Sunday, July 27, 2008

Segalanya Terlewat

Hanya kedinginan meratah tubuh kala itu. Aku sendiri tidak mengerti mengapa harus aku ada di sini? Terakhir rasanya saat itu aku sedang menuruni anak tangga sebelum segalanya menjadi kelam dan gelita..mungkinkah?

Tika ini kesakitan menyengat tubuh. Aku hanya merasakan betapa sakit tubuhku diradak segala tiub melalui hidung juga mulutku. Mereka berusaha untuk mengembalikan denyut jantungku. Cukuplah! Jangan diseksa lagi diriku, biarkan denyut jantungku berhenti. Biarkan kutamatkan segalanya di sini....

Aku berdiri di suatu sudut menyaksikan betapa anehnya hidup ini. Hanya kedinginan menikam hingga ke urat nadi. Hanya ada kesakitan dan di sudut ini aku menyaksikan kamu..
Mengapa menangis? mengapa harus sekarang kau titiskan airmata mu ini sedangkan aku sudah bertahun meratapi cintamu yang entah di mana perlabuhannya. Cukuplah..jangan ditangisi lagi kerana sesungguhnya aku teramat ingin melihat kau menangis untuk cinta dan pengorbananku semalam..saat aku masih boleh menyeka titis jernih itu. Simpanlah airmatamu kerana sesungguhnya ia tidak membawa erti lagi.

Seketika kau usap wajahku. Mengapa sekarang di saat aku sedang bergelut dengan maut? Mengapa bukan semalam saat aku amat memerlukan belaianmu? Mengapa bukan semalam saat aku amat teringin untuk membalasnya?

Renungan matamu sayu menatap tiap pergerakan nyawaku. pejamlah matamu kerana sesungguhnya renungan itu tidak lagi bermakna apa-apa. Sesungguhnya kekasih semalam aku amat ingin melihat sepasang mata yang penuh rasa cintanya. Ke mana menghilang dan bertahun-tahun aku mencari pandangan seumpama ini. Mengapa harus kini tatkala aku tak mampu menatap jauh ke anak matamu?

Kau genggam jemariku...katamu aku harus kuat! Alangkah baik kekasih andai kau ucapkan tika aku mengetahui tentang sesuatu yang sedang memamah hayatku dulu. Mengapa bukan saat itu kau ucapkan betapa aku harus tabah dan berjuang untuk hidup. Kau biarkan aku lara dalam kesakitan ini. kau biarkan aku menangisi sisa-sisa hidupku yang tinggal. Mengapa kekasih? Mengapa bukan semalam? Mengapa harus di saat aku hanya membilang detik untuk menemuiNya?

Kau terlena sejenak di sisiku. Mengapa harus kini di saat aku tak lagi berdaya untuk membelai rambut dan menatap lenamu? Mengapa bertahun kau biarkan aku terlena dalam tangisku sendiri? Esok...aku tak mungkin terbangun lagi. Kau telah membiarkan aku terlena sendirian lama dulu sebelum saatnya. mengapa sebegini tega kekasih?

Usaikanlah ratapanmu..hentikan tangismu kerana segalanya teramat lewat untuk aku. Sesungguhnya kekasih aku amat ingin mendengar kalimah cinta yang baru kau ucapkan di telingaku tadi. Bertahun aku menanti dan di saat sebuah salam mula terlempar untuk menjemputku pulang baru ku dengar kalimah keramat itu. Hentikanlah kekasih..sesungguhnya aku mula dijemput pergi. Kedinginan ini memadamkan dinginku sepanjang hayat tatkala menjadi milikmu. Kesakitan ini menawarkan bisa kesakitan yang kau hidang sepanjang kita bersama.

Selamat tinggal kekasih...selamanya aku tak pernah berhenti ingin mendengar kalimah itu dari bibirmu..

p/s: Mengapa harus menanti dia tiada untuk kita ucapkan betapa kita menyintainya..betapa kita menyayangi dan memerlukannya. Bukankah kita harus berasa takut kerana tidak berpeluang untuk menuturkannya sebelum segalanya menjadi terlalu lewat...?
pena: manjalara/pulang yang damai (2)/07

Segalanya Terlewat (2)

Tatkala tubuhku dibawa kian menjauh dari ruang yang pernah kau kira sebagai syurgamu dulu, aku dapat melihat jelas ke wajah anak-anak yang kaurampas kasih mereka dariku. Berbanggalah kekasih kerana setiap patah perkataan yang pernah kau ucapkan dulu benar-benar menjadi kenyataan. Katamu...'aku lebih rela melihat kau mati dari melihat kau bahagia bersama insan lain' Inilah insan-insan lain itu kekasih..anak-anakmu. Kau rentap cintaku dari hati mereka. Untuk itu apa erti sebakmu? Adakah kerana kau tak berjaya membuat aku merana untuk bertahun-tahun lagi?

Sebelum mereka memandikan tubuhku tadi...berkali-kali kau menyingkap kain yang menutupi wajahku. Bisikmu betapa kau akan terus-terusan merinduiku..kau akan menderita kerana kehilanganku. Mengapa baru kini kekasih? Mengapa kau ucapkan di saat aku telah tak mampu membalas lagi setiap ucapanmu? Mengapa baru kini? Mengapa tidak kau izinkan aku mendengar bisik rindumu di kala aku masih mampu mendengarnya?

"Pergilah ma, kami akan kehilanganmu. Pa akan merindui insan terbaik yang pernah Dia anugerahkan buat Pa.." Aduhai...aku terlebih dahulu kehilanganmu kekasih. Aku terlebih dulu merinduimu. Menghitung saat-saat kau pergi dan tak pernah ingin kembali. mengapa...mengapa tidak kau ucapkan dulu akulah yang terbaik buatmu? Mengapa tidak kau izinkan aku mendengarnya tika hayatku masih ada?

Kau cium dahi ku...apa gunanya lagi? Alangkah indahnya kucupan itu andai ia singgah sebaik usai solat kita kekasih. Tapi kau biarkan aku terkeliru..bertahun mencipta angan untuk mengaminkan doamu...minta mengimamkan solatku...mengapa sebegini lewat?
Kau meratap di pusara ku. Untuk apa? Bukankah di sini tempat yang ingin kau kirimkan aku suatu ketika dulu? Bukan baru kini aku mati, kekasih..aku telah lama kehilangan hidupku..saat aku kehilanganmu..saat kau rampas kasih anak-anakku..saat kau biarkan aku sendirian menghitung usia yg tinggal..dan saat kau katakan padaku kau hanya inginkan dia. Tercalar hati ini berderai cangkir tabahku. Kau telah semadikan aku lama dulu sebelum hayatku benar-benar berakhir.

Pulanglah...seandainya di sini tempat terlayak buatku tinggalkan aku di sini. Seandainya masih ada kiriman buatku hadiahi aku sepasang nisan untuk anak-anak tahu di mana tubuh bondanya ini bersemadi. Izinkan aku pergi kerana di sini bukan lagi tempatku.
Pa...aku tak pernah berhenti menyayangimu
manjalara/pulang yang damai (2)/2007

Sinopsis Seorang Aku

Senja kian merangkak..aku masih di sini. Hanya ada aku, remang hari dan sayup-sayup alunan azan jauh dari masjid berhampiran. Hati masih dipagut resah mengenang sebuah email yg aku terima petang tadi. Seseorang yg lansung tak pernah aku kenal. Cuma email...dan email itu sedikit mengocak tenang hatiku! Ternyata ak tidak setabah mana.

Kocak air tasik di hadapanku memutarkan ingatan ku jauh...kepada segala yang aku cuba tinggalkan. Kepada segala yang aku cuba pinggirkan..kepada segala yang aku cuba lenyapkan namun baris-demi baris email itu bagai berputar tanpa henti. Aku hanya ingin melukpakan seseorang bernama AKU..AKU yang tak ingin lagi aku kenang.

Kalaulah pengirim itu tahu siapa aku dan apa yang pernah aku lalui apakah masih dia ingin menyatakan betapa malang dirinya? Kalaulah dia tahu dengan siapa emailnya telah dikirimkan masihkah dia akan menyatakan betapa terlukanya dia? Terasa semalam bagai datang kembali dan menggamit minta aku kembali mengharunginya...tidak! Cukuplah selama itu..

Tertawa..tersenyum..dan orang akan beranggapan betapa bertuahnya aku. Betapa gembiranya aku dengan kehidupan ini. Betapa tabahnya aku mengharungi kehidupan yang datang dan pergi...tapi...siapa tahu apa yg pernah berladung dalam sebuah kehidupan seorang AKU.

Aku pernah jatuh tersungkur dan tika itu tiada siapa di sisi hanya ada aku. Terasa seolah seluruh bumi dan isinya menghimpit dari segenap penjuru. mana ada tangan yang sudi menolong ku bangun dan kembali mengheret langkah. Hidup terus juga berlalu dan aku kembali belajar untuk bertatih..berjalan..dan kembali semula berlari. Cuma satu..sehingga kini aku tidak tahu bagaimana untuk kembali tersenyum...aku juga tidak mampu untuk menangis! Segala yang ada hanya tepu di hati..diluah tidak pernah mengurang.

sesungguhnya aku telah menahan diri..
sedangkan airmata kian mendesah untuk tercurah
kebahagiaan pasti tiba...
banyak mata akan melihat
sementara yang lainnya akan terpejam
di dunia nyata sesuatu boleh ada, boleh juga tiada
maka lemparkan sekuat tenaga kesedihan hatimu
sesungguhnya Tuhan telah menyiapkan
apa yang kau perlukan esok hari
dan kau akan menjumpai kecukupan itu saat kau menjalaninya..
Biarkan segala sesuatu
mengalir seirama takdir
jangan sekali-kali kau tidur
kecuali tetap waspada
saat kau kerdip matamu kau akan tercengang
ternyata Allah telah mengubah keadaan...
Tuhan.....entah apa jua esok buatku dan segalanya terserah. Aku tidak pasti andai aku terjatuh lagi..mampukah aku kembali bangun dan semula berlari?
petikan: cerpen 'sinopsis seorang aku'
karya: manjalara/dis07/melaka

K-Cinta yang sirna

K..saat ini mummy kata kau masih ada di rumah kita. Entah ke mana menghilang kekuatanku untuk berdepan segalanya K. Terasa semangat hilang. Hilang bersamamu K. Terasa sakit yang amat dalam tak seperti kali pertama kau sakiti aku dulu. Bila aku kau tinggalkan tiba-tiba tanpa alasan.
Mengapa K..kita ditemukan hanya untuk merasai betapa sakit bila salah seorang dari kita meninggalkan...mengapa harus kau K? Bertahun aku mengambil masa mengubati duka yang kau tinggalkan dan mengapa saat aku mula belajar untuk mencintai diri lain kau datang dan menagih janjiku? Ternyata kau terlalu bermakna hingga aku tega meninggalkan dia untuk kau K. Mengapa K?
"Kau kata kau cintakan aku J,"
"Itu dulu K. Sekarang hati dan perasaan aku milik I."
"Aku datang untuk meminta janji-janji kau dulu.."Alangkah kejamnya ayatmu itu K. 3 tahun kau hilang tanpa berita dan kau seperti tak ada apa-apa tatkala menemuiku. Entah di mana dendam ku hingga aku seakan lupa setiap inci kesakitan yang kau tinggalkan.
"Mummy...J dah kahwin!"Mummy tersentak tika aku menyatakan aku telah mengahwinimu K. Dia meraung!
"Apa mummy nak cakap dengan keluarga N..J?"
"Maafkan J mummy..K dah balik.."
"Aku akan tebus salahku padamu dalam masa sebulan J. Memang salahku bila meninggalkan kau dulu. Maafkan aku J,"
"Sebulan? Lepas tu kau akan pergi lagi?" Kau hanya tersenyum. Aku terkapar dalam lautan dendamku yang tak bertepi. Hanya wajah dia yang menghuni akal fikiranku saat itu.
"Aku ada 3 permintaan J..sudi?"
"Selepas itu?"
"Terserah!"
"Aku cari kau kalau kau tinggalkan aku lagi K...aku tanam kau!"Kau bagai tak mengerti dan tawamu benar-benar membungkas 3 tahun rinduku padamu.
"Hahahaha..kau cincang aku pun takpe J..aku relakan aje!"
"Baik..apa 3 permintaan kau tu?"Kau diam sambil merenung jauh ke dalam mataku.
"Ambil cuti J..sebulan!"
"Huh? Sebulan? Kau nak suruh diorang buang aku ke apa?"
"Sebulan...bukan setahun..sebulannnnnnn je," kau merayu sambil memegang erat tanganku. "Tangan kau dingin K..."
"Seram sejuk bila dekat dengan kau macam ni,"Aku meleraikan genggaman tanganmu.
"K..kalau kau maksudkannya. Bagi aku masa. Dia masih ada di hatiku."
"Aku faham J. 3 tahun kau aku tinggalkan. Aku tak minta kau lupakan dia. Cuma aku pinta sebulanmu,"
Hari-hari di minggu pertama mummy mengamuk setiap pagi. Dia merungut-rungut bila kau lansung tidak membantunya di dapur...K..kau benar-benar telah berubah. Mengapa K? Apa yang telah berlaku 3 tahun itu? Dulu kau menjadi sanjungan mummy..tapi kini..mengapa K?
"K..bangun! Mummy dah bising tu,"
"Aku mengantuk J..Kau tak mahu peluk aku ke? Aku sejuk!"
"Bodoh! Kita kan dah janji..aku takkan sentuh kau sebulan ni sampai aku benar-benar yakin kau takkan tinggalkan aku,"
Kau tersenyum.
"Peluk sikit pun tak boleh ek?"
"Peluk mana ada sikit-sikit! Dah! bangun K!"
"Aku letih J..bagi aku sejam je, nanti aku bangun."
Kenapa dengan kau K? Mana gadisku yang lincah 3 tahun dulu? Di mataku aksimu sangat terbatas. Kau tidak secergas dulu lagi. Kau enggan menatap mataku seperti dulu.
Minggu ke dua..kau seakan sengaja menyakiti hati orang di sekelilingmu. Mummy yang tak pernah-pernah meninggikan suara di hadapan papa, tiba-tiba melenting bila kau keluar dari kamar dengan hanya memakai seluar paras lutut dan baju tanpa lengan. Kami terpanar K! Aku mengheret kau masuk ke bilik.
"kau kenapa K?"
"Kenapa dengan aku?" soalmu tak mengerti.
"kau pakai macam ni. Kau lupa ke yang masih ada papa di sini..adik-adik aku!"
"Tapi aku tak buat salah apa-apa J.." bicaramu tulus.
Kau tak sesuai di sisi keluargaku K, kita bukan lagi remaja di zaman kampusnya. Aku terlupa kau gadis lincah yang sering menjadi bualan tiap teman-temanku. Aku terlupa kau gadis menawan yang akan memukau pandangan mereka. Maafkan aku K..tempat kau bukan di sini. Rungutan mummy membuat aku rimas..sesakk!
"Maafkan aku J..maafkan aku. Aku janji akan berubah selagi kau sanggup ada di sisiku."
Kau belajar untuk menawan hati mummy. Ruang hatiku kembali terbuka buatmu K. Tika itu saat itu ingin sekali aku ucapkan..aku takkan membiarkan kau pergi lagi dari sisi ku. kau milik ku K..hanya aku!
"J..temankan aku ke pasar malam ye,"
Aku tersenyum. "Buat apa?"
"Ada laaa...hahahahaha!"
"Kau dah gila ye?"
"Ha'a aku dah gila..kerana kau!"
.........."Mummy..cantik tak?" Ujarmu tiba-tiba di hadapan aku dan keluarga. Aku terkesima. Kau datang menggayakan sepasang kurung.
"Eh! Cantik K. Mummy suka tengok K pakai baju tu. Kan cantik menantu mummy pakai baju kurung." puji mummy.
Aku hanya tersenyum. Kau betul-betul dah gila K!"Mana shorts ngan t'shirt sendat kau K?" aku sengaja mengusik kau K.
"Dah buang semua petang tadi. Ada dalam bakul sampah depan. Entah-entah lori sampah tu dah angkut semua!"
"Huh? Berapa banyak baju kurung yang K ada?" tanya mummy hairan.
"Ni aje."
"Esok?"
"Ini jugak lah!"Kami saling berpandangan. Wajah mummy kehairanan.
"Tidur malam ni?"
"K..pakai baju ni juga. hahahaha! K nak goda anak mummy malam ni. Nak bagi mummy cucu..hahahaha"
Gila kau ni K. Pakailah jubah atau purdah sekalipun takkan dapat menutup gila kau tu K!
"J..aku nak tidur dengan baju kurung ni. Jom! Hahaha"
"Tak nak aku.."
"Jom lah J.." rayu mu.
"Aku nak teman mummy ambil angin di taman. Nanti aku datang,"
Wajahmu sedikit hampa tapi seketika kemudian kau kembali tersenyum.
"Jangan menyesal..."
"Takkk...!"
"Cantik pula K malam ni J. Manis mummy tengok dia pakai baju kurung tu,"Aku tak menafikan. memang kau cantik malam ni K. Senyummu..tawamu..dan aku terpukau!
"Tak menyesal ke biarkan K sorang-sorang tu?" Mummy menduga.
"Tak!"Entah kenapa malam itu aku larut dalam senyum dan wajahmu tadi. Bulan di langit cerah. Sepoi angin yang menampar wajah..dingin..dan aku menginginkan kau hadir di sisiku. Aku mula memikirkan yang bukan-bukan saat telefon bimbitku berbunyi. Voice mail!
'J...esok genap sebulan. Ada 2 lagi pintaku. J maafkan aku dan lupakan aku kerana ini luka terakhir dariku untukmu..."
"K! jangan main-main K. bangun K!"Kau terkulai dalam pelukanku. Matamu terpejam. mengapa K?kau tinggalkan aku dengan seribu persoalan. hanya kau yang tahu jawapannya. bangunlah K..aku terlalu ingin tahu mengapa kau tinggalkan aku dulu? Mengapa kau kembali? K...aku terlalu ingin mengucapkan..aku sayangkan kau K. Kau benar-benar cantik malam ini. Bangun K!K..aku melangkah jauh meninggalkan kau. Sebulan bersamamu melakar kenangan indah yang tak terucap. Aku tak cukup kuat untuk menanti kau lagi di sana bersama setiap cebis kenangan kita. Berabad sekalipun ku tunggu kau takkan kembali K.
K...aku cinta padamu..

Sebuah Pilihan

Tiada lagi walau sekelumit senyuman. Tiada lagi lontaran suara dari bibirnya. Aku hanya menatap seraut wajah tenang yang tak pernah mampu kuusai apakah yang sedang dimimpikan diri itu. Aku juga tak mengerti apa yang ada di hatiku kala menatap wajahnya. Sayang? Entah! Simpati?
"Apa juga pilihan yang encik akan buat..kita tetap akan kehilangannya,"
J..bangunlah! Khabarkan pada aku apa yang harus aku buat saat ini. Haruskah aku teruskan J tapi kalau aku teruskan juga apa maknanya?
"Kalau kita teruskan juga sekarang ni?"
Lelaki itu menggeleng J. Aku faham maksudnya. Tak akan mengubah apa-apa. "Malah kita akan kehilangan 3 nyawa!"
3?
"Isteri dan dua bayi yang ada dalam kandungannya,"
J....suaraku tersekat dikerongkongan.
"Sementara ini kandungannya berada dalam keadaan selamat selagi keadaan isteri encik stabil. Kita tunggu dan lihat. Selagi dia boleh bertahan kita akan cuba selamatkan bayi-bayi tu. Sekurang-kurangnya encik masih ada mereka,"
Peritnya J..bangunlah!
"Apa kata doktor D?"
"Macam tu la...selagi J stabil bayi-bayi tu akan selamat,"
"Dah berapa bulan J macam ni D?"
Aku tersentak..berapa bulan? 2 bulan! lamanya...dan doktor bagi tempoh sehingga genap usia kandunganmu 7 bulan J..selepas tuu...
"Doktor tak bagitau apa-apa ke?"
Perlukah aku beritahu I yang dia juga akan kehilangan kau J?
"D!"
"Tunggu kandungannya cukup 7 bulan.."
"Lepas tu?"
"Kalau dia masih tak sedar...kita terpaksa lepaskan dia pergi.."
Aku lihat bibir I bergetar J. Airmatanya menitis. Kau rasa tak G bila I genggam tangan kau erat. Kau dengar tak esakkan I..J?
"J datang jumpa aku pagi tu D..sebelum dia jatuh,"
"Dia..."
"D..kau tak sayang dia ke? Dia serahkan hidup dia pada kau D...kenapa?"
"Aku tak faham!"
"Dia minta aku jaga anak-anak dia kalau apa-apa terjadi!"
"Aku tak kata apa-apa pada dia I..aku.."
"Dia takut kau tak boleh terima anak-anak yang lahir dari rahim dia!"
J..aku...aku suka kan kau J tapi perasaan tu tak cukup untuk buat aku mengahwini kau. Aku rasa segala yang terjadi dulu memaksa aku menerima kau. Maafkan aku J!
"D..J tak pernah cakap apa-apa tentang rumahtangganya pada aku tapi aku tahu kau tak membahagiakannya. Hanya sekali aku melihat senyuman dia yang paling indah. Bila dia tahu dia mengandung. Itulah sekali D...kenapa D? Apa kurangnya dia?"
J...hanya kita yang tinggal. Kau dan aku sahaja yang mengerti. Maaf kerana selama ini tidak mampu membahagiakanmu. Apa pilihan yang aku ada J? Sekalipun tanpa cinta tapi aku masih juga punya hati dan perasaan. bangunlah J...
"I...maafkan aku,"
"Bukan pada aku tapi J! Bahagiakanlah dia sementara dia ada. Cuma aku ralat...begini kesudahan cintanya pada kau,"
Pagi tu..Jumaat sebaik usai solat Subuh.Aku menatap wajahmu J. Bangunlah J..jangan paksa aku mengambil keputusan itu.
"Kita terpaksa lakukan sekarang...dia semakin lemah. Kita takut akan kehilangan semuanya. Maafkanlah segala dosa dia pada encik..redhalah kehidupan dia sebagai isteri selama ini.." Lembut wanita bertudung labuh ini sewaktu menegurku J da menghulurkan aku sehelai kertas untuk ditandatangani.
J...zuriat-zuriat ku kini berada di hadapan ku. Kecil dan tak berdaya J. Anak-anak kita! Aku dan kau!
Aku melihat sendiri bila mereka mula meleraikan wayar-wayar yang membantu kau terus bertahan buat anak-anakku selama ini. Maafkan aku J...
Perlahan... aku melihat nafasmu kian pendek dan nadimu akhirnya terhenti. I meraung menangisi pemergianmu. Duniaku rasa bergegar. Pilihan apa yang aku ada untukmu J?

Kepulangan

Penantian 1-Aku
Samar fajar subuh ini memukau pandangan. Terasa seolah-olah akulah itu antara garis-garis jingga di kaki langit. Sejalur rasa terbit di tangkai hati. Di mana mereka? Aku menatap wajah mentari yang silu memancarkan sinis cahayanya.
"Berapa lama lagi masa untuk saya?"
"Kurang lebih sebulan,"
Kurang lebih sebulan...sempatkah? wajah-wajah mereka muncul di mataku. Terasa amat rindu.
"Dik..bila nak datang jengah akak?"
"Saya sibuklah kak...hari ni ada meeting. Nanti senang saya datang ye. Akak jgn lupa makan ubat. Jangan lari dari hospital tau!"
Nanti senang....sebulan lagi..sempatkah? Terasa lengan bajuku basah. manik-manik halus bewarna merah menyerap dicelah-celah lembar benang baju yang kupakai. Sejak 3 hari lalu manik-manik halus itu mula terbit antara liang romaku. Kata mereka salur-salur darah ku mula pecah.
Tuhan..berapa lama lagi masa buatku? Esokkah? Tapi mereka masih belum datang. Dia masih belum pulang.
"J..aku on the way ke Penang. Ada meeting. Balik aku bawakan kau buah pala nak?"
Semua membawakan aku janji...aku tak mahu semua itu. Aku hanya mahukan kalian. Cukup buat kalian ada saat perasaan takut ini bercambah di hati.
"Ma tunggulah pa balik ye. Insyaallah..lepas ni pa bawa ma jauh ke sana. Kita takkan balik lagi ke sini ma.."
Pa....pulanglah!
Penantian 2
Wajah kakak entah berapa kali muncul dalam mimpiku. Mimpi yang sama. Tiada sepatah kata yang terbit dari bibir kakak. Kakak menatapku sayu.
Semalam sewaktu tiba di wad itu, katil kakak telah kosong. Cadarnya telah berganti baru. Aku terduduk bila jururawat yang bertugas menyatakan kakak telah pergi buat selamanya sebaik azan subuh usai berkumandang.
Kak...mengapa aku sering terlewat bila berkaitan denganmu? 3 bulan kau ditempatkan di wad itu tapi aku mengambil masa terlalu lama untuk menjengahmu. Mengapa begitu banyak alasan yang ku beri bila berurusan denganmu kak?
Kamar itu aku tinggalkan begitu saja. Barangkali keluargamu telah menguruskan jenazahmu. Kak..bila kau tiada baru kusedari betapa aku amat ingin menatapmu buat kali terakhir. Aku merinduimu kak tapi pedih hati ini tiap kali wajahmu ku tatap. Kau..diri yang berjuang untuk bahagia sendiri.
Kau muncul lagi dalam mimpiku...apa mahumu kak?
Penantian 3
"Bang..Kak J dah tak ada.."
Hampir terlepas stereng kereta tika Iman menghubungiku malam tadi. 2 minggu sudah aku berjanji pada J akan datang menjengahnya sebaik pulang dari Penang. Bungkusan jeruk buah pala buatnya juga masih terbungkus kemas di almari dapur rumahku.
J...sebulan dulu..
"K..aku cintakan dia. Aku sangat menyayangi dia K.."
terngiang-ngiang suaranya di telingaku. Sukar untuk meneka hatimu J. Hanya ada dia dalam dirimu sekalipun bertahun-tahun ini aku berusaha menjadi yang terhampir.
"Jenazahnya dibawa ke mana?"
"Entah. Saya tak tahu banyak tentang kakak. Mungkin keluarganya kot!"
Penantian 4
Aku..K dan D dibawa ke suatu bangunan yang berasingan dari bangunan lain hospital. I tiba setelah aku khabarkan tentang pemergian kakak. Terkesima dengan penampilan D....setahu ku dia...mungkin..mungkin hidayah itu telah sampai padanya. 2 khabar yang datang serentak. pemergian kakak dan pengislaman D.
Jasad kaku kakak terbaring di tengah-tengah ruang. kain putih yang menutupi mukanya ku selak. Tenang dan beku. Senyum kakak yang sering terukir saat hayatnya kini hanya kaku antara rekahan bibirnya yang pucat. Kak..aku rindu mendengar tawamu....
Dingin pipi kakak waktu aku menyentuhnya buat kali terakhir. Kak..maaf kerana membuat kau menunggu terlalu lama. Aku mengerti kini kak, mengapa saban mlm kau datang dlm mimpiku.
Penantian 5
Bergetar jemari ini ma sewaktu menyingkap kain putih yang mereka hamparkan ke tubuhmu. Berderai tabahku. Mengapa tak tunggu pa sayang? Bukankah kita telah berjanji sehidup dan semati?
"Pa jangan pergi lama-lama ye..pa nyawa ma. ma tak boleh hidup tanpa pa."
Sayang....pa dah balik! bangunlah..kalau betul pa nyawa ma, bangunlah ma. Kita balik dan pa akan bawa ma jauh dari sini ma. Kita takkan pulang lagi ke negeri ini. Terlalu banyak luka ma di sini. Bangunlah ma
"Pa ciumlah mata ma nie..supaya hilang mengantuknya.."
Ku kucup dua kelopak matamu ma, bukalah matamu sayang. pa rindu untuk menatap redup pandangan mu lagi. pandangan yang kerap menggamit aku pulang awal dari ruangan kerja. Bukalah ma...pandanglah wajah pa yang amat merinduimu ini.
"Hahahaha..janganlah tutup hidung ma. Nanti ma takleh nafas. Pa taulahhh..."
"Hahahaha..takpe..nanti pa buatlah CPR!"
bangunlah ma. Aku takkan menutup hidungmu lagi. Bernafaslah ma. Aku rindu hembusan halus nafasmu yang sering menyapa pipiku.
Bangunlah sayang...
Penantian 6
K.....aku pergi dulu...
Penantian 7
Aku kembali ke wad yang pernah menempatkan tubuhmu dulu. Seolah-olah kau masih ada di sana. Berdiri memegang jeriji tingkap sambil menatap jauh ke langit.
"K...aku nak hidup lama. Aku nak terus hidup dengan dia. "
Sesekali aku bagai terbau haruman Beautiful yang menjadi kegemaranmu. Kau benar-benar bagai ada di sini.
Deru angin senja ini bagai berbisik.....katamu..K..aku pergi dulu.

Erti Sebuah Persahabatan

Mlm ni nak menyengal citer lain lak...tetiba aku terkenangkan dia...
Kenal dia mmg dah lama..lama tapi pada aku segalanya masih baru. Semuanya mula kat gwang ni. Dia kata suka tengok aku chat..katanya..'no worry'. Waktu tu aku rasa dialah kawan terbaik yg aku ada. Masa tu kami berkongsi segala cerita. Suka atau duka.
Aku ingat lagi...waktu tu dia ditugaskan ke luar negara, 3 bulan kalo tak salah. Kena pada masanya sebab masa tu feeling dia pun not very well. Setiap ari dia akan cuba on9 dari sana. Ada juga cerita terbaru utk aku ttg dirinya.
Hampir setiap mlm dulu, dia layan aku buat sajak2 sesat. Pernah dia kata nak simpan sajak-sajak aku tu untuk kenang-kenangan. Tuhan....aku merindui persahabatan itu.
Kini..entah di mana silapnya kami renggang. Tiba-tiba tanpa kutahu sebabnya. Dia makin menjauh. Aku juga yang sakit mencari di mana silapku. Hanya mampu merisik khabar dari teman-teman yang rapat dgn dirinya. Persahabatan...membinanya bertahun-tahun tapi utk merobohkannya hanya sesaat! Rasanya tembok persahabatan itu mula meretak dan aku masih berusaha untuk mempertahankannya.
Kata-kata menjadi tersangat sinis. Gurauan terkadang menjadi punca untuk dia semakin menjauh, sehingga aku takut utk berkata-kata. Mengapa terlalu cepat dia rasa berjauh hati dengan ku?
Aku benar-benar rasa kehilangan. Tiada teman sebaik dia. Mungkin dalam persahabatan ini aku tersilap percaturan. Terlalu mengharap persahabatan itu hanya berakhir di penghujung nyawa. Hanya airmata...(mcm tak caya jekkk dek ngko aku leh nangis tau takkkk??) yg sering bertandang bila ingatan terhadapmu singgah di hati..
Teman, seandainya kau terbaca tentang ini ketahuilah aku sangat merindui persahabatan kita dulu. Sebuah kenangan yang sukar luput dari ingatan. Maaf andai dalam mewarnai persahabatan kita itu aku tersilap melakar warnanya...tersasar memberi harganya.
Kini, sekalipun tiada lagi khabar darinya, aku takkan jemu merisik cerita. Kita takkan mampu membahagiakan tapi cukup sekadar untuk aku mendoakan kebahagiaanmu.
p/s: Tiada apa yang kekal selagi ia berkaitan dengan manusia

Bila Sudah TakdirNya

Khamis malam...elok2 aku dah bersiap nak ke Jusco nset aku tiba-tiba bunyi. Tak terkata bila antara kawan baik aku menyampaikan khabar....salah sorang kawan kami dah kembali ke Rahmatullah petang tadi.
Terbayang wajahnya. Terngiang havocnyer dia bila kami berkumpul terutama masa raya. Aku kenal dengan arwah sejak kami di sekolah rendah..darjah 2. Masa tu dia comel gilerr..hahahaha..anak ustaz Bakar..sapa tak kenal!
berkumpul berkali-kali dan walaupun ceritanyer masih sama berkisar dunia sekolah kami..namun kemeriahan itu xpernah berkurang. masih ingin mendengar cerita dia mengalihkan kerusi sewaktu guru muzik kami madam Ng nak duduk...cerita dia meludah dari tingkat 3 sekolah sedangkan guru besar berada di bawah..
Kali terakhir kami berhimpun 2 tahun lepas. meriah xterkata. Riuh rumah dan entah mengapa..kami terlupa untuk sama2 bergambar. Itulah pertemuan yg terakhir dan rasanyer itulah kali terakhir kawan2 yg lelaki menerima 2 katon rokok secara percuma..hehehehe..
Dia pergi meninggalkan isteri dan dua anak tercinta yg masih kecil. Di usia menginjak ke angka 34 aku kira dia masih terlalu muda dan kuat. Khabarnya dia meninggal kerana darah tinggi dan jatuh sewaktu ingin ke bilik air.
Mohd Zamri b. Abu Bakar...kami iringi pemergianmu dengan doa...semoga dirahmatiNya dan ditempatkan di kalangan hambaNya yg soleh.
p/s: Daun tua akan gugur..pucuk-pucuk muda juga akan meninggalkan ranting..cuma tidak tahu..bila, kenapa dan di mana. DariNya kita datang dan padaNya juga tempat kembali yang terbaik. Al Fatehah.....

Saturday, July 26, 2008

Perjalanan Sesukar Ini




27 Julai 2008
Mengatur sebuah perjalanan mencari sejalur cahaya juga mendakap sebuah harapan...secebis rasa bahagia di penghujung hidup, aku terpana sendiri. melihat betapa jauh dan sayup jalan bahagia itu. Seolah-olah hidup ini bagai menggapai pelangi..indah..sayup..dan cuma ada warnanya.
Semakin hari...kehidupan menjadi semakin sukar. Entah bagaimana dapat ku ungkai ikatan sekusut ini. Entah bagaimana dapat kulerai segala simpulan-simpulan yang semakin hari menjerut leherku.
Alasan cuma akan menjadikan aku kian bersalah di mata mereka. Lantaran itu berdiam adalah jalan terbaik. Mungkinkah berdiam juga akan menjadikan aku tambah berdosa? Hati ini tiada lagi buatnya. Segalanya telah padam saat kakinya singgah ke mukaku...cinta itu telah berlalu saat dia 'membangsatkan aku dulu'..harapan itu telah lama mati. Pergilah...dan jangan pernah kembali lagi. Andai masih ada sayang di hatimu buatku lepaskan lah aku pergi kerana bagaimana kau cuba menebus setiap salahmu padaku, aku takkan mungkin berpatah kembali.
Silapku..kerana tidak pernah ikhlas memaafkanmu. Setiap saat gambaran-gambaran yang penuh kesakitan itu berputar diingatan ini. Biarkan aku pergi..kerana mungkin hanya ini dapat memadamkan kesakitan yang pernah kau hidang buatku selama 10 tahun ini.
Katamu..kau sudi menerimaku seadanya..tapi bagaimana dengan aku? Aku tidak mampu memahat namamu lagi. Aku tidak lagi mencintaimu..menyayangimu..tidak! Dan aku akan tidak pernah lagi.
Aku pernah memberinya..tapi kau sia-siakan setiap pengorbanan ku itu. Kau lukakan hatiku..sekali...sekali dan berkali-kali selepasnya. Pergilah..dan jangan pernah kembali lagi.
Kali ini aku nekad...walau tanpa izinmu..aku akan tetap menjauh. Aku tak mampu berdiri lagi di sisimu. Aku hanya ingin mencari hidupku. Menyalakan semula harapan yang kau padam dari hidupku. Biarlah..andai pemergian ini menghumbanku jauh dari keluarga..kawan-kawan mahupun dari hati Fatin dan Mujahid. Biarlah..andai Fatin dan Mujahid akan menggambarkan aku sebagai insan yang mementingkan diri...biarlahh kerana aku telah buat segala-galanya.
Satu ketika nanti anak-anak itu akan mengerti sendiri siapa aku..siapa insan tak berdaya ini? Satu saat mereka akan kembali mengingati setiap airmata yang jatuh di pipiku...setiap tangis yg terlontar dari bibir ini...mereka akan mengerti sendiri.