Friday, August 29, 2008

Setelah kutinggalkan kenangan (2)




Pemandangan itu sangat indah. Kalaulah aku sebahagian dari keluarga itu nescaya akan kurakam saat-saat terindah itu. Menyedari aku hanya orang luar yang datang bertandang kenangan itu cuma kurakam dalam memori ingatan.

Terpaku dan aku begitu terpanggil untuk menghampiri dia. Si kecil yang berada dalam pelukannya menggamit keinginan ku untuk mencium wangi tubuh kecil itu. Anak manis itu tersenyum dan setelah genap seminggu daerah itu kutinggalkan entah bagaimana dapat aku nyatakan rindu untuk mendakapnya lagi. Rindu untuk mencium dan menatap senyum dari wajah tulusnya. Rindu untuk mendengar tawanya kegelian. Rindu untuk mendengar tangisnya.

Masih terbayang dia mendepangkan sepasang tangan kecilnya minta didukung. Setiap pagi kehadirannya di bilik melengkapi hari-hariku. Betapa hari ini aku amat berharap tika bangun dari tidur aku akan terbangun di daerah itu. Menatap wajahnya. mendengar suaranya dan rengeknya. rasanya aku sanggup membayar berapa saja harga untuk kembali menikmati saat-saat semanis itu.

Rindu ini amat menyakitkan. saban saat dan ketika aku membawa kenangan dan wajahnya menyusuri kehidupan penuh sepi ini. Entah bila akan bertemu lagi. Mungkinkah satu saat tika pertemuan itu terjadi anak kecil itu masih akan mengingati aku..insan luar yang memeluknya erat penuh rindu yang akrab?

Thursday, August 28, 2008

Setelah kutinggalkan kenangan (1)




Aku hanya mampu berdiri menatap langit malam yang gelap..tanpa bintang..tanpa bulan. Tamparan angin yang dingin terasa menikam hingga ke tulang hitam. Kelelahan menjadikan tubuhku lesu namun segala yang menghuni fikiran membuatkan aku tak mampu melelapkan sepasang mata ini.

Kesakitan yang terasa mula membakar di dalam diri benar-benar menjadikan aku terseksa. Tika ini mana teman..mana sahabat..mana juga keluarga? Aku merasakan diri tersingkir jauh. Berulang kali aku membayangkan seraut wajah itu. Senyumnya juga lirikan matanya. Sesekali gurau sendanya tapi entah mengapa tiba-tiba segala keriangan itu hilang. Dia bagai diragut tiba-tiba dariku. Satu ketika dulu dia pernah berkata kehadiranku memberi semula hidupnya lagu. Aku menghapuskan kekosongan yang wujud sekalipun kami sangat berjauhan.

Katanya aku bagai terlalu dekat. Kunjunganku dinanti namun akhirnya belum selangkah aku meninggalkan pertemuan itu dia menjauh. Bukankah seorang teman tidak pernah menghakimi temannya?

Aku terluka teman namun segalanya kusimpan jauh di lubuk hati ini. Tanpa kuduga kau menjauh dan membuangku dari hatimu. masih ku ingat kau katakan padaku..."aku tak suka diganggu," bagai ditikam sembilu namun kudayakan juga untuk tersenyum. Lagu yang kau dendangkan tika itu bagai mengabarkan perasaan hatimu. Bergenang sebak namun aku tak mahu menangis lagi.

Terasa betapa sepi hidup ini tanpa kau yang ku sebut sebagai teman. Tiap saat aku mencari di mana silap dan alpa ku sehingga kau begitu tegar membuangku. kalaupun ada insan lain di hatimu, apakah aku harus kau buang sebegini jauh?

Terkadang kau datang dan pergi. Aku menjadi takut. Takut membuat tafsiran lagi. Takut salah membuat percaturan. Bimbang satu saat kau menyingkir ku semula.

Hakikatnya aku teramat merindui daerahmu namun masih terbayang kerlingan matamu saat bait lagu itu kau tuturkan..'aku tak mampu menerimamu..

Teman..sampaikan salam rinduku buat mereka yang jauh. Tataplah jingga langit di daerahmu itu buatku. Khabarkan pada alam tentang ketenangan yang terhidang kala kaki ku ini menjamah basah pasirnya. Juga teman, sambutlah salamku sekalipun aku takkan mungkin berdaya berdiri lagi di sisimu.

Tuesday, August 26, 2008

Bukan Sebuah Pilihan




Aku hanya mampu melihatnya dari sebalik dinding kaca ini. Tubuhnya yang diselirati wayar-wayar halus dan ada antaranya terbenam terus di kulitnya. Bibirnya pucat dan di sudut penjuru matanya sesekali basah. Sepertinya dia begitu pasrah. Melihat jururawat yang bertugas menusukkan jarum lain ke dalam drip di tangannya aku merasa sedikit sakit. Bagai kesakitan itu turut meresap ke tubuhku.
Betapa sukar untuk mengalihkan pandangan ini dari wajah kakunya. Aku menjadi takut kiranya wajah itu nanti tidak lagi dapat kutatap. Bukan kudoakan sesuatu akan terjadi dan mengakhiri penderitaan itu tapi aku sememangnya berharap dia tidak lagi akan sesakit ini. Aku merindui dia yang tersenyum keriangan juga pada kerlingan matanya tiap kali pandangan kami bersatu. Dia hanya akan mencuri-curi pandang bila aku mengalihkan parasku darinya. Manisnya senyuman itu dan aku merindui setiap gerak langkahnya yang seakan amat berhati-hati. Dia cukup takut untuk melampiaskan rasanya. Dia menyimpan dan menyusun setiap kasih yang terpendam. Dia teman, sahabat yang akan menjadi tempat kusandarkan segala resah di hati. Aku amat senang berkongsi semalamku yang melukakan bersamanya. Dia akan mendengar dengan sabar sambil matanya merenung tepat ke wajahku. Sekalian, dia akan tersenyum dan menyatakan langit yang mendung akan berlalu. Lalu dia juga akan menghadiahi aku dengan kehadirannya yang tak mungkin akan berganti. Teman...bangunlah. Terasa hati ini amat kosong dan sakit melihat kau kaku di sebalik cermin kaca ini. Aku teramat ingin untuk duduk di sisimu, menggenggam erat tanganmu dan membisikkan betapa aku amat merinduimu.
"Kau sayang aku tak Z?"
"Aku tak tau macam mana nak jawab soalan kau J,"

Kau tersenyum dan melemparkan pandangamu jauh. Aku tidak mampu mencari hingga ke garisan mana akal fikiranmu. Pandangan sayumu senja itu..dan kau lebih banyak berdiam malamnya. Saat kita berdua di beranda rumah mamaku sesekali kau menatap wajahku. Ada yang ingin kau bicarakan tapi kala aku begitu sabar menanti kau bangun dan berlalu. Aku hanya melihat tubuhmu yang akhirnya tenggelam dalam pekat malam. Berpuluh sms mu tidak kubalas. Maafkan aku J kerana aku benar-benar tidak tahu apa jawapannya. Maaf kerana aku tidak mampu menerimamu lebih dari seorang kawan. Kau di mataku hanya seorang teman, seorang kawan bicara kala aku dihimpit kesepian. mana mungkin aku dapat menerima lebih dari itu. Aku takut untuk memberimu harapan kerana aku sendiri tidak pasti apakah esok yang menantiku. Aku tidak punya apa-apa J. Aku hanya menyedari kau tiada bila mereka menyatakan kau telah meninggalkan daerah kelahiranku itu.Tika itu J, kurasakan dada ini teramat sempit. Terasa bagai ada gunung yang menghimpit tubuhku. Aku terhenyak di ranjang. Mengapa kau pergi tanpa mengabarkan apa-apa padaku? Mengapa setega itu J? Sekalipun aku menolak hatimu bukankah aku masih berhak untuk menghantar dan melambai saat kau melangkah pergi? mengapa kau harus pergi tanpa memberi peluang untuk aku menyatakan tentang betapa istimewanya dirimu padaku? Walaupun kau tak mampu kuanggap sebagai kekasih namun kau sudah menjadi sebahagian dari hidupku. Kau melenyapkan kesepian yang tercipta selepas dia pergi.
'Z..aku pergi dulu' hanya itu yang kau tinggalkan dan hati ini terasa dilapah-lapah. Seterusnya aku menanti khabarmu. Kau terus menyepi. Sepertinya kau lenyap ditelan bumi. Tiada khabar yang kau titipkan buatku. J..bangunlah!
Dia terus menatap wajah kaku dan lesu dari sebalik dinding kaca yang memisahkan diri mereka. Terasa ingin disentuh. Terasa ingin menyentuh dan terasa ingin berdiri hampir.
"J.." serunya.
Begitu payah untuk gadis itu membuka matanya. Seketika bibir itu mengukir senyum lesu.
"Z.." gadis itu mencapai tangannya. lalu genggaman mereka bertaut. "Aku rindukan kau," Dadanya terasa sebak. "Aku sentiasa ingatkan kau J..kemana kau pergi?"
"Kau tak rindukan aku?"
Dia terdiam.

"Pergilah Z..."

"J..kau nak aku ke mana lagi?"

Diam.
"Ke mana kau pergi J selama ini?"
"Penting ke buat kau?"

"Sangat!"

"Tak kemana...masih ada di sisi kau,"
"Tapi kau hilang tanpa berita buat aku. Kau macam buang aku dari hidup kau."
Gadis itu menghela nafas lelahnya. "Aku tak pernah membuang sesiapa dari hidup ini Z. Walau di mana aku berada, aku masih merisik khabar kau."
"Tapi kenapa kau tak pernah menghubungi aku?"

"kerana aku tak mampu mengikis rasa aku terhadap kau..kerana aku cukup takut ditolak lagi"
Dia terkesima. Termanggu.
"masih tiada juga ruang buat aku di hatimu kan Z?"
"Maafkan aku J.."

Sunday, August 24, 2008

Hari-hari terindahku di Pitas, Sabah



17 Ogos 2008


Aku bertolak dari LCCT. Pedih dan kecewa bila sms yang ku hantar tidak berbalas. Deringan yang kuharapkan tidak kunjung tiba. Ditemani Along Nadia, Kak Ngah dan Haris aku ke LCCT. Kak lang sendiri tak bangun masa aku menjengah dia di bilik tadi. Terdetik juga di hati ini sebenarnya. Waktu susah, aku sanggup ketepikan segala kepentingan diri untuk dirinya tapi saat aku kesempitan, kesusahan tak pernah lekat di hatinya buatku.
Tiba di lapangan terbang Kota Kinabalu lebih kurang jam 12.30 tengah hari. Iepah telah menanti bersama Mel, Dadi dan Mamal. Sempat juga mereka membawa aku ke KK Center Point. Hampir jam 4 kami bergerak ke Pitas. Perjalanan dijangka mengambil masa 3 jam.
Dari sisi jalan aku aku masih boleh melihat puncak Kinabalu. Puncaknya menjulang tinggi ke awan. Kagum melihat kegagahannya. Mungkinkah satu ketika nanti aku akan tiba dikemuncaknya yang menjulang tinggi.
Ketibaan aku di sana disambut oleh kedua ibu bapa iepah. Wajah senyum Ten yang sempat kubohongi sebelum tiba tadi sedikit menawarkan kelelahan perjalanan yang jauh ini.
Kutinggalkan semenanjung dengan harapan, aku mampu memadamkan segala keperitan ku di sana. Semoga ada lapangan hijau yang menantiku pulang nanti. Biarlah semalam yang pernah menghitami hari-hariku berlalu. Aku teramat ingin bermimpikan sebuah kehidupan tenang. Teramat ingin memulakan semula segala-galanya sekalipun aku menyedari bukan sedikit yang akan menangis bersamaku kelak. Tuhan, berikan aku ketabahan dan kesabaran dalam mengharungi hidupku ini. PadaMu kuserahkan hidup dan matiku. padaMu ku pohon sebis kekuatan.
Tak banyak yang ditanya Ten.
“Apa khabar kamu?” Soalnya dengan senyuman terukir di bibirnya.
“Sihat!”
Selebihnya kami hanya berdiam. Berbagai perkara muncul di fikiran ini sebenarnya. Terkenangkan panggilan telefon mak yang seharusnya terkejut bila tiba-tiba saja aku menyatakan aku telah berada di Sabah. Terasa aneh bila tiba-tiba sahaja mak menelifonku. Bukan semua perkara di dunia ini akan berlaku tiba-tiba.
“Kau buat apa kat sana?” Soal Along kasar.
“Berubat..”
“Apa kau dah buat sampai orang sanggup buat kau macam tu?”
“Mana Ja tau,”
“Kalau kau tu tak jahat, gatal..takde sapa yang akan buat macam-macam..tau tak?”
Aku terdiam. Mengapa? Saat aku menanggung segala-galanya sendiri tak pernah ada yang ingin bertanyakan khabarku. Barangkali inilah cara untuk aku menyedarkan ahli keluargaku, untuk memberitahu mereka akan kewujudan seorang aku di sini.Mengapa harus ini yang aku lalui? Bukankah kehidupan ku bukan punya sesiapa? Hanya mengharapkan mereka sebagai ahli keluarga yang dapat memberikan aku sedikit perhatian dan sokongan untuk hidup. Selama ini mereka tidak pernah ingin bertanya khabar, tidak pernah ingin tahu.
Demi Tuhan, aku sedikit cemburu dengan keluarga ini. Mereka tidak pernah henti bergurau antara satu sama lain. Senyum dari bibir bap dan mami sentiasa mengiringi tutur kata mereka.
Kehadiran Nine memudarkan rindu dan pedih yang pernah kurasa.
18 Ogos 2008
Aku terbangun tepat jam 4.15 pagi. Sayup-sayup seketika kemudiannya kedengaran suara azan Subuh bersama kokokan ayam. Melayan mata yang enggan terpejam sedar-sedar jam telah melewati ke angka 6. Di luar kelihatan pantai yang membiru. Bulan yang semakin beredar. Kabus di gigi air. Terasa ketenangan meresap jauh ke tangkai hati.
Keletah Nine yang mencuit hati. Haruman tubuh kecilnya bagai membingkas kembali rinduku. Terasa sayu namun aku mengerti anak kecil ini bukan ‘dia’. Kekasihku itu telah diambil pergi lama dulu. Muhammad Nur Muhaimin ku bersama PenciptaNya dan aku akan terus berdoa semoga aku akan ditemukan dengan kekasihku itu kelak.
Terasa juga di hati bila Ten bagai mengelak dariku. Mana silapku? Sebaik bangun dari tidur (Ten tidur lewat) dia terus mandi dan keluar.
‘Rasa tak selesa ye sebab saya ada. Takpelah..kejap lagi Pah bawa Ja jalan-jalan, Ten balik rehat kat rumah ye..’
‘Eh, takdelah..Jgn la fikir mcm tu Ja.. Panas kat rumah tu..Eja bawa Pah pi warung..Ten tunggu sini.’
Hampir jam 2 Ten pulang. Kami sedang makan tengah hari waktu dia masuk dan terus menyertai kami di meja makan.
“Kenapa Ten? Pedas sangat ke?” Usikku bila melihat peluh menitis dari dahinya.
“Ni tak cukup pedas ni..” balasnya sambil menyapu dahinya.
Aku tersenyum. Iepah tertawa kecil.
Sebaik makan dia mencapai gitarnya dan menyanyi.
“Nyanyi Ja..”
“Mana Ja tau..”
“Cepat-cepat kita cf (conference)” sampuk Iepah sambil disambut dengan tawa oleh Ten.
Terhibur dengan telatah mereka. Iepah yang tak pernah berhenti ketawa, Jira yang periang dan ramah, Ten yang….apa ye?
Petang…Turun ke laut. Tengok Balat (gamat) yang diternak di pesisir pantai. Terus menyusuri pesisir pantai ke belintang (dataran pasir yang memanjang apabila air laut surut) untuk melihat tapak sulaiman yang banyak terdapat di sini. Tak sedar sewaktu sempat mengenakan Jira matahari sudah mulai turun.
Berakhir sudah hari pertamaku di sini. Melihat jingga mentari di senja itu aku mohon ya Allah..kurniakan aku esok buatku menyaksikan lagi keagungan Mu ini.
19 Ogos 2008
Terlewat bangun. Sewaktu terjaga hari telah cerah. Sempat melayan Nine yang cerah wajahnya bangun pagi ini. Keletahnya mengingatkan aku pada kekasihku itu. Ya Allah saratnya rindu ini buatnya.
Tengah hari turun ke dapur, tolong Iepah masak. Goreng ikan bilis dengan cili api. Iepah masak ayam kicap..Jira masak sayur.
Petang..macam semalam ke laut.
‘Ten..jom turun laut’
‘Malaslah tengok laut tu. Hehehe’
‘ ni lain.Ja dengan laut..jom laaa’
‘Ten kat warung ni tengah on9’
‘dalam masa 5 minit kalau tak sampai jugak jangan terkejut ada tukun dari gitar..hehehe’
‘nak gi main takraw ni’
‘Ja rendam ekkkkk gitar ten jadi sarang gamat..hehehe’
Hampir ke senja kami berendam di air. Bergurau bersama Iepah dan Jira. Manisnya kehidupan. Kami tanam Jira dan meletakkan tapak sulaiman di dahinya. Jira bagai ingin menangis. Terjerit-jerit ingin melepaskan diri. Aku yang tidak punya adik-adik perempuan berasa seolah-olah merekalah sebahagian dari hidupku. Tawa mereka menggamit satu keinginan dan terasa ruang kosong yang ada di hati dihiasi gurau senda mereka.
Iepah tersenyum..seperti ada sesuatu yang muncul di kepalanya. Tiba-tiba Iepah memegang Jira dan ..hahahahaha..dia berusaha menanggalkan track suit yang dipakai Jira.
Dataran pasir (Blintang) kami tinggalkan saat matahari mula berlabuh.
20 Ogos 2008
Pagi terasa sedikit ganjil bila Iepah bangun dari tidur. Kemesraan sedikit berkurangan. Ada sesuatu dari renungan matanya pagi ini. Barangkali dia menghidu sesuatu tentangku dari rakan chatnya malam tadi. Biarlah..barangkali sudah tiba masanya Iepah tahu siapa perempuan di hadapannya kini. Biarlah…
Sedikit perit untuk aku menghadapinya tetapi apa jua yang sedang kujalani ini punya sebabku sendiri. Menyatakannya hanya akan menjadi alasan. Cukuplah hanya menjadi cerita di hatiku. Perjalanan ini terlalu perit dan menyakitkan dan aku amat berharap segalanya berakhir hanya di sini. Namun menyedari segalanya tak akan semudah itu kerana akar kesilapannya telah berlansung bertahun-tahun dulu. Melangkah meninggalnya akan mengheret lebih banyak diri yang akan menangis bersama kunanti. Ya Allah..cukuplah hanya sekadar di sini.
Ten membawa aku, Iepah dan Jira ke pasar Tamu (pasar minggu) Suasananya sama seperti di kampung juga.
“Hanya kamu berdua yang berpegang tangan!” tegur Ten bila dia perasan Jira memegang tanganku. Nak juga dijawab tapi tau sajalah dia. Ten takkan biarkan orang menang!
Cadangnya tengah hari ini aku akan masak siput masak lemak dan kangkung goreng belacan nanti.
“Pandai kamu buat, Ten tak tau tu..” tegurnya bila melihat aku mengupas kelapa.
“Aii..tak caya ke? Ten tu apa yang tahu..nyanyilahhh” usikku.
Dia mengepit gitarnya. Sepanjang di meja makan dia bergurau bersama adik-adiknya dan suasana itu sedikit mengusik hatiku. Kalaulah hati ini boleh dibajai dengan keriangan seumpama ini. Mampukah aku terus kekal di sini, mendambakan sedikit ruang bahagia mereka buat ku? Layakkah aku untuk menghirup udara bahagia Iepah, Ten dan keluarganya?
“Ten..tolong,” pintaku sambil menghulurkan 2 biji kelapa yang telah kukupas di hadapannya yang leka dengan gitarnya.
Kami tertawa melihat ten membelah kelapa.
“Tolong mesin pulak!”
“Tangan Ten dah kena mesin hari tu,”
“Alaaa…tolonglah,”
“kau yang mau masak!”
Mami ketawa mendengar jawapannya. Turut disambut dengan tawa Iepah dan Jira. Mukanya masih selamba sambil mengepit gitarnya. Aku hanya mampu tersenyum melihat gelagatnya. Sesekali dia mengusik Jira.
“Kau tumbuk cili atas ni, kotor bajumu bawah tu,”
“Susahlah tumbuk atas tu nanti satu kampung dengar,”
“Tumbuk saja atas ni,”
“Penatlah tumbuk cili sambil berdiri…”
“sapa suruh kau berdiri..duduklah!”
Aku hanya memerhatikan muka selambanya.
“Ke hulu ke hilir bawa dia ni.” Rungut ten sambil mengendung laptopnya.
“Laaa..sapa suruh bawa?” Ejekku.
Berlawan-lawan pula Iepah dan Ten menguap. “Selamat malam aja lah yaa..”
Petang..Jira merengek mengajak ke pantai tapi Ten melarang kerana musim balong (ampai-ampai).
“Kak Ja sms la abang Ten..”
“Nak buat apa?”
“ Cakap kita mau mandi laut..last!”
“Jira la gi bagitau..”
“Nanti dia marah. Kan tadi dia bilang jangan mandi. Kalau Kak Ja bagitau dia tak marah.”
“kan aku sudah bilang jangan mandi laut kalau kena kau jangan menangis..” Aku mengejek cara Ten bercakap. Jira ketawa sambil masih enggan mengalah minta aku sms Ten,
‘Ten, nak gi turun laut kejap ekkk?’
Tak lama kemudian Ten keluar dari biliknya dengan dahi yang sedikir berkerut. Macam takde peluang je. Melayan rasa tak puas hati aku duduk di beranda rumah. Tak lama kemudian dia datang bersama mug dan jari yang sudah mula berasap. Rokok terkepit di jarinya sambil peluh menitis di dahi.
“Panas sungguh hari ini,” rungut Ten.
“Mandilah..”
“Apa?”
“Mandi laut. Hehehehe..”
“Pengeras!”
Iepah ketawa. Dari mereka aku tahu pernah ada yang meninggal kerana sengatan ‘balong’. Dalam kepala terfikir..dah tu apa nak buat petang ni kalau tak ke laut? Akhirnya petang tu handphone jadi topic perbualan kami sebelum…hehehe…kami turun juga ke laut akhirnya bersama 2 sahabat karib Iepah. Meriahnyaaaa bila masing-masing mula membaling pasir. Azan sayup-sayup kedengaran sewaktu kami mula beredar dengan baju yang kuyup. Jingga langit..belumpun selangkah aku meninggalkan tempat ini aku mula dicanting rindu.
Malam mami mengajak aku ke majlis tahlil salah seorang penduduk kampung yang baru meninggal semalam. Kemeriahan majlis yang tak jauh beza dari suasana di kampungku terasa begitu dekat. Hilang sejenak kesedihan kerana baju yang terbakar sewaktu menggosok tadi. Mami meminjamkan aku baju Ujang (anak dara mami yang kini belajar di Semenanjung) Mujur juga sama saiz. Cuma pinggang kain tu besar sikit.
Mereka di majlis menegurku. Setelah bersalaman aku menghampiri mami yang tersenyum bertanyakan mengapa aku lewat tiba bersama Jira.
“Dah macam Ujang aku lihat!” ujar salah seorang yang duduk di sisi mami. Mami tersenyum manis. Cantik mami ni…
21 Ogos 2008
Terasa sedikit letih tapi mata terasa sukar nak pejam. Menatap wajah laut yang terbentang di depan mata. Aku pasti akan merindui segalanya di sini…pasti.
Mami bawa Nine ke bilik. Tubuh kecilnya ku peluk. Sesekali dia ketawa kegelian bila aku mencium belakang tengkuknya. Haruman Nine menjadikan hati ini sakit. Esok segalanya akan berakhir. Payah untuk meninggalkan sesuatu yang mula memberi makna dalam hidup kita. Namun aku harus akur Nine bukan Muhaiminku. Sekalipun aku berusaha memadamkan semalam yang jauh meninggalkan namun aku tak berdaya. Ingatan di kamar 14 terus mekar. Saat kepedihan menatap wajah tanpa nyawa dan menguburkan segala impian yang kuukir selama berbulan-bulan lamanya. Di mana keinginanku untuk hidup lagi? Di mana semangat yang kusemai? Segalanya diambil pergi saat tubuhnya dibawa pergi untuk disemadikan. Cahaya hidupku terasa padam. Berakhir segala-gala kemanisannya. Sayang…moga Tuhan temukan kita di sana.
Petang, sewaktu berehat di beranda rumah, Ten datang mengepit gitarnya.
“Mana Iepah?” Soalnya sebaik menyedari Iepah tiada di sisiku seperti biasa.
“Keluar,”
“Sama siapa?”
“Kawan.”
Dia mula menyanyi. Aku mengesan sesuatu dalam nyanyiannya dan aku memahami. Biarlah…
Sesekali mami datang menjengah berselang-seli dengan bap yang kelihatannya kepanasan. Bayang Nine lansung tidak kelihatan petang ini. Ke mana ye?
“Ja nanti aku mau beli kereta macam ini tau.” Katanya sambil menunjukkan gambar BMW di dalam handphone.
“Bila?”
“Tahun depan,”
Aku ketawa. “Sudah 4 hari Ja kat sini, sekalipun tak pernah tengok Ten siram anak sawit belakang rumah tu..lagi mau beli BMW tahun depan..hahahaha!”
Dia tersengeh.
“Baru baja tu..tak boleh manja sangat..”
“Elehhh.tuan dia saja yang tak cukup baja!”
Jira datang menyertai kami. Ten mula berbicara tentang semalamnya. Dia menunjukkan beberapa cenderahati yang diterima dari bekas-bekas temannya.
“Senang kan jadi lelaki zaman sekarang ni?”
“Mengapa pula?” Dia kehairanan.
“Tak payah beli apa-apa. Perempuan yang bagi..”
Dia ketawa mengekek sambil menayangkan rantai leher berbuahkan jed di lehernya.
“Aku malas pakai ini nanti orang ingat aku along!” ujarnya. Dia bercerita tentang peristiwa mengangkat dulang di satu majlis dulu. Mami ketawa.
“Aku sudah malas mau ada girlfriend..”
“tak payah laaa..kaya dulu. Esok jumpa tak payah tunang-tunang lagi terus nikah!”
“ya lah..aku mau beli kereta dulu..rumah 3 tingkat..agak-agak umur sudah 30 baru aku kahwin. Sekarang baru 26 ada 4 tahun lagi.”
Aku senyum. “Rumah mau 3 tingkat…sawitnya tak pernah siram ya?”
Iepah balik seketika kemudian terus menyertai kami. Mami kembali menjengah dan duduk bersama.
“Ada udang di dapur sama kupang. Ja biasa makan kupang? Mau masak apa ya Ja?”
“Udang masak sambal ok ke mami?” Tanyaku.
“Eja lah masak!” sampuk Iepah.
“Pergilah kau masak, sedap-sedap ya?” celah Ten.
“Ja masak sambal ye udang tu mami. Kelapa pun Ja dah kupas petang semalam,”
“Lagi mau letak kelapa? Sambal apa letak kelapa? Tak suka laa.” Rungut Ten
“Pati kelapa sikit tu..” celah mami
Tak lama kemudian Mel sampai dan kami turun ke laut. Hanya berjalan-jalan di pesisir laut.
Balik terus mandi untuk solat maghrib. Tak sangka pula mami bersungguh tinggalkan udang untuk aku masak. Kelihatan atas meja sebesin kelapa parut.
“Ten ka yang mesin ni mami?”
“Kalau Ten yang mesin mau banjir Pitas!”
Ten yang ada cuma tersengeh.
Malam terakhir…seribu kenangan. Ten menemankan aku ke rumah pakcik yang mengubatiku. Terima kasih Ten….itu saja ucapan yang aku ada buat kamu. Harap segala kesakitan ini akan berakhir.
22 Ogos 2008
Pagi seawal jam 5 aku telah mandi dan bersiap (gelap sebab power trip. Mandi guna handphone) Melihat mami dan Jira menitiskan airmata aku menahan sebak. Empangan airmata ku pecah jua. Nine masih belum bangun..Ten juga begitu.
Selamat tinggal semua. Ada rezeki kita akan bertemu lagi.
“jangan serik datang sini ye Ja,” pesan mami.
Pandangan mula berkabut.
Segalanya kutinggalkan dengan berat hati. Terasa di sanalah..di rumah itu antara hari-hari terindah yang pernah kulalui.
Terima kasih Iepah..Ten..kerana sudi membawa aku sejenak ke dalam dunia bahagia kalian. Terima kasih kerana sudi berkongsi keindahan itu.
12.30 tengahari…pesawat AK5105 mula meninggalkan lapangan. Airmata menitis. Dataran indah yang kutinggalkan mula berbalam. Sebahagian nyawaku bagai tertinggal di sana. Belum sehari kutinggalkan rindu mula bercambah. Terasa sakit dan wajah kecil Nine yang tersenyum riang menghiasi ruang mata.
Selamat tinggal semuanya….
manjalara/23 Ogos/0120am

Friday, August 8, 2008

Hentikan Tangis Ini (2)

Renyai kian melebat, sederas airmata yang cuba kutahan dari terus membasahi pipiku. Semakin kukenang terasa kian dalam sembilu yang menusuk ke hati. Semakin cuba kupadam dari ingatan wajahmu kian jelas di antara kabut mataku. Mengapa?

Mengapa Tuhan masih temukan aku dengan seorang lelaki sekejam dia? Mengapa masih ada bayang-bayang dia juga dalam diri yang kusayangi itu? Hidup ini benar-benar melelahkan. Tembok tabahku terasa runtuh dihakis ombak duka ini. mengapa jalan yang kulalui masih sama likunya sedangkan aku berusaha mengalih arahnya?

Cinta yang diucapkannya padaku..rindu yang dititipkan di setiap detik hariku terasa berkecai saat aku mula tahu...setiap detik rindunya itu di mata dan hatinya masih ada insan lain. Mengapa harus dibohongi hati dan perasaan ku? Bukankah kau pernah menyatakan dulu takkan ada rahsia antara kita sekalipun satu ketika nanti hati-hati kita mula berpaling? Bukankah kau pernah berjanji dulu kau takkan melukakan lagi diriku?

Masih kuingat..kali pertama kau ucapkan sayangmu. Saat kau bisikkan hanya aku yang kau cinta dan rindu. hari ini apakah mungkin kau juga mengucapkan bicara yang sama buat dia? Terkadang sebelum kita memejam mata kau titipkan bicara terindah..mungkinkah di saat aku mula dibuai mimpi kau juga menyulam bingkisan yang sama buat dia?

Betapa aku rasa terluka lelaki...dia tahu tentangku tapi mengapa di saat yang sama kalian terus membohongiku. berpura-pura di hadapanku seolah-olah tidak akan pernah ada sesuatu antara kalian? Apa dosa dan salahku pada dirimu? Bukankah kau juga yang memulakan segalanya?

Sepasang mata ini kucuba pejamkan. Masih juga terasa basah di pipi. Semakin kuseka semakin lebat turunnya. Pergilah derita..pergilah duka..

Tuhan...temukan aku dengan lelaki yang di hatinya hanya ada aku. satukan aku dengan lelaki yang sudi menjadi langit dan bumiku yang dirinya sudi menjadi awan buat meneduhi perjalanan ini. lelaki yang sudi menjadi pelangiku...yang sudi menjadi mentari dan bulanku.

Tuhan..seandainya lelaki seumpama itu bukan untukku...bawalah aku pergi dari kehidupan sebening ini.

Aku tak percaya lagi
Dengan apa yang kau beri
Aku terdampar disini
Tersudut menunggu mati

Aku tak percaya lagi
Akan guna matahari
Yang dulu mampu terangi
Sudut gelap hati ini

Aku berhenti berharap
Dan menunggu datang gelap
Sampe nanti suatu saat
Tak ada cinta kudapat

Kenapa ada derita
Bila bahagia tercipta
Kenapa ada sang hitam
Bila putih menyenangkan

Thursday, August 7, 2008

Hentikan Tangis Ini



Terasing, sendirian dan kesepian bagai hidangan yang harus kutelan. Menahan segala kesakitan yang memamah diri tanpa ada diri yang mahu mengerti. Hanya ada senyum sinis dan aku kembali melontar keluh resah. ianya bagai talun yang akan kembali pulang kepada ku.

Biarkan lah aku pergi andai kesensaraan jua yang bakal kau sediakan buatku. Izinkan aku melangkah mencari daerah bahagia itu. Segalanya ingin kutinggalkan dengan harapan ada dataran hijau buatku...

Mencatur langkah terkadang aku tersadung sendiri..rebah dan sebegini payah untuk bangun dan kembali berlari. mengatur sebuah tarian penuh kesakitan..sakitnya bagai lahar yang tertumpah di segenap sendi. bagai ada api yang sedang membakar dan kesakitan itu jua yang kupendam..kutelan dan bahangnya kusimpan.

Mengapa bicara rindu itu menjadi nanah yang mula membusung? Kiranya ada 'dia' di sana mengapa masih ingin kau biar aku berdiri di mimbar hatimu? Mengapa masih ingin kau rantai hati dan nyawaku hanya untuk melihat betapa bahagia kau dan dia? Lepaskan ikatan itu, walau bagai layang-layang yang terumbang ambing di sapa angin dan akhirnya terdampar sendirian, bukankah aku masih punya hati..masih punya perasaan sekalipun akhirnya aku akan lapuk dan tak berdaya?

Aku hanya inginkan kehidupanku...aku hanya inginkan semalamku. haruskah hanya kerana aku seorang yang punya hati dan selautan simpati aku harus korbankan segalanya demi orang lain yang tak pernah jemu mencakar duka diriku?

Kau bercerita tentang dia...tentang kecantikkannya..tentang kebaikkannya...tentang keluhurannya...dan aku terkesima. Apakah hanya kerana 'dia' aku mula sirna di hatimu dan hadirku mula tersingkir dari matamu? Tidakkah kau melihat luka yang sedang kau bongkar sembuhnya? Tidakkah kau mengerti betapa aku mula kesakitan melihat cahaya kekagumanmu terhadap 'dia'?

Pergilah..kerana aku mula belajar sesungguhnya hatiku bukan barang yang dapat kau pungut dan kau kutip untuk kau buang kembali. Jangan jadikan aku tempat buat kau melepaskan lelahmu kala 'dia' terleka seketika.

kau ajar aku berlari tetapi mengapa tidak kau ajar bagaimana aku harus bangun dari jatuh dan semula berlari? Kau ajar aku tersenyum tetapi mengapa tidak kau ajar aku bagaimana untuk kembali senyum setelah menangis?

Mengapa kau larakan aku dengan cintamu andai kau sendiri tidak punya penawarnya?

manjalara/7 Ogos 2008/11.37 p.m.

Wednesday, August 6, 2008

Dia dan Lagu



Dia menggigit bibirnya sendiri. Terasa amat sakit bertandang di dalam hati kecilnya. Perlahan terasa matanya basah. Pilu datang bertandang.

Mengapa sesakit ini? Mengapa hanya setelah dia tiada aku merasakan segalanya amat memeritkan?

Tanpa dilengkapi walau dengan sebuah pertemuan 'dia' menjadi amat dekat di hatinya. Gurauannya..ketawanya..sekalipun berada di kejauhan 'dia' mengisi segala kekosongan yang bermukim di hatinya. 'dia' menjadi suatu yang amat bermakna dan menjadikan dirinya tidak pernah sendiri lantaran 'dia' terlalu hampir di sisi.

Perkenalan dari sebuah dunia ciber menemukan aku dan dirinya. Dia yang sentiasa ingin ku kenali hati dan budinya. Entah di mana punca sampai satu ketika aku mula menjauh. Aku teramat ingin menyingkirinya setelah hadirnya kusambut datang.

Saban malam ku atur sebuah pertemuan walaupun terlalu jauh...Dia menjadi penawar pada bisa-bisa luka ditinggalkan.
"J suka lagu ni?" soal ku
"Suka...suka sangat. Kalau En nyanyi lagi sedap!" pujinya.
dan aku terus mendendangkan.
"J tak muak ke tiap malam En nyanyi lagu ni?"
"Tak..En ulang seratus kali pun J suka. Nyanyilah lagi."
Kami disulami ketawa dan aku terbuai dengan keriangannya.

ku teringat hati yg bertabur mimpi,
ke mana kau pergi cinta
perjalanan sunyi yang kau tempuh sendiri
kuatkanlah hati cinta...

Dia cuba memadamkan luka dihatinya. Cuba dipadamkan dari ingatan namun diri itu mengganggu ilusinya. Semakin diusir semakin menerjah ingatannya.

mengapa sebegini sakit J?

Ingatkah kau kepada embun pagi bersahaja
yang menemanimu sebelum cahaya
ingatkah kau kepada angin yang berhembus mesra
yang kan membelaimu cinta
kekuatan hati yang berpegang janji
genggamlah tanganku cinta
ku tak akan pergi meninggalkanmu sendiri
temani hatimu cinta

"En..nyanyilah untuk J,"
"Aku sibuk lah J..lain kali ye."

Dia terus merayu hampir di setiap hari. Menyatakan betapa sunyi malam-malamnya tanpa lagu yang sering kudendangkan sehinggalah lewat pagi. Aku benar-benar ingin dia pergi dari diriku sekali aku sendiri tidak pasti apa sebabnya.

"J nak jalan jauh ni En, nyanyilah sekali je lagu tu untuk J."
"Aku sibuk J."
"Yelah..jalan dulu."

Dia kembali memejamkan matanya. Bergenang sebak yang berhimpun di sudut hati.

Mengapa sebegini keras hatiku? Apa salah dia padaku? Kalaulah hanya silamnya yang membuatkan aku teramat ingin menjauhinya, bukankah aku juga pernah punya semalam yang tidak pernah dia ungkit-ungkitkan? Dia tidak pernah peduli siapa aku. Dia tidak pernah kisah dan tidak pernah bertanya.

Telefon bimbitnya di aktifkan semula. Hampir 10 kiriman sms yang sama diterima.

'nyanyilah untuk aku En..sekali aje dan selepas tu aku takkan minta apa-apa lagi. Sekali aje..'

Dia tersenyum. Nombor itu di dail namun tiada berjawab. Lama panggilannya tidak bersambut. Dia mencapai gitar yang terdampar di sisi ranjangnya. Dia mula mengalunkan sambil terus berharap panggilannya akan berjawab.

"Abangggggg!"
Dendangannya termati. Dia bangun dan menjengah adiknya yang sedang mengadap kaca tv.
"Apa?"
"J.."
Pandangannya mati di situ. Wajah yang terpampang di kaca tv adalah wajah sama milik diri yang sedang dinantinya. Seakan dirinya sedang disedut masuk dalam kekecohan operasi menyelamat mangsa kemalangan yang sedang ditayangkan. Dia kenal salah seorang antara mangsa-mangsa yang telah kaku dan wajah mereka dipaparkan satu persatu.

'En..nyanyilah untuk aku. Sekali aje dan aku takkan minta apa-apa lagi'

Dia mengheret dirinya kembali menghuni kamarnya yang dirasakan terlalu besar untuk dirinya yang dirasakan teramat kerdil. Dia terus mengalunkan berkali-kali tanpa henti sambil menatap seraut wajah yang tersenyum pada skrin telefon bimbitnya.

ku teringat hati
yang bertabur mimpi
kemana kau pergi cinta
perjalanan sunyi
engkau tempuh sendiri
kuatkanlah hati cinta

ingatkan engkau kepada
embun pagi bersahaja
yang menemanimu sebelum cahaya
ingatkan engkau kepada
angin yang berhembus mesra
yang kan membelaimu cinta

kekuatan hati yang berpegang janji
genggamlah tanganku cinta
ku tak akan pergi meninggalkanmu sendiri
temani hatimu cinta

ingatkan engkau kepada
embun pagi bersahaja
yang menemanimu sebelum cahaya
ingatkan engkau kepada
angin yang berhembus mesra
yang kan membelaimu cinta


Suara Rinduku



Malam yang kelam..mengisi percaturan hidup meladeni resah dalam hangat Ogos yang baru bertandang. Aku terkesima tatkala pandangan singgah ke wajah bulan. Sesekali cahayanya dilindungi awan. Cahayanya menipis dan aku teramat berharap kala aku menatap ke langit tika ini kau juga sedang menatap wajah bulan kita yang sama. Kala aku berbisik melahirkan rasa rinduku saat itu angin sedang menampar mesra wajahmu. merangkul erat tubuhmu dalam salam rinduku.

Hari-hari menjadi teramat perlahan saat rinduku mula menyapa. Tersayat pedih sekeping hati ini mengenangkan betapa cinta ini penuh duga. Mengapa bila sepasang hati mula bersatu, cinta takkan mudah dipersilakan ruangnya? Aku menyintainya namun mengapa dia hadir kala segalanya telah jauh kutinggalkan? Mengapa pertemuan itu tidak dilakar bertahun-tahun dulu?

Rindu ini bagai sembilu dan sebagai aku...pasrah..kerana padaNya juga kuserahkan segalanya.

Ingin kulaungkan betapa aku merinduinya mungkinkah dia mendengar suara rinduku? Mungkinkah dia merasai getar cintaku?

Sayang...
kala aku kegelapan kau menjadi bintangku...kala aku kesepian kaulah teman. Saat aku keseorangan kau sahabat kala aku mula kehilangan arah kau penunjuk jalan..kala segalanya bagai berakhir buatku kaulah yang membuka tanganmu, merangkul tubuhku dari jatuh. Kala aku terbuang kau berikan aku harapan. kala segala pintu itu tertutup buatku, kau buka ruang hangat di hatimu buat kumenumpang teduh. Kala dadaku sesak kau menjadi nafasku...kala nadiku mahu terhenti kau menjadi nyawaku

Sayang..
Kau ajarku tentang bahagia..kau kembalikan senyumku..kau hadiahkan aku kekuatan...dan aku terlalu takut andai sampai satu ketika aku mula kehilanganmu. Aku menjadi teramat ngilu mengenang esok..mungkin ada seseorang yang mula bertamu di hatimu.

Sayang...
Aku tidak betah lagi berjalan di sini..tanpamu.

manjalara/6 Ogos 2008/10.26