ja janganlah menangis. Tak boleh buat apa. Dah sampai ajal dia Ja," ujar Krull sewaktu aku menelifonnya.
"Pakcik tu yang ubatkan Ja Krull. Takkan macam ni kesudahannya."
"Ja sabar je. Nak buat macam mana. Kena kuat, ada ramai lagi yang boleh ubatkan Ja"

Hampir jam 3 aku menerima khabar pula yang makcikku telah kembali ke rahmatullah. Ya Allah..kiranya arwah abah, pakcik pamusu dan makcikku berkongsi tarikh yang sama. Mengapa harus digandakan kesedihanku saat ini? Entah apa yang ada di dalam hati kala itu. Wajah yang bagai manakah harus kuperlihatkan pada setiap orang? Ujian apa lagikah yang sedang menantiku?

Fikiran ini benar-benar kusut. Terasa aku sendirian lagi. Payung buat kuberteduh kini telah diambil pergi dan kedinginan hujan juga terik mentari menikam diri. Satu persatu kenangan itu bertamu.

Entah bila segalanya akan berakhir. Mungkinkah manusia itu hanya menginginkan nyawaku? Hidup yang kurasakan mula bernafas kini terasa sesak dan menghimpit. Aku seolah kembali ke jalan mati bila mana tika itu tiada tangan yang ingin menggapai dan membawaku jauh dari ruangan sekejam itu. Sinar mentari yang kurasakan kembali bersinar seolah kembali malap. Putus segala harapan untuk aku kembali menjalani kehidupan seperti dulu. 2 tahun yang memaksa aku hidup dalam kesakitan yang membakar.

Pakcik pergi bersama gambaran tentang diri yang menyakitiku. Selama-lamanya ia akan terus bersemadi bersamanya.

Ten..walaupun awak marah jika saya terus bertanya siapa 'lelaki' itu namun percayalah saya punya sebab untuk mengetahui siapa dia. Sekurang-kurangnya saya juga berusaha untuk membuang racun dari tersimpan di rumah sendiri.

Demi Allah...segala yang terjadi punya hikmahnya. Seandai rentetan yang berlaku ada kena mengena dengan usaha pakcik membantu ku..aku mohon walau terpaksa menggadai nyawaku sekalipun..siapa pun jua 'dia' semoga Allah menghukumnya dengan selayak-layak hukuman sekalipun 'dia' adalah diri yang pernah hadir dalam hidupku.